Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengasas firma perunding F&B dan cef tersohor dinobat Jauhari 2024

Cef Akmal diiktiraf atas kecekalan, jerit payah bangunkan niaga, di samping impaknya dalam dunia kulinari antarabangsa
Oct 26, 2024 | 5:30 AM
Penerima Anugerah Jauhari Berita Harian (BH) 2024, Cef Akmal Anuar (tengah), bergambar bersama Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung (kiri), yang telah menyampaikan anugerah itu, dan Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, dalam satu majlis di Four Seasons Hotel Singapore pada 25 Oktober.
Penerima Anugerah Jauhari Berita Harian (BH) 2024, Cef Akmal Anuar (tengah), bergambar bersama Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung (kiri), yang telah menyampaikan anugerah itu, dan Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, dalam satu majlis di Four Seasons Hotel Singapore pada 25 Oktober. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Pengasas firma perunding makanan dan minuman (F&B) White Rice Co, Cef Akmal Anuar, telah dinobatkan sebagai Jauhari Berita Harian 2024.

Cef Akmal menerima anugerah tersebut dalam satu majlis penyampaian Anugerah Jauhari Berita Harian – disokong penyampai FairPrice Group dan ditaja Royal Kings Group serta OrangeTee sebagai rakan kongsi – di Four Seasons Hotel Singapore pada 25 Oktober.

Majlis dihadiri tetamu terhormat, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, yang menyampaikan anugerah tersebut.

Semasa berucap, ayah tiga orang anak berusia 42 tahun itu berkongsi bahawa anugerah tersebut merupakan satu penghargaan terhadap jerih payah yang dilaluinya dalam apa yang disifatkannya sebagai industri “tanpa belas kasihan”.

Beliau berkata: “Penderaan (secara mental), tiada kehidupan sosial, tekanan dan waktu pekerjaan yang memenatkan. Saya terus-menerus kerja dan tidak terlalu memikirkannya.

“Saya kekal cekal dan fokus. Selama saya bekerja, saya telah terapkan nilai disiplin dan cinta terhadap kemahiran saya sendiri.

“Saya rasa amat bertuah kerana dapat bekerjasama dengan (cef dan individu) terkemuka dunia, berpeluang menjelajah dunia untuk menyajikan masakan di istana, kelab kapal layar… dan hotel premium.”

Beliau meraih anugerah itu atas kemahiran dan pencapaiannya dalam bidang masakan setelah meninggalkan kesan dalam dunia kulinari antarabangsa menerusi pendekatan unik beliau terhadap sajian moden.

Mentelah, salah satu restorannya, 11 Woodfire, meraih Anugerah Michelin 1-bintang pada 2022, di samping pengiktirafan Bib Gourmand bagi restoran Goldfish Sushi & Yakitori – kedua-dua restoran ini terletak di Dubai.

Satu lagi restorannya, Otoro, di Abu Dhabi turut meraih pengiktirafan Bib Gourmand.

Cef Akmal kini mempunyai lebih 10 restoran merentasi benua iaitu di New York, Dubai dan Singapura.

Tidak cukup dengan pengiktirafan sedemikian, beliau juga dinamakan sebagai antara 20 pemilik restoran yang menerajui konsep restoran mewah dan tersenarai dalam majalah perniagaan berprestij Forbes Middle East.

Senarai itu mengiktiraf usahawan dalam bidang kulinari yang telah menubuhkan restoran dan jenama yang berpangkalan di Timur Tengah.

Seramai 20 individu terpilih itu datang daripada pelbagai latar belakang dan kewarganegaraan, dan 12 antaranya ialah pemilik restoran dari Amiriah Arab Bersatu (UAE) termasuk Cef Akmal sendiri yang berpangkalan di Dubai.

Beliau memulakan kerjayanya sebagai cef profesional pada 2001 di restoran Perancis, Les Amis, yang terletak di Shaw Centre di Scotts Road.

Namun, beliau pernah membantu ibu bapanya di gerai penjaja milik keluarga tatkala usianya masih 10 tahun.

Dalam majlis yang sama, pekerja sosial, Cik Zulayqha Zulkifli, 30 tahun, menyandang gelaran Jauhari Harapan Berita Harian 2024.

Beliau juga merupakan Pengasas Bersama Project Hill, yang diceburinya ketika masa lapang untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik dan keluarga yang tinggal di flat sewa.

Anak kedua dalam empat beradik itu merangkul anugerah tersebut atas usahanya memperjuangkan advokasi bagi pemerkasaan masyarakat dan komitmen beliau membantu keluarga memerlukan.

Sejak ditubuhkan pada April 2020, inisiatif tersebut telah membantu lebih 2,000 keluarga daripada 11 blok sewa dan menggembleng tenaga 150 relawan.

Sementara itu, Encik Ong mengambil peluang bagi menekankan hala tuju yang diambil penerima semasa dan sebelum ini dalam “merebut peluang untuk mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing”.

Semasa berucap, beliau berkongsi: “Setiap pemenang Anugerah Jauhari (dan Anugerah Jauhari Harapan) Berita Harian mencerminkan keberanian untuk merintis perjalanan baru, walaupun berhadapan dengan cabaran.”

Editor Berita Harian (BH), Encik Nazry Mokhtar, turut berkongsi tentang langkah akhbar ini “melakar perkembangan ketara” sejak menjalani transformasi pada 2023.

Semasa berucap, beliau menjelaskan: “Pertama, kami telah memperkenalkan kandungan baru yang unik kepada BH. Kedua, kami telah meningkatkan kehadiran BH di ruangan media sosial dan ketiga, kami telah meluaskan jangkauan kami kepada masyarakat.”

Edisi ke-26 anugerah ini turut diserikan kehadiran sekitar 230 hadirin.

Penerima anugerah 2024 ditentukan oleh anggota panel lima karyawan yang diterajui bersama Encik Nazry dan Duta Singapura ke Kuwait (Bukan Pemastautin), Encik Zainul Abidin Rasheed.

Anggota panel lain termasuk Pengarah Pusat Kepimpinan Masyarakat dan Inovasi Sosial Institut Teknologi Singapura (SIT), Profesor Madya Dr Intan Azura Mokhtar; Zamil Kanan yang juga Penyelaras bagi Program Pengajian Budaya dan Sosial Serantau, Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat; serta Anggota Lembaga Institut Timur Tengah Universiti Nasional Singapura (NUS), Encik Fazlur Rahman Kamsani.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg