INDIVIDU bekerja sendiri (SEP) yang layak, seperti pemandu teksi, akan menerima $1,000 setiap bulan selama sembilan bulan di bawah satu skim baru dalam usaha membantu golongan tersebut semasa tempoh mencabar ini.
Menteri Kewangan, Encik Heng Swee Keat, berkata beliau telah berbincang dengan Menteri Tenaga Manusia, Cik Josephine Teo, dan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng, untuk membentuk Skim Pelepasan Pendapatan bagi SEP (Sirs) bagi tempoh ini.
Pemerintah akan memperuntukkan $1.2 bilion bagi skim itu, dengan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) akan memberikan perincian lanjut.
"Dalam Belanjawan Berdaya Tahan ini, kami merancang menyediakan bantuan wang tunai kepada lebih ramai SEP.
"Sesetengah daripada mereka mempunyai kurang sumber pendapatan dan sokongan keluarga, dan memerlukan bantuan semasa tempoh mencabar ini," kata Encik Heng.
Dalam pada itu, lagi $48 juta akan diperuntukkan untuk melanjutkan Skim Bantuan Latihan SEP kepada Disember ini.
Elaun latihan sejam di bawah skim itu juga akan ditambah daripada $7.50 kepada $10 mulai 1 Mei ini.
"Elaun latihan dipertingkat itu adalah di samping subsidi latihan murah hati yang sudah disediakan, yang meliputi sehingga 90 peratus yuran kursus.
"Di samping itu, pelatih juga boleh memanfaatkan Kredit SkillsFuture mereka untuk membiayai yuran kursus," kata Encik Heng.
Pakej Bantuan Tempat-ke-Tempat juga akan dilanjutkan dan dipertingkat untuk membantu pemandu teksi dan pemandu kereta sewa privet yang terjejas semasa tempoh ini.
Pemerintah akan mengeluarkan belanja lagi $95 juta bagi pakej itu.
"Pemandu teksi dan pemandu kereta sewa privet yang layak akan terus menerima bayaran Dana Bantuan Khas $300 bagi setiap kenderaan setiap bulan sehingga hujung September.
"Kami juga akan melanjutkan sokongan kepada pengendali teksi dan kereta sewa privet," kata Encik Heng.
Beliau menambah bahawa bantuan juga akan diberikan kepada pemilik bas privet.
Pemerintah akan menelan belanja $23 juta untuk menyediakan rebat cukai jalan raya untuk setahun dan pengecualian bayaran meletak kenderaan di kemudahan tempat meletak kenderaan kendalian pemerintah selama enam bulan kepada kumpulan itu.
"Dalam Belanjawan Berdaya Tahan ini, kami merancang menyediakan bantuan wang tunai kepada lebih ramai SEP. Sesetengah daripada mereka mempunyai kurang sumber pendapatan dan sokongan keluarga, dan memerlukan bantuan semasa tempoh mencabar ini." - Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Heng Swee Keat
BANTUAN UNTUK PEKERJA
Skim Bantuan Pekerjaan
Geran Bantuan Covid-19
Dana Bantuan Sementara
Pekerjaan SGUnited
Program Pelatih SGUnited
Skim Pelepasan Pendapatan bagi Individu yang Bekerja Sendiri (Sirs)
Skim Bantuan Latihan SEP
Pakej Bantuan Tempat-ke-Tempat
Bayaran Khas Daya Kerja Dipertingkat


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg