Sebilangan belia Melayu/Islam mendapati sukar untuk menceburi bidang kewangan sebagai minoriti di Singapura.
Mereka juga bimbang mereka perlu bergelut dengan budaya hiburan atau kegiatan yang mungkin bercanggah dengan tuntutan agama.
Untuk mengetahui cara mengatasi cabaran serupa itu, sekumpulan belia, yang antaranya karyawan dalam bidang kewangan ataupun yang berminat untuk menceburi bidang itu, mengajukan soalan kepada mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank of Singapore, Encik Bahren Shaari, semasa Sesi Jauhari pada 24 Jun.
Encik Bahren, yang juga anggota Lembaga Pengarah SPH Media dan Universiti Nasional Singapura (NUS), dengan pengalaman luasnya, berkongsi tentang pentingnya ‘picking your battles’ atau memilih isu yang lebih berbaloi untuk diperjuangkan.
Kata-kata perangsang dan nasihat beliau menjadi iktibar kepada para peserta berusia 18 hingga 35 tahun yang hadir.
Siri Jauhari diperkenalkan oleh akhbar Berita Harian (BH) dan jenama golongan muda BH, OMGxBH, dalam usaha menyediakan ruang kepada para pemenang Anugerah Jauhari BH berkongsi pengalaman kerjaya dan kehidupan mereka kepada golongan muda.
Siri bulanan selama enam bulan itu disokong oleh unit maklum balas pemerintah, Reach.
Antara peserta yang hadir ialah Cik Fika Dwirishcka, 26 tahun, seorang juruaudit yang menceburi bidang kewangan walaupun mempunyai kelulusan Sosiologi dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Untuk mengemudi bahtera dunia kewangan tanpa pengalaman ataupun pengajian tinggi yang berkaitan dengan kewangan, Encik Bahren berkata adalah penting membina rangkaian yang strategik, ‘soft skills’ atau kemahiran insaniah, yang merujuk kepada sifat-sifat peribadi yang membolehkan individu berinteraksi dengan berkesan dan mampu menggunakan apa yang dipelajari untuk melintas bidang berbeza.
“Ia tidak mustahil untuk cemerlang dalam bidang kewangan walaupun tanpa pengalaman.
“Kita harus menggunakan kemahiran yang kita peroleh sebaik mungkin... juga penting untuk belajar cara berkomunikasi dengan berkesan dan bijak kerana rangkaian yang kita bina akan dapat membantu kita melangkah jauh.
“Saya amat bernasib baik kerana mengenali orang-orang penting.
“Atasan saya di tempat kerja juga berkongsi klien-klien mereka dan ia penting dalam membina nama saya di rantau ini, agar mereka mengenali saya dan saya dapat membina reputasi sebagai seorang yang boleh dipercayai,” kongsi Encik Bahren, penerima Anugerah Jauhari 2018.
Beliau juga akur bahawa ada kalanya sebagai minoriti Melayu/Islam dalam bidang kewangan dan perbankan, mereka harus bekerja lebih keras untuk membuktikan diri dan keupayaan diri.
Namun Encik Bahren turut menasihati para belia supaya fokus kepada memahami nilai mereka sebagai individu dan pekerja.
“Kita tidak dapat mengubah pemikiran dan pendirian orang lain dengan serta-merta.
“Apa yang boleh dilakukan ialah mengenali diri sendiri serta nilai, dan bagaimana kita dapat menambah nilai kepada tugasan dan juga klien kita.
“Hadir tepat pada masa, selalu bersedia, dan cari tujuan bermakna dalam apa yang anda lakukan,” ujar Encik Bahren.
Dalam dunia yang pesat berkembang dan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin canggih, beliau berkata anak muda harus kekal relevan dan melihatnya sebagai peluang untuk menyumbang semula dan mengatasi cabaran-cabaran baru.
AI generatif dan perubahan iklim adalah antara contoh yang beliau beri sebagai peluang bagi para belia untuk berkembang dan memajukan diri mengikuti peredaran zaman.
Sesi kedua Siri Jauhari yang berlangsung di kafe (working title) di Maktab Seni LaSalle, memberi ruang kepada peserta berinteraksi dan membina rangkaian serta mendapat inspirasi daripada perkongsian Encik Bahren yang praktikal dan terus terang.
Bagi Cik Adlynna Aziz, 26 tahun, penolong pengurus dalam bidang pemegang amanah dan perkhidmatan fidusiari, dan Cik Ainul Md Razib, 26 tahun, yang bertugas sebagai pembangun perisian dan juga pencipta kandungan, sesi itu sangat bermanfaat melalui pencerahan yang disampaikan.
“Apabila saya pertama kali ceburi bidang kewangan, ada yang mempersoalkan keputusan saya kerana saya tidak dapat mengelak daripada terlibat dalam perkara yang mengandungi atau berkaitan dengan riba, dalam sektor pelaburan perbankan.
“Namun, Encik Bahren berkongsi bahawa kita perlu faham definisi riba yang betul dan cari keseimbangan.
“Terdapat tugasan dalam industri perbankan yang boleh anda lakukan dan yang tidak boleh dilakukan.
“Oleh itu, kita perlu cari keseimbangan rohani dan mental serta kesejahteraan fizikal,” kata Cik Adlynna.
Cik Ainul pula berkongsi bahawa acara seperti ini penting kerana ia mendedahkan peserta kepada perspektif dan pola pemikiran yang berbeza.
“Sukar untuk kita berbincang tanpa ada perspektif berbeza.
“Dengan meluaskan rangkaian, kita akan dapat berkembang dan melihat kekurangan diri kita dan bagaimana membaikinya,” kata Cik Ainul yang mengambil iktibar daripada perkongsian Encik Bahren.
Dalam pada itu, para peserta memilih menyertai salah satu daripada empat kumpulan untuk membincangkan topik-topik mengenai cara membangunkan rangkaian bagi meningkatkan kerjaya; cara untuk kekal relevan dalam perubahan teknologi yang pesat; mengharungi cabaran dalam kerjaya sebagai minoriti; dan faktor yang dipertimbangkan semasa memilih kerjaya.
Untuk kekal relevan dalam mengharungi perubahan teknologi yang pesat, para peserta antara lain menyatakan mereka perlu terus belajar sepanjang hayat dengan mengikuti kursus agar terus kekal relevan dan tidak terkebelakang.
Dalam membangunkan rangkaian jaringan yang berguna dalam kerjaya, peserta bersetuju untuk menjadi proaktif dalam berhubung dengan orang yang dapat membantu mereka dalam kerjaya melalui media sosial seperti LinkedIn, serta menyertai kegiatan yang dapat meningkatkan rangkaian jaringan mereka.
“
Apa yang boleh dilakukan ialah mengenali diri sendiri serta nilai, dan bagaimana kita dapat menambah nilai kepada tugasan dan juga klien kita. Hadir tepat pada masa, selalu bersedia, dan cari tujuan bermakna dalam apa yang anda lakukan.“
Encik Bahren berkongsi bahawa kita perlu faham definisi riba yang betul dan cari keseimbangan. Terdapat tugasan dalam industri perbankan yang boleh anda lakukan dan ada yang tidak boleh dilakukan.“
Dengan meluaskan rangkaian, kita akan dapat berkembang dan melihat di mana kekurangan diri kita dan bagaimana memperbaikinya.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg