Lebih 100 belia berumur 15-35 tahun menghadiri Dialog Antara Agama Belia yang julung-julung kali dianjurkan Masjid Al-Falah dengan kerjasama Muslim.Sg, pada 28 September.
Dengan sokongan Lingkaran Keharmonian Moulmein-Cairnhill dan Sayap Pemuda Organisasi Antara Agama, dialog itu fokus kepada dua nilai penting: belas kasihan dan keadilan.
Acara di Perpustakaan Awam Central, Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), itu turut dihadiri Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Encik Alvin Tan.
Sesi ‘break-out’ atau perbincangan dalam kumpulan kecil turut diadakan untuk memberi belia peluang membincangkan topik dengan lebih mendalam. Encik Tan turut hadir dalam sesi ini untuk lebih memahami perspektif belia berhubung belas kasihan dan keadilan.
Menurut satu kenyataan Masjid Al-Falah pada 3 Oktober, topik dibincangkan dengan pemahaman bahawa iman memainkan peranan penting dalam pelaksanaan nilai ini dalam masyarakat.
“Lebih penting lagi, belia dapat berkongsi cerita dan fikiran, menjadi terdedah dan belajar daripada peserta lain yang datang dari latar belakang, institusi dan orientasi agama yang berbeza untuk bersetuju dengan kebaikan bersama,” jelas kenyataan itu.
Ketika berucap semasa acara, ketua editor Muslim.sg, Cik Alia Abdullah mengemukakan soalan tentang bagaimana seseorang itu dapat menunjukkan belas kasihan pada hari ini, dan sejauh mana masyarakat benar-benar memahami, menggambarkan dan menerapkan dua nilai itu dalam kehidupan.
Anggota panel dialog terdiri daripada wakil dari agama Islam, Ustazah Liyana Rosli Asmara; seorang mubaligh Kristian yang mewakili agama Katolik, Encik Nicholas Lye; dan Encik Shukul Raaj Kumar yang mewakili agama Hindu, yang juga ketua penyelaras sayap belia Pertubuhan Antara Agama (IRO).
Anggota Rangkaian Belia Asatizah, Ustaz Ridhwan Basor, bertindak selaku moderator dalam dialog itu.
Menerusi dialog antara agama sedemikian, ia memupuk hubungan positif serta perbualan bermakna dan penting, sambil membina titik persamaan dalam kalangan peserta.
Acara tersebut menyediakan ruang selamat kepada para peserta meluahkan fikiran dan pendapat peribadi mereka sambil memahami perspektif berbeza dan menghormati perbezaan.
Encik Raaj Kumar menekankan bahawa menyumbang kepada masyarakat secara positif adalah cara terbaik untuk berbelas kasihan kepada semua.
“Melalui dialog seperti ini, kami memperkasakan satu sama lain untuk menjadi sekutu yang berpengetahuan, memperdalam pemahaman kami tentang kenyataan yang dihadapi di lapangan, sambil mengukuhkan sokongan antara satu sama lain dan bersatu dalam solidariti untuk tujuan bersama.”
Melantunkan faedah serupa, Masjid Al-Falah dalam kenyataannya menyatakan Dialog Antara Agama Belia serupa itu membolehkan masjid menjadi saluran untuk menggalak perbualan dan persefahaman antara agama dalam masyarakat Singapura yang lebih besar, sambil meningkatkan keharmonian kaum dan agama.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg