Ketika umurnya baru sembilan tahun, Encik Rafadi Basri ternampak sekumpulan wanita sedang mengait ‘crochet’.
Memandangkan beliau kanak-kanak lelaki, beliau teragak-agak untuk mendekati mereka tetapi menyimpan hasrat berbuat demikian.
Rasa ingin tahu membuatnya meminta kakaknya menghampiri untuk memerhatikan apa yang mereka lakukan.
“Pada waktu itu, seorang lelaki yang menunjukkan minat sebegitu dipandang serong dan dikata macam-macam, tetapi minat untuk mengait itu datang secara semula jadi.
“Setelah kejadian itu, saya dapatkan benang dan jarum untuk mengait dan belajar dan mencuba-cuba sendiri, serta belajar daripada kesilapan.
“Maklumlah, pada masa itu, mana ada YouTube atau TikTok?” kata Encik Rafadi, kini 57 tahun, yang lebih senang dikenali dengan nama Camy.
Camy, anak ke-10 daripada 11 orang adik-beradik, berkata niatnya ketika itu adalah untuk membantu keluarganya.
Membesar di sebuah rumah sewa ‘L’ dengan ramai ahli keluarga membuatnya selalu terfikir bagaimana beliau dapat membantu menyara kehidupan mereka.
Ayahnya ketika itu bekerja sebagai seorang pekebun dan ibunya membuat kuih.
Pada waktu petang, Camy akan membantu ibunya menjual kuih di kawasan perumahan mereka di Tampines Way.
Pada waktu malam, beliau akan tidur di koridor kerana keadaan rumah sempit.
Bapanya sendiri juga memberi sokongan dan meminta Camy menjahit songkok untuknya solat di masjid dan mengenakan dengan baju Melayunya yang berwarna-warna.
Dari situ, ramai kawan-kawan bapanya bertanya dan dengan bangganya beliau akan memberitahu mereka: “Ini anak aku yang buat!”
“Walaupun macam-macam orang mengata tentang saya, ibu bapa saya menggalakkan saya belajar mengait. Kata ibu saya, ‘Tak apa, kau belajar, nanti kau boleh ajar orang pula’,” kata Camy lagi, mengenang kembali masa baru-baru berjinak dengan seni ‘crochet’.
Beliau kini sukarelawan yang mengajar mengait kepada sekumpulan wanita di bawah Kelab Seni dan Budaya Masyarakat Yio Chu Kang.
Pada setiap hari Ahad dan Isnin, Camy mengetepikan dua jam untuk sesi mengait bersama-sama dengan suri rumah dan warga emas yang sudah pencen untuk melibatkan mereka dengan aktiviti sihat dan berkumpul mesra sambil mengait.
“Saya seorang saja lelaki di sini dan seorang sahaja Melayu, tetapi saya seronok bersama-sama dengan mereka mengait, dan kami sedang mengusahakan satu projek untuk pameran pada Hari Kebangsaan 2024 nanti,” kata Camy yang juga bekerja sambilan sebagai pendandan rambut.
Antara pesertanya, penduduk Ang Mo Kio, Cik Kristina Loh, 65 tahun, berkata beliau pernah belajar mengait sewaktu masa muda, tetapi sudah lama mengabaikan hobi itu.
“Sekarang saya sudah bersara, hendak cari kerja sambilan pun susah, jadi saya terhibur menghabiskan masa bersama teman-teman sambil belajar crochet untuk senaman minda,” kata Cik Loh.
Cik Loh juga berkata beliau tidak berasa janggal belajar daripada Camy, walaupun beliau seorang lelaki.
“Camy orangnya periang, suka bergurau dan sangat kreatif. Dia juga penyabar dan kami dapat belajar banyak tentang crochet darinya. Saya tidak rasa janggal seorang lelaki mengajar crochet. Kami semua suka kelasnya!” tambah beliau.
Jawatankuasa Penduduk (RC) Yio Chu Kang mengadakan sesi itu untuk warga emas bersosial selain melawan penyakit demensia, kata Camy.
“Di sini kita belajar daripada satu sama lain, sambil berjumpa dan mengait. Demensia adalah satu satu penyakit warga tua yang kita mungkin alami dan salah satu cara mengelaknya adalah untuk kekal aktif,” ujar Camy.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg