Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tertuduh didakwa sentuh saksi ketika baru habis mandi

Oct 10, 2024 | 7:38 PM
Dua laporan polis dibuat terhadap Mohd Razif Radi kerana didakwa menyentuh seorang wanita dengan cara tidak sesuai. Warga Singapura berusia 67 tahun itu dibicarakan atas satu pertuduhan di bawah Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) kerana menyebar ajaran yang bertentangan dengan undang-undang Islam.
Dua laporan polis dibuat terhadap Mohd Razif Radi kerana didakwa menyentuh seorang wanita dengan cara tidak sesuai. Warga Singapura berusia 67 tahun itu dibicarakan atas satu pertuduhan di bawah Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) kerana menyebar ajaran yang bertentangan dengan undang-undang Islam. - Foto ST

Dengan hanya berpakaian kain sarung selepas mandi, seorang saksi pendakwaan berkata tertuduh berbisik sesuatu dan meniup ke dalam kedua-dua telinganya.

Menurut saksi, yang tidak boleh dinamakan atas perintah mahkamah, tertuduh berbuat demikian untuk menyembuhkannya daripada gangguan kebimbangan.

Saksi, 27 tahun, menyifatkan kejadian itu sebagai satu ‘sesi perubatan’ yang dijalankan di rumahnya.

Hanya saksi, ibu saksi dan tertuduh berada di rumah ketika itu.

Saksi, yang didiagnos autisme ringan ketika berusia 16 tahun, memberi keterangan pada 10 Oktober terhadap tertuduh, Mohd Razif Radi, warga Singapura berusia 67 tahun.

Razif, yang tidak pernah diiktiraf sebagai asatizah di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS), dibicarakan atas satu pertuduhan di bawah Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) kerana menyebar ajaran bertentangan dengan undang-undang Islam.

Menurut dokumen mahkamah, Razif dituduh melakukan kesalahan itu antara 2004 dengan 2020, dengan menyampaikan tiga ajaran palsu.

Ajaran tersebut adalah mengenai membenarkan perjudian, lelaki dan perempuan boleh berkahwin secara sah melalui perkahwinan batin, dan dia berupaya memanggil roh ‘Mbah’, yang kononnya ‘nabi terakhir’ atau daripada keturunan nabi.

Saksi, yang merupakan saksi ke-11 kes tersebut, berkata beliau memberitahu ibunya tiga kali bahawa beliau tidak mahu menjalani sesi perubatan itu, tetapi ibunya menengking dan menyuruh beliau melakukannya.

Menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Jini Pillai Eliathamby, saksi berkata ibunya mengarahkannya supaya berlutut di depan pintu tandas bilik tidur utama sebaik sahaja selesai bermandi.

“Saya rasa terlalu terdedah... Razif kemudian melutut di sebelah kanan saya.

“Dia membisikkan sesuatu ke telinga kanan saya dan meniupnya. Dia melutut di sebelah kiri saya dan melakukan perkara sama.

“Dia berdiri di belakang saya, membaca sesuatu, meniup dan mencium bahagian atas kepala saya. Dia kemudian meletakkan tangannya pada kedua-dua lengan saya dan mengusapnya,” kata saksi.

Atas arahan ibunya, saksi tidak memberitahu sesiapa tentang kejadian itu, yang berlaku sekitar 2013 atau 2014.

Tambahnya beliau berasa takut bagaimana ibunya akan bertindak jika beliau menentang arahannya.

Saksi memberitahu mahkamah, ibu bapanya bercerai pada 2017.

Pada 2020, saksi memberitahu ayahnya tentang kejadian itu dan beberapa hari kemudian, beliau membuat laporan polis pada 10 Disember 2020.

Saksi berkata bahawa sebelum ibu bapanya bercerai, ibunya berkata beliau mahu berkahwin dengan Razif.

Berita Harian (BH) sebelum ini melaporkan bahawa Razif dikatakan terlibat dalam ‘nikah batin’ dan memerlukan 13 isteri.

Saksi berkata beliau kali pertama berjumpa dengan Razif ketika beliau masih di darjah satu.

Ketika berada di peringkat atas sekolah rendah, saksi mengikuti ibunya untuk bertemu rakan-rakannya dan Razif, sama ada di rumah Razif, rumah ibunya, atau rumah kawan ibunya, untuk berborak.

Tambahnya, beliau dan ibunya pernah menghadiri kelas agama yang dijalankan di pejabat Razif berhampiran Masjid Sultan.

Beliau turut menceritakan satu kejadian aneh dalam kelas itu.

“Saya mendengar suaranya (Razif) berubah ketika dia bercakap dengan mereka (pelajar Razif). Nada suaranya semakin tinggi... seperti suara wanita tua,” katanya.

Saksi turut mengambil bahagian dalam satu lagi sesi perubatan di Mount Faber di mana beliau dan Razif dikehendaki berpelukan.

“Kami perlu diri di bawah cahaya matahari dan memeluk satu sama lain dengan erat supaya tenaga buruk saya akan dipindahkan kepadanya, dan tenaga baiknya dipindahkan kepada saya,” jelas saksi.

Semasa sesi itu berlaku, saksi berkata Razif tidak banyak bercakap.

Saksi juga membuat laporan polis pada 21 Disember 2015 mengenai satu insiden di mana Razif menyentuh kaki dan mencium tangannya ketika mereka berada dalam kereta ibunya.

Menurut seorang pegawai penyiasat (IO), yang juga saksi ke-12 kes itu, tiada tindakan lanjut diambil terhadap Razif berkaitan kedua-dua laporan polis yang dibuat saksi ke-11.

Ini kerana tiada bukti objektif terhadap Razif.

Perbicaraan di hadapan Hakim Daerah Shaiffudin Saruwan disambung pada 4 November.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg