Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Reach mahu dekati lebih ramai lapisan belia

Jun 8, 2024 | 5:30 AM
Menteri Negara (Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, yang juga Timbalan Pengerusi Panel Penasihat Reach (tengah), bergambar dengan sekumpulan belia pelbagai kaum.
Menteri Negara (Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, yang juga Timbalan Pengerusi Panel Penasihat Reach (tengah), bergambar dengan sekumpulan belia pelbagai kaum. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Isu berkaitan diskriminasi, inklusiviti atau keterangkuman dan cara menjadikan Singapura masyarakat yang lebih bersifat ihsan, antara perkara yang menjadi perbincangan 80 belia pada malam 31 Mei lalu.

Belia pelbagai latar belakang, kaum dan agama itu merupakan hadirin bagi sesi pertama Siri Jauhari anjuran Berita Harian (BH) dan OMGxBH.

Disokong unit maklum balas pemerintah, Reach, sesi tersebut melibatkan mantan Presiden, Puan Halimah Yacob, yang antara lain telah berkongsi pengalaman hidupnya. Ia juga memberi peluang kepada belia mengetengahkan pandangan mereka tentang beberapa topik yang hangat dibincangkan di Singapura buat masa ini.

Menteri Negara (Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, yang juga Timbalan Pengerusi Panel Penasihat Reach, berkata perbualan seperti yang diadakan pada malam tersebut membuka ruang bagi isu-isu yang lebih penting untuk dibincangkan.

Belia yang hadir telah dibahagikan kepada empat kumpulan untuk membincangkan empat topik – ‘Bagaimanakah anda dapat membantu masyarakat yang memerlukan?’; ‘Bagaimanakah Singapura boleh menjadi masyarakat yang lebih bersifat ihsan?’; ‘Bagaimanakah Singapura dapat membangunkan masyarakat yang inklusif?’; dan ‘Bagaimanakah kita boleh memainkan peranan dalam memperbaharui kompak sosial Singapura?’.

“Semasa saya mengunjungi setiap kumpulan, saya sangat gembira mendengar beberapa isu yang sangat menonjol... diutarakan oleh kumpulan yang berbeza. Isu mengenai diskriminasi, inklusiviti, belas ihsan dan bagaimana kita dapat menarik sukarelawan... Saya rasa ini adalah topik yang sangat penting yang terus kita bincangkan.

“Saya rasa baik untuk diberikan peluang bagi mereka untuk meluahkan pendapat, pandangan mereka dan antaranya adalah bagaimana kita mahu memastikan sesuatu itu dilaksanakan,” kata Cik Rahayu.

Meskipun perbualan merupakan tahap pertama dalam berkongsi pendapat, Cik Rahayu berkata beliau berharap para belia dapat “mengambil langkah seterusnya”.

Ini kerana banyak isu-isu ini memerlukan “pembongkaran” yang lebih mendalam.

“Kadangkala kita mungkin rasa tak senang hati dengan sesuatu perkara tapi kita tak faham ada ekosistem di sebalik isu itu, atau perkara itu sedang dibincangkan tetapi ada perkara-perkara lain yang perlu diambil kira.

“Jadi saya fikir, perlu ada (pemahaman tentang) lapisan-lapisan yang lebih mendalam,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa di situlah Reach memainkan peranan kerana ia menyediakan platform berlainan dengan lebih banyak perbincangan berkenaan topik-topik khusus dapat diadakan.

Pada waktu itulah informasi yang lebih kukuh atau isu-isu yang berkaitan dengan topik tersebut dapat dikongsi agar orang ramai boleh membuat pertimbangan sebelum menyarankan penyelesaian.

Melangkah ke hadapan, Cik Rahayu berkata Reach mahu mendekati lebih ramai golongan muda.

“Kami mahu memastikan bahawa mereka rasa disertakan dalam proses ini kerana apabila kita berbual tentang dasar-dasar, seringkali ia agak ‘tinggi’ tetapi inilah anak muda yang bakal mengambil alih generasi seterusnya, perkara yang kita lakukan hari ini akan meninggalkan kesan ke atas diri mereka.

“Kami juga mahu membolehkan mereka menyuarakan pandangan mereka kerana daripada menyalurkannya ke tempat yang mungkin tidak digunakan atau tidak digunakan secara bermakna, lebih baik meluahkannya di sini dan kami boleh lihat bagaimana ia dapat dipertimbangkan,” ujar beliau.

Akur bahawa golongan belia itu sendiri amat rencam, beliau menambah bahawa Reach perlu bekerjasama dengan lebih banyak rakan kerja untuk mencari wadah berbeza untuk mendekati kumpulan belia berbeza, kerana “mereka mungkin ada pandangan lain”.

“Kita tidak mahu hanya yang paling kuat bersuara atau yang berani cakap sahaja, atau mereka yang paling rajin berikan maklum balas sahaja yang membentuk dasar dan membentuk hala tuju berdasarkan maklum balas mereka. Sebaliknya, kami mahu pendekatan yang lebih meluas,” ulas Cik Rahayu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg