Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Belajar baiki gitar, buka niaga sendiri

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Belajar baiki gitar, buka niaga sendiri

Feb 25, 2024 | 05:31 AM



Encik Hazieq Nizam berjinak-jinak dengan minat memperbaiki gitar semasa berusia 17 tahun dan mula membantu membaiki gitar rakannya sahaja.

Beliau berasa seronok dan gembira melakukannya dan sedar bahawa beliau mempunyai bakat membaiki gitar walaupun belum mendapatkan latihan formal ketika itu.

Dengan minat itu, Encik Hazieq, yang juga dikenali sebagai Wax, 25 tahun, kini merupakan seorang juruteknik instrumen.

Beliau meninggalkan pekerjaan sepenuh masa sebagai seorang barista (penyedia kopi secara profesional) pada April 2023 untuk memperbaiki gitar sepenuh masa.

“Saya memang kagum dan sayang terhadap gitar dan saya rasakan saya akan pilih untuk menjadi gitar jika saya bukan manusia,” kata Encik Hazieq sambil ketawa.

Beliau berkongsi bahawa minatnya dalam muzik bermula sejak kecil. Malah, menurut ibu bapanya, sebelum mula bercakap, beliau bersenandung dengan melodi lagu.

Semasa menuntut di Politeknik Republik (RP), beliau menyertai kegiatan kokurikulum (CCA), Jammerz Arena – sebuah kumpulan muzik yang menyajikan persembahan di sekolahnya.

Melalui CCA itu, beliau berpeluang membantu memperbaiki sekitar 10 gitar yang rosak.

Pada akhir Disember 2022, Encik Hazieq mengambil cuti sebulan tanpa gaji untuk menjalani perantisan di bawah seorang luthier (pembuat alat muzik bertali seperti biola atau gitar) yang terkenal di peringkat antarabangsa, Encik Jeffrey Yong, di Kuala Lumpur, Malaysia.


Semasa di sana, beliau mempelajari tentang pelbagai kayu yang boleh digunakan untuk menghasilkan gitar, serta bagaimana membuat gitar daripada pokok.

“Perkara yang saya belajar dari beliau tidak boleh dikira dengan wang ringgit. Ilmu yang saya peroleh daripadanya sangat bernilai sekali,” kongsi Encik Hazieq.

Berbekalkan kemahiran dan pengetahuan yang diperolehi, Encik Hazieq pulang ke Singapura untuk menjalani sesi perantisan dan kemudian memulakan perniagaan memperbaiki gitar.

Beliau memulakan perniagaan dari rumah dan mengenakan bayaran $35 sahaja pada masa itu.

Beliau menyediakan khidmat antaranya penyenggaraan bagi semua jenis gitar, konsultasi mengenai gitar serta menukar tali gitar.

“Saya percaya bahawa setiap orang seharusnya dapat bermain alat muzik profesional tanpa dikenakan bayaran yang terlalu tinggi,” kata beliau.

Encik Hazieq berkongsi bahawa pelanggan beliau kebanyakannya adalah pelajar sekolah menengah, dan dengan mengenakan harga lebih rendah, beliau berharap dapat “menggalakkan pertumbuhan muzik tempatan”.

Setelah memiliki pengalaman menjalankan perniagaan selama lima tahun, barulah beliau meningkatkan harga yang dikenakan daripada $35 kepada $65.

Pada Ogos 2023, Encik Hazieq membuka kedai dipanggil Wax Guitar Services di Suites @ Bukit Timah berdekatan stesen MRT Beauty World.


Beliau menghiasinya dengan sentuhan tangannya sendiri termasuk mengecat kedai, menghasilkan meja dan memasang lampu sendiri.

Beliau juga melakukan kegiatan pemasaran di media sosial dan tugas pentadbiran sendiri bagi menjimatkan kos operasi.

Walaupun mencabar, beliau sedar bahawa itulah pengorbanan yang perlu dilakukan untuk melihat perniagaannya dapat terus bertahan.

“Saya harus terima hakikat bahawa saya tidak boleh ikut jejak hidup orang lain,” kata beliau.

“Saya tidak mahu melakukan ini untuk sekadar cukup makan sahaja. Saya mahu berusaha untuk jangka panjang. Itulah sebabnya saya melakukan semua yang saya boleh sekarang,” tambah beliau.

Namun, perjalanannya penuh berliku.

Beliau pernah berdepan dengan mereka yang tidak menyokong minat dan perniagaannya itu.

Encik Hazieq berkongsi bahawa beliau pernah mengalami orang yang memandang rendah terhadap minat dan bidang perniagaannya.

Bahkan, hatinya sedih apabila melihat orang membuang kad perniagaannya di depan mata.

“Saya sudah biasa dengan kegagalan. Kegagalan merupakan sebahagian daripada pengalaman perniagaan. Saya melihatnya sebagai peluang untuk mempelajari sesuatu,” kongsi Encik Hazieq.

Namun, beliau memperolehi semangat dan motivasi daripada orang yang menyokongnya, seperti pensyarah beliau di RP, Encik James Lye, dan kedua-dua ibu bapanya.

“Saya amat gembira kerana saya sedang menjadikan bukan sahaja impian saya, bahkan impian pensyarah dan ibu bapa saya menjadi kenyataan,” kata beliau.


Usaha beliau tidak berakhir di situ dan beliau ingin terus mengembangkan perniagaannya.

“Mempunyai kedai ini hanya satu titik permulaan bagi saya,” kata Encik Hazieq.

Beliau menekankan bahawa untuk memulakan sesuatu, individu itu harus mempunyai pengetahuan yang mendalam dan perlu terus menimba ilmu.

“Saya mahu orang ramai menyedari bahawa potensi yang mereka ada bergantung pada sejauh mana mereka mahu berusaha dan percaya pada diri mereka sendiri,” kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >