Topik diikuti
Pergi ke BHkuBelia S’pura masih cari hala tuju masa depan di tanah air sendiri
Kekal optimis, berusaha sesuaikan diri dengan dunia pesat berubah
Singapura mungkin terus mencatat kejayaan.
Namun, persoalan lebih besar adalah sama ada mereka mampu mengejar kemajuan itu dan bertahan seiring dengannya.
Walaupun ramai belia masih yakin dengan masa depan Singapura, keyakinan sama tidak semestinya dirasai apabila memikirkan masa depan mereka sendiri.
Demikian antara pandangan yang dikongsi empat anggota panel belia dalam podcast NoTapis sempena Hari Kebangsaan.
Episod itu telah membincangkan sama ada Singapura masih mampu menawarkan ruang dan peluang kepada generasi muda untuk membina kehidupan, kerjaya dan masa depan di negara sendiri.
Baru-baru ini, Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) serta Majlis Belia Kebangsaan (NYC) telah mengadakan sesi libat urus dengan lebih 60,000 belia serta mengumpul lebih 415,000 maklum balas daripada golongan belia dan pihak berkepentingan antara November 2024 dengan Mac 2026.
Dalam satu kenyataan bersama MCCY dan NYC pada 25 Julai, sebanyak 76 peratus belia menyuarakan keyakinan terhadap masa depan Singapura.
Namun, 66 peratus daripada belia bimbang tentang masa depan mereka sendiri.
Bagi pencipta kandungan, Cik Sofia Amalin Mohamad Daud, 24 tahun, Singapura memang mempunyai asas kukuh sebagai negara yang selamat dan stabil.
Tetapi beliau mengakui apabila memikirkan masa depan dirinya sendiri, timbul persoalan sama ada laluan itu mampan.
“Secara am, rakyat Singapura di sini rasa kehidupan mereka memang selamat dan nyaman.
“Sebagai pencipta kandungan dan seorang individu yang ingin meneroka bidang kreatif, saya sering tertanya sekiranya laluan membina kerjaya dalam bidang ini sesuatu yang saya boleh lakukan dalam masa akan datang,” tambahnya.
Menurut Cik Sofia, terdapat banyak peluang buat golongan muda berkembang di Singapura.
Walaupun begitu, cabaran seperti kos sara hidup yang semakin meningkat serta ketidaktentuan dalam bidang tertentu menyebabkan ada belia sepertinya mempersoalkan sama ada mereka mampu membina kehidupan yang diinginkan di sini.
Pandangan itu turut dikongsi mahasiswi undang-undang Universiti Nasional Singapura (NUS), Cik Marhamah Shaik Hussain, 21 tahun.
Menurut beliau, Singapura dikenali sebagai negara yang sentiasa merancang untuk masa depan.
Namun bagi generasi muda, persoalannya kini bukan sekadar mengenai hala tuju negara, tetapi sama ada mereka mampu membina kehidupan yang mampan dalam suasana kos sara hidup yang kian meningkat serta perubahan pesat dunia pekerjaan akibat perkembangan kecerdasan buatan (AI).
“Kalau saya harus berfikir tentang kemapanan diri di sini, saya tidak pasti saya boleh lakukannya.
“Agak mencabar kerana kos sara hidup yang sering meningkat. Jika ingin beli rumah anda harus melabur sekitar $500,000.
“Jadi apabila kita mempertimbangkan perkara seperti ini, memang harus fikir masak-masak bagaimana saya ingin terus tinggal di Singapura nanti,” jelas pelajar tahun ketiga bidang undang-undang itu.
Ketua Jabatan Young AMP, Encik Muhammad Asyraf Mustaffa, pula berpendapat kebimbangan itu tidak bermaksud golongan muda sudah hilang keyakinan terhadap masa depan mereka.
Menurutnya, beliau melihat belia hari ini masih optimis, tetapi sedang berusaha menyesuaikan diri dengan dunia yang berubah begitu pantas.
Encik Asyraf berkata golongan belia harus mengikuti perubahan teknologi, keperluan industri dan meningkatkan kemahiran mereka.
Ditanya sekiranya Singapura harus menyesuaikan diri dengan belia atau golongan belia yang harus mengikut acuan Singapura, anak muda berusia 32 tahun itu berkata kedua-dua pihak harus saling berusaha.
“Memang kalau boleh, kita inginkan struktur-struktur yang ada di Singapura untuk lebih disesuaikan buat belia kerana ini akan meringankan beban untuk mereka apabila mereka ingin meneroka bidang berlainan.
“Tapi belia harus juga cubalah. Itu saya rasa yang penting tentang ketabahan. Di mana walaupun kalau ada peluang, ada ruang tapi kalau mereka tidak ingin masuk, atau senang berputus asa, peluang ini akan hilang,” tekannya.
Pandangan Encik Asyraf itu turut disokong oleh dapatan SG Youth Plan yang menunjukkan 52 peratus belia yang sudah bekerja bimbang mereka akan ketinggalan dari segi kemahiran, manakala hampir dua daripada lima belia melihat kecerdasan buatan (AI) sebagai ancaman kepada peluang pekerjaan.
Menyentuh soal bagaimana keyakinan belia terhadap masa depan mereka boleh diperkukuhkan, ahli panel turut berpendapat pendedahan di luar negara serta peluang untuk meningkatkan kemahiran boleh terus diperluaskan.
Penasihat kewangan, Encik Uwais Mohammad Hatta, 29 tahun, berkata pengalaman belajar atau bekerja di luar negara mampu membantu belia memperoleh perspektif baharu sebelum kembali menyumbang di Singapura.
“Saya rasa kadangkala mereka yang belum ada peluang untuk meneroka di luar Singapura tidak tahu bahawa mereka boleh mengembang sayap mereka dalam bidang yang berbeza.
“Sekiranya mereka diberi peluang melakukan demikian, mungkin melalui biasiswa, program pertukaran atau bakat dari luar negara, kita dapat meningkatkan bakat tempatan dan menyumbang dengan lebih baik,” ujarnya.
Pandangan itu selari dengan dapatan Pelan Belia SG, yang menunjukkan 63 peratus belia percaya pengalaman bekerja di peringkat serantau mampu mempercepat perkembangan kerjaya mereka, manakala 50 peratus daripada belia sanggup menjalani latihan amali atau bekerja di negara Asia Tenggara.
Walaupun cabaran seperti kos sara hidup, perubahan teknologi dan persaingan pekerjaan terus membimbangkan sebahagian belia, perbincangan itu turut menunjukkan mereka masih percaya bahawa masa depan boleh dibentuk.
Bagi mereka, keyakinan terhadap masa depan Singapura tidak pernah menjadi persoalan.
Apa yang lebih penting ialah memastikan generasi muda terus diberikan ruang, peluang dan sokongan untuk berkembang bersama negara, agar mereka bukan sahaja menjadi saksi kepada kejayaan Singapura, malah turut menyumbang kepada kejayaan itu.
