Adalah penting bagi belia mempunyai perspektif luas mengenai masa depan kerja lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan pendigitalan supaya aspirasi mereka tidak terbatas kepada peranan tradisional sahaja.
Demikian menurut Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, ketika bercakap kepada media pada Persidangan Masyarakat Gemilang yang diadakan di Google Singapore pada 13 Julai.
Menyentuh tentang keistimewaan persidangan kali ini yang diadakan buat kali ketiga, beliau berkata:
“Saya gembira bahawa kita menjalankan acara ini di Google kerana ia membayangkan keadaan masa depan – yang bukan hanya kerjaya yang mungkin berlaku dalam ruang fizikal tetapi juga ruang terbuka kerana pendigitalan... apa lagi dengan adanya kecerdasan buatan (AI).
“Ini memberikan pandangan dan tasawur kepada masyarakat kita supaya jangan menyempitkan pemikiran dari segi kerjaya mereka dalam bidang tradisional, dan sesuatu yang mereka mungkin tidak capai sekarang adalah peluang yang terbuka sepanjang hidup mereka.”
Seiring itu, kira-kira 250 belia yang menyertai persidangan anjuran Yayasan Mendaki berpeluang melibatkan diri dalam kegiatan seperti hologram, realiti maya (VR) dan realiti terimbuh (AR).
Contohnya, salah satu reruai memperkenalkan kursus terkini Google yang direka untuk membantu orang ramai yang menggalas pelbagai peranan dan daripada pelbagai industri agar menggarap kemahiran AI penting dalam meningkatkan daya penghasilan mereka tanpa memerlukan pengalaman.
Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, yang hadir selaku tetamu terhormat, dalam ucapannya juga menekankan bahawa terdapat banyak peluang yang dapat direbut belia zaman kini.
Jika dahulu pekerjaan idaman ramai secara umum termasuk doktor, peguam, jurutera atau guru, kini pilihannya lebih rencam termasuk saintis data, pereka pengalaman pengguna (UX) dan penggiat e-sukan.
Beliau memberi jaminan bahawa pemerintah akan sentiasa menyokong golongan belia.
Dalam pada itu, mereka perlu memastikan kemahiran mereka kekal relevan dalam dunia yang kian berubah-ubah.
Antara yang meraih manfaat daripada persidangan tersebut ialah Encik Muhammad Arif Abdul Halim, 22 tahun, yang kini bekerja dalam industri teknologi kewangan.
“Saya sedar perlunya persediaan yang baik, khususnya dalam bidang teknologi kewangan yang berkembang pesat. Golongan belia seperti kami perlu bersiap sedia dengan baik untuk sekitaran kerja baru yang memerlukan ketangkasan kerana perlu menghadam kian banyak aspek teknologi.
“Menghadiri acara sebegini menjadikan kami lebih peka dan lebih bersedia dalam berdepan dengan pasaran pekerjaan yang semakin mencabar pada masa akan datang,” ujarnya.
Selain itu, Encik Arif berkata beliau berpeluang berhubung dengan belia lain yang mempunyai pemikiran sama dari segi pembangunan profesional dan juga didedahkan kepada wadah yang membolehkan beliau menjadi sukarelawan.
Menurut Mendaki, persidangan tersebut bertujuan mengumpulkan belia dan menggalak mereka agar tampil menyumbang kembali kepada masyarakat demi bantu membina masyarakat gemilang.
Encik Masagos melahirkan harapan agar mereka yang sudah berjaya terus melakukan demikian.
“Ini satu ciri masyarakat yang harus dikekalkan, bermula dalam keluarga, kemudian masyarakat dan juga kepada negara. Saya harap dengan adanya usaha begini, dengan ada perkongsian dengan mereka yang sudah memberi sumbangan kepada masyarakat, mereka juga teruja untuk melakukannya dalam hidup mereka nanti.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg