Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Belia S’pura optimis terhadap keadaan politik, ekon negara

Jan 21, 2025 | 8:28 PM
Anggota penyelidik bagi kajian Keterlibatan Belia dan Sivik di Asia Tenggara, (dari kiri) pensyarah di Kolej Ilmu Kemanusiaan 
dan Sains (Bahagian Sains Sosial) dan Felo Bersekutu,
Program Kajian Sosial dan Kebudayaan Serantau (RCSS) Iseas, Dr Veronica L. Gregorio; Felo Pelawat Program RCSS Iseas-Institut Yusof Ishak, Profesor Iim Halimatusa’diyah; dan Zamil Pelawat Program RCSS Iseas – Institut Yusof Ishak, Dr Panarat Anamwathana, membentangkan hasil kajian mereka dalam satu simposium di Pengajian Asia Tenggara (Iseas)-Institut Yusof Ishak pada 21 Januari.
Anggota penyelidik bagi kajian Keterlibatan Belia dan Sivik di Asia Tenggara, (dari kiri) pensyarah di Kolej Ilmu Kemanusiaan dan Sains (Bahagian Sains Sosial) dan Felo Bersekutu, Program Kajian Sosial dan Kebudayaan Serantau (RCSS) Iseas, Dr Veronica L. Gregorio; Felo Pelawat Program RCSS Iseas-Institut Yusof Ishak, Profesor Iim Halimatusa’diyah; dan Zamil Pelawat Program RCSS Iseas – Institut Yusof Ishak, Dr Panarat Anamwathana, membentangkan hasil kajian mereka dalam satu simposium di Pengajian Asia Tenggara (Iseas)-Institut Yusof Ishak pada 21 Januari. - Foto FACEBOOK ISEAS-INSTITUT YUSOF ISHAK

Belia Singapura di peringkat pascasiswa paling bersikap optimis terhadap keadaan politik, kedaulatan undang-undang, keadaan ekonomi dan agenda ekonomi pihak pemerintah Singapura.

Menerusi satu tinjauan yang dijalankan ke atas enam negara Asia Tenggara – Malaysia, Filipina, Thailand, Indonesia, Vietnam dan Singapura – lebih tujuh dalam 10 responden (72.4 peratus) dari Singapura memandang situasi politik di sini secara positif berbanding belia di negara Asia Tenggara lain.

Jumlah itu adalah lebih empat kali lebih tinggi daripada jumlah responden Indonesia (15.3 peratus) dan Thailand (16.4 peratus) yang memandang situasi politik di negara mereka secara positif.

Dalam kalangan responden Malaysia, tiga dalam 10 (31.9 peratus) memandang situasi politik di negara mereka secara positif, manakala bagi Filipina pula, perangkaan itu adalah satu dalam empat (25.9 peratus).

Vietnam mencatatkan perangkaan kedua tertinggi dalam aspek ini, dengan 68.2 peratus responden memandang situasi politik di negara mereka secara positif.

Hasil kajian tersebut dikongsi pada 21 Januari dalam Simposium Keterlibatan Belia dan Sivik di Asia Tenggara, yang diadakan di Institut Pengajian Asia Tenggara (Iseas) – Institut Yusof Ishak.

Menurut laporan tinjauan, kajian itu dijalankan ke atas 3,081 belia prasiswazah berusia 18 hingga 24 tahun yang menuntut di kedua-dua universiti sekular dan universiti agama, bertujuan untuk mengenal pasti isu utama yang menjadi kebimbangan belia Asia Tenggara, antara lain.

Hasil kajian itu turut mendapati bahawa sebahagian besar belia di Singapura berpuas hati dengan sistem politik Singapura, dengan hampir 9 daripada 10 responden menyatakan mereka berpuas hati atau sangat berpuas hati.

Mengulas lebih lanjut mengenai dapatan tersebut, penyelidik bersama tinjauan itu dan juga Zamil Pelawat Program Pengajian Sosial dan Kebudayaan Serantau, Iseas – Institut Yusof Ishak, Dr Panarat Anamwathana, berkata ini mencerminkan sikap optimis belia Singapura terhadap masa hadapan mereka.

Ini di samping tahap kepuasan golongan ini terhadap tadbir urus negara dan kestabilan pentadbiran parti memerintah iaitu Parti Tindakan Rakyat (PAP), yang telah memerintah sejak kemerdekaan Singapura pada 1965.

“(Tahap) kebimbangan belia Singapura terhadap isu kestabilan politik dan keselamatan negara adalah lebih rendah (berbanding negara Asia Tenggara lain).

“Ini mungkin dapat dijelaskan sebahagiannya oleh hakikat bahawa Singapura telah ditadbir oleh PAP sejak 1965.

“Oleh itu, terdapat kestabilan dan kesinambungan dan hal ini mungkin menyuntik lebih keyakinan terhadap golongan muda,” kata Dr Panarat.

Kajian itu turut mendedahkan bahawa secara keseluruhan, tiga isu utama yang membimbangkan belia Asia Tenggara secara umumnya ialah rasuah, pengangguran dan kemelesetan ekonomi, serta jurang sosioekonomi yang semakin melebar.

Namun demikian, responden Singapura mempunyai tahap kebimbangan lebih rendah mengenai isu sedemikian berbanding negara lain di Asia Tenggara.

Hasil kajian itu mendapati belia Singapura sebahagian besarnya masih menganggap ketiga-tiga isu ini sebagai satu kebimbangan, tetapi jumlah responden yang tidak begitu bimbang adalah lebih tinggi berbanding negara Asia Tenggara lain yang ditinjau.

Dapatan sedemikian, kata Dr Norshahril Saat, barangkali memberi gambaran bahawa belia di sini “mengakui isu yang ada dan berdepan dengannya” tetapi secara perbandingan, tahap kebimbangan mereka adalah rendah.

Penyelidik bersama kajian tersebut, yang juga Zamil Kanan serta Penyelaras bagi Program Pengajian Budaya dan Sosial Serantau Iseas-Institut Yusof Ishak itu, berkata:

“Terdapat pelbagai sebab mengenai hasil dapatan sedemikian. Saya berpendapat tahap kepercayaan terhadap pemerintah dan mekanisme untuk menangani masalah dan isu kekal kukuh.

“Terdapat juga saluran maklum balas yang tersedia. Bagaimanapun, pemerintah tidak boleh mengambil mudah perkara ini.

“Seperti yang ditunjukkan oleh hasil tinjauan, belia (Singapura) mungkin tidak menunjukkan pandangan mereka secara zahir di media sosial, tetapi hanya menyerlah semasa detik-detik penting – misalnya tempoh Pilihan Raya Umum.”

Simposium itu juga menampilkan panel jemputan yang berkongsi hasil tinjauan sedemikian sehubungan dengan konteks negara masing-masing, termasuk Ahli Parlimen (AP) Muar yang juga mantan Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Encik Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg