Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua pelajar Melayu antara wakil S’pura dalam pertandingan ‘WorldSkills’

Aug 29, 2024 | 6:54 PM
Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing (dua dari kiri), beramah dengan peserta ‘WorldSkills’ termasuk Encik Irfan Zulhelmy Rohizam (tiga dari kanan) dan Cik Selina Sapii (empat dari kanan), yang bakal bertanding semasa Majlis Ucap Selamat Pasukan Singapura 2024 di Politeknik Nanyang pada 29 Ogos.
Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing (dua dari kiri), beramah dengan peserta ‘WorldSkills’ termasuk Encik Irfan Zulhelmy Rohizam (tiga dari kanan) dan Cik Selina Sapii (empat dari kanan), yang bakal bertanding semasa Majlis Ucap Selamat Pasukan Singapura 2024 di Politeknik Nanyang pada 29 Ogos. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA
Cik Selina Sapii, 22 tahun, sedang menuntut di Politeknik Republik dalam kursus Operasi Restoran & Masakan. Beliau turut bakal mewakili Singapura di pertandingan WorldSkills dalam bidang Perkhidmatan Restoran.
Cik Selina Sapii, 22 tahun, sedang menuntut di Politeknik Republik dalam kursus Operasi Restoran & Masakan. Beliau turut bakal mewakili Singapura di pertandingan WorldSkills dalam bidang Perkhidmatan Restoran. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Walaupun tidak pernah berpeluang menaiki pesawat semasa kecil, mainan kegemaran Encik Irfan Zulhelmy Rohizam, 18 tahun, adalah kapal terbang.

Justeru, apabila tiba masa memilih kursus di politeknik pada 2022, beliau memilih jurusan Kejuruteraan Aeroangkasa.

Encik Irfan merupakan antara 35 belia yang bakal bertanding dalam 30 bidang kemahiran pada Pertandingan WorldSkills (WSC) ke-47 pada 2024.

Beliau akan mewakili Singapura dalam kategori Penyelenggaraan Pesawat dalam pertandingan yang akan berlangsung di Lyon, Perancis, pada 10 hingga 15 September 2024.

Pertandingan WorldSkills, yang diadakan setiap dua tahun, menitikberatkan kemahiran teknikal dan vokasional bagi golongan belia.

Dalam ucapannya di Majlis Ucap Selamat Pasukan Singapura di Politeknik Nanyang pada 29 Ogos, Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, menggalakkan peserta WorldSkills agar mempunyai rasa ingin belajar secara mendalam semasa di Lyon.

“Di Singapura, kita merupakan satu masyarakat yang bersikap kompetitif. Namun begitu, adalah lebih penting untuk memperbaiki diri sendiri setiap hari.

“Saya juga berharap anda belajar sesuatu selain apa yang sudah anda tahu. Lihat cara pergaulan mereka, rasakan budaya yang berbeza serta bangunkan hubungan.

“Apabila anda berada di sana, wujudkan juga rasa yang mendalam untuk memperhatikan suasana di sekeliling anda dan tidak hanya menumpukan kepada persaingan,” ujar Encik Chan.

Dalam satu temu bual bersama Berita Harian (BH), Encik Irfan berkongsi bahawa bapa saudaranya juga bekerja dalam industri yang sama, iaitu sebagai jurutera pesawat dengan SIA Engineering.

Menurut pelajar Politeknik Temasek itu, hubungan beliau bersama bapa saudaranya itu bertambah erat dengan perkongsian pengalaman dalam industri kejuruteraan yang mereka sama-sama ceburi.

Mengulas persiapan menghadapi Pertandingan WorldSkills, Encik Irfan berkata beliau perlu menjalani latihan intensif dan memerlukan banyak tenaga.

Peserta WorldSkills menjalani latihan sekurang-kurangnya lapan jam setiap hari.

Bagi Encik Irfan, beliau juga dikehendaki menjalani latihan selama tiga jam walaupun dalam tempoh peperiksaan.

Namun, dorongan guru, ibu bapa, serta rakan sekelas memberi Encik Irfan semangat.

Ditanya perkara yang beliau sudah pelajari setakat ini, Encik Irfan berkata: “Saya berasa beruntung. Saya raih manfaat besar walaupun belum lagi bertanding di Lyon. Ia merupakan ikatan yang dibina dengan bapa saudara saya.”

Seorang lagi wakili negara dalam pertandingan itu ialah Cik Selina Sapii, 22 tahun, yang akan bertanding dalam kategori Perkhidmatan Restoran.

“Ramai tidak sedar bahawa perkhidmatan restoran ini bukan sekadar melayan pelanggan sahaja. Ia lebih daripada apa yang disangka ramai.

“Bidang ini turut melatih kami menjadi seorang barista yang memerlukan kami mencipta resipi yang menarik dan lazat,” kata Cik Selina, yang mengikuti kursus Operasi Restoran & Masakan di Politeknik Republic.

Mengenai penyertaannya dalam pertandingan itu, beliau melahirkan penghargaan terhadap semangat yang diberi terutama daripada pensyarah politekniknya.

“Saya berharap dengan semangat yang diberi, saya dapat membalas jasa mereka dan pulang dengan kemenangan,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg