Pasangan suami isteri Encik Muhammad Alfi Muhammad Ramli dan Cik Nurul Syafiqah Mohamad Zailani meluangkan masa lapang hari cuti kerja pada 28 September untuk menghadiri forum tentang perkahwinan berjudul ‘Bersamamu Hingga Ke Syurga’.
Mereka berbuat demikian kerana yakin ia boleh memberi manfaat dan atas galakan Ustaz Khairil Amri Abdul Hamid, yang juga merupakan naib kadi semasa mereka diijab kabulkan, kata Cik Nurul Syafiqah, 30 tahun.
Mereka, yang telah lebih dua tahun mendirikan rumah tangga, juga ingin memberi sokongan kepada Ustaz Khairil, yang merupakan moderator di forum itu.
“Setiap hari kami ada rutin yang padat dan sibuk dengan urusan dunia. Ceramah ini membuka mata kami, mengingatkan kami untuk bermuhasabah diri dan tentang pentingnya bersabar,” kata ibu seorang anak berusia satu tahun itu.
Pasangan yang tinggal di Bukit Panjang itu telah ke Masjid Darul Ghufran di Tampines untuk mengikuti Forum ‘Bersamamu Hingga ke Syurga’, forum yang keempat dan terakhir diadakan di bawah siri Bersamamu Forums @ the Heartlands.
Forum itu juga memuatkan perkongsian oleh Naib Presiden Kehormat Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustazah Kalthom Muhammad Isa dan naib kadi, Ustaz Muhamad Nuzhan Abdul Halim. Ia turut dihadiri Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, sebagai tetamu terhormat.
Bercakap kepada media, Encik Masagos berkata setiap pasangan, walaupun telah bernikah dan hidup berkeluarga, perlu meningkatkan ilmu atau mendapatkan ilmu baru supaya hubungan suami isteri terus kuat.
“Inisiatif Bersamamu menemukan mempelai yang mahu mendirikan rumah tangga dengan kadi atau naib kadi, dan meneruskan hubungan mereka setelah mereka bernikah. Ini adalah satu usaha supaya mereka ada rujukan. Kalau ada masalah yang mereka perlu tangani setelah menjalani kehidupan berkeluarga atau suami isteri, ada seseorang yang boleh memberi nasihat yang membangun, membantu dan terus menguatkan keluarga tersebut,” kata Encik Masagos.
“Kerana ada hubungan erat yang ditanam semasa mempelai bertemu dengan kadi atau naib kadi, bukan setakat (untuk) akad nikah sahaja, ini telah membolehkan para naib kadi untuk memberi maklumat kepada mempelai supaya hadirlah dalam program (yang dianjurkan). Atas kepercayaan itulah mereka datang dan hadir. Kalau tidak dapat secara fizikal, mereka hadir secara dalam talian,” tambahnya.
Siri Bersamamu Forums @ the Heartlands dianjurkan oleh Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) dari 16 Ogos hingga 28 September sempena ulang tahun kelima program Bersamamu. Selain di Masjid Darul Ghufran, forum berasingan juga dianjurkan di Masjid Al-Falah, Masjid An-Nur dan Masjid Ar-Raudhah.
Lebih 400 orang telah menghadiri siri forum itu, yang turut menarik lebih 10,000 tontonan apabila disiarkan secara langsung di dalam talian.
Siri forum tentang perkahwinan dan keibubapaan itu adalah usaha mendekati masyarakat Muslim lebih luas di sini menyusuli kejayaan Forum Bersamamu sulung yang dimulakan pada 2023.
Selain menampilkan asatizah dan naib kadi, kaunselor perkahwinan dan pempengaruh yang memperjuangkan mesej mengukuhkan keluarga kepada masyarakat Muslim turut membentuk panel forum itu.
Mereka berkongsi kepakaran dan pengalaman luas mereka, serta memberi sudut pandangan keagamaan dan sosial dalam menguruskan cabaran perkahwinan dan jangkaan bagi pasangan berbeza.
Topik-topik yang dibincangkan termasuk tentang isu yang dihadapi pasangan yang berkahwin campur, persiapan memulakan keluarga dan menyesuaikan diri kepada peranan sebagai ibu bapa muda, pendekatan menangani konflik antara pasangan, dan peranan suami isteri dalam mengekalkan unit keluarga.
Bersamamu, yang dimulakan oleh golongan kadi dan naib kadi dimulakan sejak 2019 dengan sokongan ROMM, M Kuasa Tiga (M3) dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).
Antara lain, ia menjadikan kadi dan naib kadi sumber sokongan dan nasihat bagi pasangan dari masa sebelum mereka bernikah hingga dua tahun pertama perkahwinan mereka. Ia juga menggalak kadi dan naib kadi menjalin hubungan mesra dengan pasangan itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg