Topik diikuti
Pergi ke BHkuBelia lebih berhati-hati buat keputusan bina keluarga
Belia lebih berhati-hati buat keputusan bina keluarga
Kesediaan dari segi emosi, kewangan dan mental jadi antara pertimbangan utama
Belia lebih berhati-hati buat keputusan bina keluarga
Menimang cahaya mata selepas pasangan mendirikan rumah tangga kerap dianggap sebagai langkah semula jadi atau sebahagian daripada proses membina sebuah keluarga.
Namun kini, semakin ramai belia mula melihat langkah mempunyai anak sebagai satu keputusan besar yang perlu dipertimbangkan secara mendalam.
Ia termasuk kesediaan dari segi emosi, kewangan dan mental.
Walaupun hanya berusia 25 tahun, Cik Siti Khadijah Ishak, berkata beliau berpegang teguh kepada keputusan untuk tidak mempunyai anak.
Cik Khadijah berkata keputusan itu bukan dibuat secara terburu-buru tetapi dipengaruhi pengalaman membesar serta perjuangannya sendiri dengan kesihatan mental.
“Saya membesar dengan mengalami trauma ketika saya masih kecil.
“Bukan hanya secara mental, saya turut melalui trauma secara emosi. Saya terpaksa menyaksikan perkara yang tidak baik berlaku di sekeliling saya.
“Keadaan itu semua membuat saya bertanya kepada diri sendiri, ‘bolehkah saya menjadi seorang ibu yang baik?’” jelasnya yang bertugas sebagai guru prasekolah dan belum mendirikan rumah tangga.
Beliau menghidapi Gangguan Kemurungan Utama atau Major Depressive Disorder (MDD), melalui rasa bimbang, serangan panik dan mengalamai masalah insomnia sejak 14 tahun.
Menurut Cik Khadijah, pengalaman didera secara mental dan lisan ketika kecil membuat beliau lebih berhati-hati untuk memikirkan soal mempunyai anak pada masa hadapan kerana tidak mahu perkara sama berulang kepada generasi seterusnya.
Beliau turut berkongsi bagaimana kehilangan seorang rakan rapat yang meninggal dunia akibat kemurungan selepas bersalin turut memberi kesan besar terhadap cara beliau melihat kehidupan dan keibubapaan.
“Rakan saya itu, juga mempunyai kemurungan seperti saya sebelum beliau bersalin dan keadaannya semakin teruk selepas bersalin.
“Saya jadi lebih takut dan lebih banyak berfikir tentang bagaimana trauma dan kesihatan mental boleh memberi kesan kepada seseorang,” katanya.
Meskipun begitu, beliau mengakui keputusan tersebut sukar diterima keluarga, terutama kerana beliau merupakan anak tunggal dan diharap dapat meneruskan keturunan keluarganya.
“Bila saya berkongsi kepada ibu bapa saya, mereka rasa kecewa.
“Jika saya berkata dengan jujur, saya pun ingin ada anak juga.
“Tetapi sekiranya apa yang rakan saya lalui, saya juga lalui, itu adalah risiko yang sangat tinggi dan saya tidak bersedia menghadapinya buat sementara ini,” jelasnya.
Namun, di sebalik trend sebahagian anak muda yang memilih untuk tidak mempunyai anak, masih ada pasangan yang tetap memilih untuk membina keluarga besar meskipun sedar akan cabarannya.
Bagi Encik Ramdan Saruan, bapa lima anak dengan anak keenam bakal lahir September ini, membesarkan keluarga besar di Singapura memerlukan pengorbanan serta kerjasama berterusan antara suami dengan isteri.
“Kita selalu akan duduk berbincang bagaimana kita dapat membantu satu sama lain.
“Bagi saya, bila kita bernikah dan ada anak, kita mempunyai tanggungjawab masing-masing.
“Sekiranya saya bergelut, isteri saya selalu akan membantu untuk memastikan keadaan semua okey,” katanya yang berusia 39 tahun.
Selain menguruskan lima orang anak, cabaran terbesar bukan sekadar soal kewangan malah, keletihan fizikal dan mental dalam menguruskan keluarga besar setiap hari.
Selain menguruskan keperluan harian sekolah mereka, beliau dan isterinya juga perlu memberi perhatian khusus kepada tiga orang anak yang berkeperluan khas.
Menurut Encik Ramdan, anak sulungnya yang kini berusia enam tahun menghidap autisme dan tidak bertutur.
Anak keduanya yang berusia empat tahun serta anak ketiganya yang berusia tiga tahun turut menunjukkan tanda-tanda autisme namun masih belum menerima diagnosis rasmi.
Anak keempat dan kelimanya merupakan sepasang kembar yang berusia dua tahun pada Oktober.
Beliau berkata keadaan itu memerlukan beliau dan isterinya memberikan perhatian tambahan terhadap keperluan emosi, pembelajaran dan rutin harian anak-anak mereka.
Encik Ramdan turut berkongsi bagaimana jadual kerjanya sebagai pegawai polis tambahan yang tidak menentu menyebabkan isterinya kadangkala perlu menguruskan semuanya seorang diri ketika sedang hamil.
“Sudah tentu bila saya lihat beliau lakukan semuanya bersendirian, sangat kasihan,” katanya.
Isterinya yang turut bertugas sebagai pegawai polis tambahan kadangkala perlu menghantar anak ke sekolah dan menyiapkan keperluan harian sendiri apabila Encik Ramdan sedang bekerja.
Menurut Encik Ramdan, cabaran membesarkan anak bukan hanya tentang wang, tetapi juga dalam memastikan setiap anak mendapat perhatian dan sokongan yang secukupnya.
“Ada masanya penat itu memang terasa, terutama bila perlu bahagikan masa antara kerja dengan keluarga.
“Tapi pada saya, bila nampak anak-anak membesar dengan baik, itu yang membuat semua pengorbanan itu berbaloi,” katanya.
Pada masa sama, pekerja sosial kanan PPIS, Cik Suhaili Saad, berkata keputusan untuk mempunyai atau tidak mempunyai anak adalah sesuatu yang sangat peribadi dan berbeza bagi setiap individu atau pasangan.
Menurut beliau, terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi keputusan tersebut termasuk pengalaman hidup, keadaan kewangan serta kesediaan emosi dan mental seseorang.
“Ada yang memilih untuk mempunyai anak walaupun tahu cabarannya besar kerana mereka rasa mereka mempunyai sokongan dan bersedia untuk melaluinya.
“Terdapat juga yang memilih untuk tidak mempunyai anak kerana mereka tahu mereka belum bersedia ataupun masih sedang melalui cabaran mereka sendiri,” katanya.
Beliau berkata kededua perspektif yang dikongsikan Cik Khadijah dan Encik Ramdan menunjukkan bahawa keibubapaan bukan lagi sesuatu yang dilihat secara hitam putih oleh generasi muda hari ini.
Namun, apa pun keputusan seseorang, sistem sokongan keluarga dan semangat “kampung” di sekeliling pasangan dan individu itu tetap memainkan peranan penting.
“Kadang-kadang orang lihat keibubapaan ini hanya tentang ibu bapa dan anak sahaja.
“Tapi sebenarnya sokongan keluarga itu sangat penting.
“Bila seseorang itu rasa mereka mempunyai sokongan yang baik, mereka mungkin boleh melakukan yang terbaik untuk keluarga mereka,” katanya.
“
“Ada yang memilih untuk mempunyai anak walaupun tahu cabarannya besar kerana mereka rasa mereka mempunyai sokongan dan bersedia untuk melaluinya. Terdapat juga yang memilih untuk tidak mempunyai anak kerana mereka tahu mereka belum bersedia ataupun masih sedang melalui cabaran mereka sendiri... Kadang-kadang orang lihat keibubapaan ini hanya tentang ibu bapa dan anak sahaja. Tapi sebenarnya sokongan keluarga itu sangat penting.”