Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Belia S’pura cemerlang dalam pertandingan kemahiran vokasional di Perancis

Pasukan S’pura raih 2 pingat emas, 4 perak, 2 gangsa dan 11 pingat kecemerlangan
Sep 16, 2024 | 2:18 PM
Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar, Dr Mohamad Maliki Osman (kanan) bersama Encik Irfan Zulhelmy Rohizam (tengah), yang mewakili Singapura di pertandingan WorldSkills dalam bidang Penyelenggaraan Pesawat; dan anggota Pusat Politeknik Temasek-Latihan Teknikal Lufthansa (TP-LTT),   Encik Stephen Sebastian D’Silva (kiri).
Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar, Dr Mohamad Maliki Osman (kanan) bersama Encik Irfan Zulhelmy Rohizam (tengah), yang mewakili Singapura di pertandingan WorldSkills dalam bidang Penyelenggaraan Pesawat; dan anggota Pusat Politeknik Temasek-Latihan Teknikal Lufthansa (TP-LTT), Encik Stephen Sebastian D’Silva (kiri). - Foto INSTITUT PENDIDIKAN TEKNIKAL (ITE)

Pasukan pelajar Singapura telah menunjukkan ketabahan, kecekalan, dan kecemerlangan dalam persaingan sengit bersama 1,400 peserta yang mahir dari seluruh dunia dalam Pertandingan WorldSkills 2024 (WSC2024) yang diadakan di Lyon, Perancis.

Setiap dua tahun, lebih 1,000 belia berbakat, diiringi guru dan jurulatih, berkumpul dari seluruh dunia untuk bersaing dalam pelbagai kemahiran perdagangan dan untuk menguji diri mereka dalam tuntutan standard antarabangsa.

Mereka merupakan wakil yang terbaik antara rakan-rakan mereka yang dipilih daripada pertandingan kemahiran serantau dan kebangsaan.

Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar, Dr Mohamad Maliki Osman, dalam satu catatan Facebook pada 16 September, berkata pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan politeknik yang mewakili Singapura membanggakan negara, sekali lagi membuktikan Singapura adalah peneraju global dalam kemahiran vokasional dan pendidikan.

Pasukan Singapura yang terdiri daripada 35 belia dari ITE, politeknik dan SBS Transit membawa pulang dua pingat emas dalam pameran barangan fesyen dan penghantaran barang, empat pingat perak, dua pingat gangsa dan 11 pingat kecemerlangan.

Mereka meraih pingat perak dalam bidang seni permainan digital 3D, teknologi reka bentuk grafik, layanan pelanggan dan teknologi air, serta dua pingat gangsa dalam bidang teknologi web dan pengkomputeran awan.

Dalam pada itu WSC2024 yang berlangsung dari 10 hingga 15 September juga pamerkan kemahiran dua peserta dari SBS Transit, Encik Muhamad Izuddin Zainudin dan Encik Mohamed Rady Mohamed Sany, dalam bidang baru iaitu teknologi kenderaan rel.

Dr Maliki, turut berkongsi pertandingan ini juga digelar sebagai “Olimpik” bagi pertandingan kemahiran, berkata:

“Ramai antara mereka bertungkus lumus mempersiapkan diri dan saya melihat kesungguhan mereka dalam menunjukkan kemahiran.

“Mereka pelajari kemahiran yang ada dan kemahiran yang baru daripada penuntut lain dan kami harap ini memberi mereka pengalaman mengetahui di manakah taraf mereka jika dibandingkan dengan rakan-rakan sebaya.”

Menurut Dr Maliki, pertandingan itu turut menjadi peluang sebagai institut pengajian tinggi (IHL) untuk mengimbas kembali kurikulum sedia ada yang boleh diperbaik menerusi pengalaman yang telah diraih.

“Kita juga lihat bagaimana IHL kita dapat mencapai ukur tara yang mana kurikulum yang disediakan setaraf dengan kurikulum IHL sedunia,” ujar beliau.

Pengerusi Majlis WorldSkills Singapura dan ketua eksekutif SkillsFuture Singapura (SSG), Encik Tan Kok Yam, juga mengucapkan tahniah kepada pasukan Singapura.

“Pasukan Singapura telah menunjukkan kecemerlangan dan ketabahan yang luar biasa di pentas global.

“Semangat, kerja keras dan ketekunan mereka dalam membuat persiapan, dan kemahiran mereka yang mengagumkan semasa WSC2024 telah membuat kami bangga sekali,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg