Tangan yang memberi adalah lebih baik daripada tangan yang menerima.
Pesanan arwah neneknya ini tersemat di sanubari Encik Umar Abdillah Shah Mohamed Adam Shah hingga ke hari ini.
Sejak usia semuda enam tahun, Encik Umar, 19 tahun, digalak neneknya agar sentiasa ringan tulang untuk membantu orang di sekeliling.
Malah, pesanan tersebut mendorong beliau supaya berbakti kepada masyarakat walau menerusi cara apa sekalipun, tidak kira di sekolah mahupun di luar.
Hasilnya, Encik Umar aktif dalam kegiatan kesukarelawanan di sekolahnya serta menjadi sukarelawan Persatuan Kebajikan Orang Kurang Upaya (HWA).
Disebabkan penglibatan aktif dalam masyarakat, Encik Umar telah dianugerahkan Hadiah Buku Harvard (Singapura) pada 22 Jun lalu.
Beliau, yang bakal menuntut di Universiti Nasional Singapura (NUS) dalam jurusan perubatan pada 2026, adalah antara 24 pelajar yang menerima anugerah itu dari Presiden Kelab Harvard Singapura, Cik Welly Tantono di DBS Auditorium.
“Apabila diberi pilihan antara kelab interaksi dan Majlis Pelajar, saya memilih untuk menyertai kelab interaksi. Majlis Pelajar sememangnya menyediakan wadah untuk kami menyumbang kembali tetapi bagi saya, kelab interaksi meletakkan tumpuan lebih besar kepada membantu masyarakat yang lebih luas, sejajar dengan pesanan arwah nenek,” kongsi Encik Umar yang menamatkan pengajian di Institusi Raffles (RI) pada 2023.
Kelab Interaksi di sekolahnya itu mempunyai 120 ahli yang bergotong-royong dan melakukan kerja sukarela seperti membersihkan pantai East Coast pada 2023 dan program bimbingan RI yang bermatlamat memberi motivasi kepada pelajar dari sekolah rendah, tambah pengerusi kelab tersebut.
Bukan sahaja di sekolah, malah Encik Umar turut berusaha memahami keperluan dan cabaran yang dihadapi golongan masyarakat yang kurang berupaya dalam kalangan masyarakat.
Beliau mempelajari tentang bola sepak berkerusi roda dan menjadi sukarelawan dengan Persatuan Kebajikan Orang Kurang Upaya (HWA).
Berkongsi dengan Berita Harian (BH), bola sepak berkerusi roda menarik perhatiannya apabila beliau menonton Sukan Paralimpik.
“Pada ketika itulah saya mengetahui tentang sukan tersebut dan mempelajari tentang HWA. Di sana saya diperkenalkan dengan kelas-kelas bola sepak yang ditawarkan kepada mereka yang berkerusi roda.
“Saya pun memutuskan untuk menjadi sukarelawan di sana dan mempelajari sukan tersebut dan sedikit sebanyak memahami cabaran ketika berkerusi roda,” kata Encik Umar yang telah meluangkan masanya di HWA dua kali sebulan sejak 2022.
Menurut beliau, pengalaman sebegini sememangnya telah meningkatkan rasa empatinya dan menangkis salah tanggapan bahawa perkhidmatan masyarakat tidak memberi manfaat kepada penyumbang khidmat.
Sebaliknya, membantu orang lain sering membawa kepada pertumbuhan peribadi dan pemahaman yang lebih baik tentang pelbagai perspektif, tambah Encik Umar.
Kini, walaupun beliau sedang menjalani Perkhidmatan Negara (NS) bersama Pasukan Polis Singapura (SPF), Encik Umar tetap cuba meluangkan masa melakukan kerja-kerja sukarelawan sebulan sekali pada hujung minggu, ujar penerima Hadiah Buku Harvard itu.
Anjuran Kelab Harvard Singapura, Hadiah Buku Harvard adalah anugerah tahunan dan diberikan kepada pelajar posmenengah yang telah menampilkan sikap mengambil berat terhadap orang lain dalam masyarakat.
“Saya sangat terharu menerima anugerah tersebut, sangat gembira. Anugerah tersebut adalah tanda motivasi bagi diri saya untuk terus melakukan kebaikan, berbakti kepada masyarakat dan mengajak lebih ramai orang untuk menolong,” ujar anak sulung daripada tiga beradik.
Berpegang teguh kepada pesanan arwah neneknya, Encik Umar akan terus menyumbang kembali kepada masyarakat dan akan sentiasa meluangkan masa untuk melibatkan diri dengan kerja amal kerana “setiap kebaikan itu tidak akan pernah merugikan.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg