Topik diikuti
Pergi ke BHkuBelia bertukar pendapat secara terbuka dalam format forum teater
Zhulkarnain: Peserta forum tunjuk keinginan mendalam cegah jadi radikal sendiri dalam komuniti
Belia bertukar pendapat secara terbuka dalam format forum teater
Adalah tidak salah jika seseorang memiliki pandangan atau pendapat berbeza.
Namun, jika pendapat atau pandangan itu cenderung ke arah keganasan, mengandungi anasir bahaya serta boleh menyebabkan seseorang bertindak berdasarkan kecenderungan tersebut dan mendatangkan kemudaratan, ia melampau batas dan tidak boleh diterima, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.
Ia antara tanda-tanda awal seseorang menjadi radikal dan adalah penting masyarakat mengenal pasti tanda sedemikian supaya boleh mendapatkan bantuan yang sewajarnya, tambah beliau lagi.
Encik Zhulkarnain berkata: “Tidak salah untuk ada pandangan atau pendapat yang bertentangan dengan orang lain.
“Tetapi ia menjadi satu kesalahan jika seseorang yang terdedah dengan kandungan bahaya dan ada unsur keganasan, untuk bertindak berdasarkan kandungan itu… dan lakukan keganasan terhadap masyarakat lain.”
Beliau berkata demikian kepada Berita Harian selepas menghadiri sesi dialog berkenaan radikalisme dan ekstrimisme dalam kalangan belia, di Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat (LLI) di Paya Lebar, pada 15 November.
Sesi dialog tersebut diadakan dalam format ‘teater forum’, di mana sekitar 100 peserta dipelawa membincangkan adegan yang dipentaskan secara interaktif.
Antara lain, peserta diberi peluang mempersoal watak-watak yang dipentaskan, mencabar pilihan mereka, serta meneroka pelbagai kemungkinan atau adegan alternatif.
Acara tersebut dianjurkan oleh badan bukan pemerintah (NGO) The Whitehatters, dengan sokongan pertubuhan seni Arts for Action dan Dialogue Centre Limited.
Menurut Encik Zhulkarnain, beliau mendapati keinginan tinggi oleh peserta, khususnya golongan belia, untuk memain peranan dalam masyarakat bagi mencegah radikalisasi sendiri.
“Golongan muda berkongsi bahawa sebahagian besar daripada mereka dambakan semangat kekitaan dan identiti, serta tidak mahu rasa terasing daripada orang lain.
“Ini bermakna golongan muda kita boleh, atau seharusnya, melibatkan diri secara aktif dalam memberikan sumbangan positif kepada masyarakat, sama ada di sekolah mahupun dalam komuniti.
“Lebih penting lagi, ini bermakna seluruh masyarakat secara umumnya, perlu mendekati golongan muda dan memastikan mereka rasa benar-benar sebahagian daripada masyarakat ini supaya mereka dapat terlibat sama secara bermakna,” ujarnya.
Laporan Penilaian Ancaman Pengganasan Singapura 2026 yang diterbitkan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada September menyatakan insiden menjadi radikal sendiri menjejas golongan yang semakin muda.
Jumlah kes Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) melibatkan golongan belia naik hampir empat ganda kepada 15 kes antara 2022 hingga 2026, berbanding empat kes antara 2017 dengan 2021.
Daripada jumlah itu, empat merupakan remaja berusia 14 tahun - tiga dikenakan Arahan Sekatan (RO) manakala seorang dikenakan Arahan Penahanan (OD) - menjadikan mereka individu paling muda dikenakan tindakan di bawah ISA.
Sehubungan itu, Pengasas dan Pengarah The Whitehatters, Cik Shahrany Hassan, berkata teater forum tersebut adalah wadah untuk belia memikirkan secara kritis berkenaan insiden menjadi radikal dalam talian dalam bentuk yang interaktif dan dinamik.
“Kami ingin peserta memahami bahawa menjadi radikal tidak semestinya berlaku dalam sekelip mata, dan ia juga tidak semestinya bermula dengan seseorang yang menerima ideologi ekstrem.
“Sebaliknya, ia boleh bermula daripada sesuatu yang lebih bersifat insaniah - perasaan terasing, disalah erti, marah, keinginan untuk rasa diterima atau sekadar ingin dilihat dan didengar,” ujarnya, yang juga pengerusi Casa Raudha, tempat perlindungan mangsa keganasan rumah tangga.
Salah seorang peserta, Cik Nurul Huda Mushtaq Ahmadinir, 26 tahun, berkata antara isu yang dekat di hatinya terkait dengan rasa tersisih atau terasing, khususnya yang melibatkan kanak-kanak daripada keluarga memerlukan.
Beliau berkata golongan ini lebih mudah terdedah kepada pengasingan sosial, sekali gus meningkatkan risiko menjadi radikal sendiri.
Beliau, mahasiswa tahun ketiga jurusan Sarjana Muda dalam Psikologi Dan Kriminologi di Universiti Murdoch berkata perkembangan otak atau keupayaan kognitif hanya menjadi matang pada usia 24 atau 25 tahun.
“Ini merupakan satu fakta psikologi,” ujar beliau.
“Sebelum mencapai usia itu, mereka belum mampu membezakan antara yang baik dan buruk. Bahkan, jika mereka cuba membuat penilaian itu sekalipun, pendirian mereka sering berubah.”