Tempuhi ujian dengan sabar, syukur

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tempuhi ujian dengan sabar, syukur

Kuasai cara hadapi setiap ujian dengan iman, kebergantungan kepada Tuhan
Jan 9, 2026 | 5:30 AM

Tempuhi ujian dengan sabar, syukur

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
dua, prayer, islam
Seorang Mukmin sentiasa baik urusannya kerana beliau bersyukur ketika memperolehi kebaikan dan bersabar ketika ditimpa kesusahan. - Foto hiasan ISTOCKPHOTO

Awal tahun sering dikaitkan dengan permulaan baru – melangkah ke hadapan dan membuka lembaran tanpa catatan.

Namun, ia juga merupakan masa yang mendebarkan bagi pelajar yang menduduki peperiksaan nasional seperti Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘O’ dan ibu bapa mereka, yang sama-sama menanti detik pengumuman keputusan ujian.

Setelah bertungkus lumus memberi tumpuan kepada pelajaran, memerah otak menduduki peperiksaan, emosi boleh menyelubungi mereka.

Adakah kegembiraan yang menanti, atau kekecewaan yang menuntut ketabahan?

Ujian satu lumrah

Sebenarnya, ujian adalah sunatullah atau lumrah diciptakan Allah swt, yang bertujuan menilai tingkatan iman dan takwa dalam diri seorang Muslim.

Hal ini digambarkan dalam Firman-Nya dalam Surah Al-Baqarah, ayat 214, yang menceritakan bagaimana Rasulullah saw dan para sahabat diuji begitu dahsyatnya sehingga mereka bertanya “bilakah pertolongan Allah (akan tiba)?”

Walaupun ujian sering kali dikaitkan dengan kesempitan dan perkara yang tidak diingini, hakikatnya, ujian yang Allah swt tujukan kepada kita datang dalam pelbagai bentuk.

Fahami ujian Tuhan yang pelbagai

Firman Allah swt dalam Surah Al-Baqarah, ayat 155, yang bermaksud:

“... dan Kami pasti akan menguji kalian dengan beberapa perkara daripada rasa takut, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan.”

Setiap bentuk ujian yang disenaraikan oleh Allah swt di dalam ayat di atas merupakan perkara yang tidak diingini, bahkan kita berdoa agar dijauhkan dan dihindarkan.

Namun, ujian juga datang dalam bentuk kebaikan yang kita hajatkan. Sepertimana firman-Nya dalam Surah Al-Anbiya’, ayat 35:

“... dan Kami menguji kamu dengan kesenangan dan kesusahan sebagai cubaan.”

Walaupun disebutkan secara ringkas, ia merupakan peringatan jelas daripada Allah swt bahawa ujian yang diberikan pada hamba-Nya boleh hadir dalam bentuk nikmat.

Melalui pemahaman tentang kepelbagaian dalam ujian Allah swt, kita dapat menganjakkan pola pemikiran dalam menghadapi keputusan peperiksaan apabila ia tidak selari dengan hasrat dan harapan.

Setelah berusaha sebaik mungkin kemudian berdoa dan memasrahkan diri kepada Allah, sudah tentu yang diinginkan adalah keputusan cemerlang.

Perasaan gembira ketika menyambut kejayaan dan duka ketika berhadapan dengan kegagalan adalah fitrah yang tidak dapat dielakkan.

Islam mengajarkan kita bukan untuk memadamkan perasaan, sebaliknya kita diajar cara terbaik untuk mengimbangi dan menangani perasaan yang terkandung dalam setiap kejadian yang dihadapi.

Panduan hadapi ujian

Di dalam hadis yang disampaikan oleh sahabat bernama Shuhaib ra, dan diriwayatkan oleh Imam Muslim, Nabi saw memberitahu kita, seorang Mukmin sentiasa baik urusannya kerana beliau bersyukur ketika memperolehi kebaikan dan bersabar ketika ditimpa kesusahan.

Begitulah petunjuk yang diberikan kepada kita oleh junjungan Rasul yang tercinta.

Jika keputusan peperiksaan menepati atau bahkan melebihi jangkaan, bersyukurlah kepada Allah swt atas nikmat-Nya.

Jika sebaliknya, bersabarlah, kerana Allah Maha Bijaksana dalam mengatur setiap urusan hamba-Nya.

Reaksi kita terhadap kedua-dua bentuk ujian itu mencerminkan tahap ketakwaan kita kepada Allah swt – sejauh manakah reda dan kebergantungan kita kepada kekuasaan-Nya.

Sabar tersurat, syukur tersirat

Sabar merupakan perasaan yang dapat dilihat oleh orang ramai.

Ketika keputusan peperiksaan tidak seperti yang diharapkan, sabar terserlah apabila kita mampu menahan diri daripada meluahkan rasa kecewa dan kehampaan.

Ia adalah manifestasi ketenangan diri yang dikawal agar tidak terbawa-bawa oleh gelora emosi.

Sifat sabar itu dilatih dengan menahan perasaan, menerima hikmah di sebalik setiap kejadian dan meyakini segala yang berlaku adalah atas kebijaksanaan Allah swt.

Sabar mendidik kita agar tidak mudah berputus asa, bahkan terus berusaha sambil bertawakal kepada Allah swt.

Sabar bukan sekadar tentang menahan diri, malah menanam ketenangan dalam hati setelah berusaha sebaik mungkin.

Itulah acuan sabar yang digariskan dalam ajaran Islam, membimbing masyarakat agar lebih matang dan bersikap positif dalam menghadapi apa jua cabaran kehidupan.

Syukur yang sebenar bukan sekadar ucapan terima kasih, bahkan perasaan yang mendalam terhadap setiap nikmat Allah swt, sama ada besar atau kecil.

Dalam menerima keputusan peperiksaan yang memberangsangkan, contohnya, rasa syukur tidak perlu ditunjukkan secara berlebihan, apatah lagi kepada mereka yang kurang bernasib baik.

Tindakan berhati-hati itu mencerminkan akhlak mulia seorang Muslim – di mana syukur tidak dibiarkan bercampur dengan rasa riyak mahupun ujub.

Syukur juga berkait rapat dengan sifat tawaduk.

Muslim yang benar-benar beriman menyedari segala rezeki dan kejayaan datang daripada Allah swt, justeru tidak berbangga diri atau lupa asal usul nikmat tersebut.

Sentiasa merendah hati adalah tanda keinsafan dan bersyukur atas kurniaan Allah swt.

Kesimpulan

Gabungan syukur dan tawaduk membentuk peribadi Mukmin sejati.

Rasa syukur mengelakkan kita daripada lupa diri, manakala tawaduk memastikan nikmat tidak menjadikan kita sombong.

Kedua-duanya membuka jalan untuk lebih dekat kepada Allah swt dan dihormati oleh masyarakat.

Dengan kita kini berada dalam Rejab, salah satu bulan mulia dalam Islam, mari kita merenung kembali diri, memperbanyak amal soleh dan mendekatkan nurani kepada Allah swt.

Rejab mengingatkan kita setiap ujian dan nikmat adalah peluang memperkuat iman, melatih sabar dan mengukuhkan syukur.

Justeru, sifat sabar dan syukur perlu kita tanamkan dalam diri, bukan sahaja ketika menantikan keputusan peperiksaan, malah terhadap setiap ujian Allah swt.

Perbezaannya adalah natijah ujian itu hanya akan jelas pada Hari Kiamat kelak.

Teruslah berusaha dan jangan pernah berputus asa atas rahmat-Nya.

Penulis, Ustaz Muhammad Khairani Basiran.
Penulis, Ustaz Muhammad Khairani Basiran. - Foto fail

Penulis ialah pendakwah bebas berkelulusan ijazah Sarjana Sains (Pengajian Asia) daripada Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU) serta ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Syariah) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau pernah berkhidmat lebih 10 tahun sebagai Ketua Komunikasi Strategik dan Penglibatan Masyarakat di Masjid En-Naeem.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg