Dalam kita membuka lembaran tahun baru 2026 ini, pelbagai resolusi ditanam oleh orang ramai.
Ada yang ingin menjadi lebih disiplin dalam bersenam, ada pula mahu mendaki tangga kerjaya, dan ada juga yang ingin mendapat markah cemerlang dalam peperiksaan.
Namun, ramai yang terlupa untuk memperbaiki tabiat digital yang kian menular, iaitu menjadi lebih berhemah dalam penggunaan media sosial.
Baru-baru ini, isu mengenai masjid di Singapura hangat diperkatakan di media sosial.
Seorang ustazah tempatan menulis bahawa kuliah mingguannya di salah satu masjid di sini terpaksa dibatalkan secara mendadak tanpa pengetahuannya.
Saya tidak ingin menyentuh mengenai isu tersebut.
Namun, apa yang ingin dinyatakan ialah komen yang ditulis pengguna media sosial dalam isu itu.
Sedih apabila buka sahaja ruangan komen di media sosial, pelbagai komen negatif yang terpampang.
Ada yang memilih pihak, dan ada pula yang mengecam pihak tertentu tanpa mendengar sebarang penjelasan daripada kedua-dua pihak.
Malah, mereka tidak tahu kisah sebenar apa yang berlaku di belakang tabir antara kedua-dua pihak.
Terdapat pelbagai faktor yang boleh mencetuskan isu tersebut, dan sama banyak alasan bagi pengguna seperti kita untuk memilih berdiam diri.
Saya bangga dengan semangat masyarakat Islam Singapura yang berkobar-kobar ingin menuntut ilmu.
Ini menunjukkan bahawa ramai yang dahagakan ilmu dan ingin belajar daripada asatizah tempatan.
Tetapi, mereka tidak seharusnya membiarkan api semangat itu membakar ikatan sesama masyarakat Islam yang sudah lama terjalin.
Sebagai penuntut ilmu, pengguna media sosial, dan terutamanya orang Islam, kita tidak seharusnya menindas satu sama lain.
Kita harus tampil memberi sokongan dengan penuh empati dan adab, tanpa perlu menambah beban melalui kata-kata yang tidak bernas.
Seperti mana yang sudah diajarkan dalam Islam, apabila kita menerima satu berita itu, kita harus menyelidiknya dahulu sebelum menyebarkannya.
Dalam konteks ini, hendaklah kita ketahui asas khabar itu sebelum terus menghukum. Ini agar kita tidak terjerumus dalam kancah fitnah seperti memburukkan orang lain.
Kedua-dua masjid dan asatizah memainkan peranan penting dalam pembentukan institusi Islam di sini dengan menjadi sumber ilmu.
Lantas, walau apa pun yang berlaku, selagi mana mereka berlandaskan dengan ajaran tepat Islam, janganlah kita berpaling daripada kedua-duanya.
Sebagai satu masyarakat, kita perlu terus menyokong kedua-dua entiti ini baik dalam hal kewangan dan menghadiri acara mereka, serta terus bersangka baik.
Secara tidak langsung, sokongan yang diberi boleh membuka laluan untuk mereka menyediakan kandungan bermutu.
Akhir kata, dalam kita melangkah ke tahun baru ini, janganlah kita menumpukan pada tabiat secara fizikal sahaja.
Jari jemari yang memberi komen di atas talian juga boleh menjadi lebih tajam daripada lidah yang berkata-kata.
Janganlah kita menambah gelora yang sedang melanda dunia hari ini.
Sebaliknya, ciptalah sinar yang kian terlindung di balik awan.
Teringat saya dengan kata-kata ulama terkenal Islam, Imam Malik, yang pernah berkata, ‘belajarlah adab sebelum mempelajari ilmu’.
Maka, marilah kita terapkan dalam diri kita untuk mengutamakan adab secara fizikal dan dalam talian.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg