Jumlah kes Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang melibatkan golongan belia sejak lima tahun lalu telah meningkat hampir empat kali ganda, daripada empat kes antara 2017 dengan 2021, kepada 15 kes dari 2022 hingga 2026, kata Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD).

Menurut ISD, trend radikalisme kini membimbangkan berikutan penglibatan individu yang terpengaruh dengannya terdiri daripada mereka yang semakin muda.

Sementara itu, ISD berkata Singapura turut berhadapan dengan ancaman pengganasan yang tinggi.

Dalam Laporan Penilaian Ancaman Pengganasan Singapura 2026 ISD yang dikeluarkan pada 10 September, empat remaja berusia 14 tahun telah dikenakan perintah ISA sejak Jun 2024.

Daripada empat remaja itu, tiga dikenakan Arahan Sekatan (RO), dan seorang dikenakan Arahan Penahanan (OD), menjadikan mereka individu paling muda dikenakan tindakan di bawah ISA, kata laporan itu.

“Ada peningkatan ketara dalam kes radikalisasi belia yang ditangani di bawah ISA.

“Dalam tempoh setahun lalu sahaja, enam daripada lapan kes baharu ISA melibatkan belia berusia 20 tahun atau ke bawah. Meskipun masih muda, belia yang radikal boleh menimbulkan ancaman keselamatan yang serius,” kata ISD.

Terdapat empat kes melibatkan remaja berusia 14 tahun sejak Jun 2024.

Mereka termasuk seorang pelajar yang dikenakan RO pada Jun 2024, yang menjadi radikal sendiri dalam talian berikutan konflik Israel-Hamas yang berterusan. Dia juga bercita-cita menyertai Tentera Bendera Hitam (BFA).

Selain itu, terdapat pelajar yang dikenakan RO pada September 2025 yang menjadi radikal oleh fahaman bercampur aduk, Ekstremisme Ganas Komposit (CoVE).

Seorang lagi merupakan penyokong ISIS yang dikenakan RO pada November 2025 yang bercita-cita menyertai ISIS dan percaya dia boleh mati syahid.

Seorang pelajar juga telah ditahan di bawah OD pada Jun 2026.

Dia merancang serangan tikaman di sekolahnya, dengan menyediakan senarai sasaran yang mengenal pasti guru serta pelajar bukan Islam.

Menurut laporan itu lagi, propaganda dan naratif ekstremis dari luar negara boleh sampai kepada individu di Singapura dengan pantas menerusi wadah dalam talian, manakala konflik di luar negara pula boleh menjadi pemangkin utama kepada radikalisasi.

Dalam pada itu, konflik berterusan di Timur Tengah telah menyumbang kepada persekitaran keselamatan sejagat yang tidak menentu dan meningkatkan ancaman pengganasan di seluruh dunia.

“Kumpulan pengganas dan pelampau telah mengeksploitasi konflik Israel-Palestin serta konflik Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran untuk menyebarkan propaganda, menyemarakkan rasa tidak puas hati, dan menghasut penyokong mereka supaya melancarkan serangan terhadap pihak yang dianggap sebagai musuh,” kata ISD.

Justeru, berdepan dengan landskap ancaman luar yang semakin kompleks ini, radikalisasi sendiri kekal sebagai pendorong utama kepada ancaman pengganasan domestik di Singapura, tambah jabatan itu.

Walaupun tiada perisikan khusus mengenai serangan pengganas yang bakal berlaku ke atas Singapura buat ketika ini, Singapura dan kepentingan negara ini kekal menjadi sasaran menarik bagi elemen pengganas.

“Ini adalah atas beberapa sebab – hubungan mesra kita yang dilihat dengan negara Barat, termasuk Amerika dan Israel, kewujudan bangunan mercu tanda ikonik, serta status kita sebagai sebuah masyarakat sekular dan berbilang budaya,” kata ISD.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti