Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekas tukang urut didapati bersalah ajar ajaran sesat

Hakim: Kesemua 8 saksi konsisten berkata tertuduh dakwa judi, ‘nikah batin’ dibenarkan dalam Islam
Apr 4, 2025 | 5:13 PM
Mohd Razif Radi,  yang bukan guru agama Islam di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS), mengajar pengikutnya berjudi dibenarkan dan lelaki dan wanita boleh melakukan “nikah batin”
Mohd Razif Radi, yang bukan guru agama Islam di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS), mengajar pengikutnya berjudi dibenarkan dan lelaki dan wanita boleh melakukan “nikah batin” - Foto ST

Seorang bekas tukang urut didapati bersalah pada 4 April mengajar fahaman yang bertentangan dengan undang-undang Islam.

Mohd Razif Radi, 67 tahun, yang bukan guru agama Islam di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS), mengajar pengikutnya berjudi dibenarkan dan lelaki dan wanita boleh melakukan “nikah batin”.

Perjudian dilarang dalam Islam.

Dalam laman webnya, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) mentakrifkan nikah batin sebagai pernikahan tanpa beberapa rukun nikah, seperti saksi, akad nikah dan mas kahwin.

“Dalam kebanyakan kes, tiada had bilangan wanita yang ‘berkahwin’ dengan seorang lelaki melalui nikah batin yang menyimpang seperti itu,” kata Muis.

Razif juga mendakwa dia boleh memanggil roh “Mbah”, yang kononnya Nabi Muhammad saw atau daripada keturunan Nabi.

Pada 4 April, Hakim Daerah Shaiffudin Saruwan mendapati warga Singapura itu bersalah atas satu pertuduhan di bawah Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla), lapor The Straits Times.

Beliau menyatakan bahawa Mufti Singapura telah berkata fahaman itu bertentangan dengan undang-undang Islam.

Encik Shaiffudin juga berkata ada persamaan dalam penyaksian lapan saksi pendakwaan yang memberi keterangan bahawa mereka menghadiri kelas Razif.

Antara lain, mereka berkata Razif mendakwa perjudian dan nikah batin boleh dibenarkan, dan dia boleh memanggil “Mbah”.

Hakim itu berkata para saksi itu konsisten dalam keterangan mereka.

Semasa perbicaraan, seorang lelaki, yang tidak boleh dinamakan atas perintah mahkamah, berkata pada 24 Jun 2024 bahawa beliau menghadiri dua kelas agama Razif sama ada pada 2004 atau 2005.

Razif memberitahu hadirin hasil perjudian daripada 4-D dan Toto boleh “dibersihkan” dan digunakan sebagai modal perniagaan.

Saksi itu memberi keterangan bahawa isterinya dan sepupu perempuan isterinya memperkenalkannya kepada kelas Razif.

Kelas dijalankan selepas solat maghrib dan berakhir kira-kira 11 malam. Ada kalanya Razif “dirasuk” dan memegang watak “Mbah”.

Pada 26 Jun 2024, seorang lagi saksi, yang juga tidak boleh dinamakan, memberitahu mahkamah Razif percaya seseorang boleh mempunyai 13 isteri.

Beliau juga memberi keterangan bahawa beliau hadir ketika Razif menjadikan seorang pemilik perniagaan wanita sebagai “isteri” dalam satu nikah batin.

Saksi berkenaan dan isterinya pada waktu itu menghadiri kelas tersebut bersama-sama dari 2004 hingga 2007.

Selepas itu, beliau tidak menghadirinya lagi tetapi isterinya meneruskannya.

Isterinya kemudian bersikap dingin terhadapnya dan menuntut cerai pada 2008. Mereka bercerai dua tahun kemudian.

Lelaki itu tidak mengatakan sama ada bekas isterinya menjadi salah seorang ‘isteri batin’ Razif, tetapi wanita itu menubuhkan perniagaan berama bekas tukang urut itu.

Saksi itu memberitahu Hakim Daerah Shaiffudin bahawa perkahwinan beberapa lelaki lain juga berakhir seperti itu.

Razif, yang memberi keterangan pada November 2024, menafikan berbilang dakwaan terhadapnya, mengatakan bahawa dia tidak menjalankan kelas agama.

Dia berkata dia bertemu saksi-saksi itu sebagai kawan, bukan dalam kelas agama.

Razif, yang menafikan mengambil peranan sebagai “Mbah” semasa pertemuan itu, berkata dia tidak pernah mendengar tentang “nikah batin” sebelum perbicaraan mahkamah itu.

Bagi tuduhan berkenaan pandangannya tentang perjudian, Razif berkata: “Saya tidak melakukan apa-apa di luar ajaran Islam.”

Ikat jaminnya ditetapkan $10,000 pada 4 April. Rayuan mitigasi dan hukuman akan dijatuhkan pada 26 Mei.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg