Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bengkel falak pertama S’pura perkasa kepimpinan agama dalam astronomi Islam

Penerapan teknologi penggambaran dalam ilmu falak turut dibincang dalam bengkel dua hari
Jul 7, 2025 | 7:15 PM
Bengkel falak, Muis, perkasa kepimpinan agama S’pura
Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) buat julung-julung kalinya menganjurkan Bengkel Falak pada 7 dan 8 Julai. Antara penyampai tempatan di bengkel tersebut ialah Ahli Jawatankuasa Falak, Ustazah Safiyah Fauzi (kiri). - Foto MUIS

Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) menganjurkan Bengkel Falak pertama pada 7 dan 8 Julai.

Bengkel dua hari itu membincangkan isu semasa dan yang sedang muncul dalam bidang falak Islam, sambil memperkukuh iltizam Muis untuk meningkatkan pengetahuan dan keupayaan masyarakat Islam tempatan dalam sains astronomi Islam.

Ia menampilkan penyampai pakar falak Islam dari dalam dan luar negara dalam bengkel yang diadakan di Kampus Bencoolen Muis.

Antaranya, Pengarah Pusat Astronomi Antarabangsa yang berpusat di Amiriah Arab Bersatu (UAE), Encik Mohammad Shawkat Odeh; dan Ahli Jawatankuasa Falak, Ustaz Dr Firdaus Yahya serta Ustazah Safiyah Fauzi.

Seramai 80 peserta dan asatizah menghadiri bengkel tersebut, dengan harapan lebih ramai daripada mereka memiliki pengetahuan untuk menerangkan kepada masyarakat dalam hal berkaitannya.

Pengarah Pusat Astronomi Antarabangsa yang berpusat di Amiriah Arab Bersatu (UAE), Encik Mohammad Shawkat Odeh, merupakan antara penyampai di Bengkel Falak 2025, yang diadakan di Kampus Bencoolen Muis.
Pengarah Pusat Astronomi Antarabangsa yang berpusat di Amiriah Arab Bersatu (UAE), Encik Mohammad Shawkat Odeh, merupakan antara penyampai di Bengkel Falak 2025, yang diadakan di Kampus Bencoolen Muis. - Foto MUIS

Bercakap kepada wartawan di hari pertama bengkel tersebut, Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir, berkata bengkel falak itu merupakan usaha Muis dan Pejabat Mufti dalam memperkasa kepimpinan keagamaan di Singapura dalam bidang astronomi Islam dan ilmu falak, selari dengan perkembangan pesat teknologi hari ini.

Walau demikian, penggunaan teknologi di bidang itu masih lagi dibincangkan oleh pakar, bukan sahaja di Singapura, bahkan di peringkat antarabangsa.

Memberi contoh teknologi penggambaran atau imaging, beliau berkata:

“Beberapa pakar antarabangsa, salah seorang pakar yang kami jemput untuk menyertai bengkel ini (Encik Odeh) ada membuat kajian yang berterusan dan juga dapatan terkini.

“Dapatan serta kepakaran sedemikian membantu usaha kita untuk memperhalusi dan memperkukuhkan usaha menentukan takwim hijri kita dan waktu solat, dalam kita meneliti perkembangan zaman dan juga tempat di mana sesuatu masyarakat itu melaksanakan kewajipan agama untuk konteks mereka,” ujarnya.

Dalam teknologi penggambaran, kamera akan disambung pada teleskop dan komputer, sebelum merakam ratusan gambar langit.

Ia kemudian disusun atau stacking dan diproses secara langsung oleh perisian untuk menyerlahkan anak bulan yang pada awalnya kelihatan samar.

Dalam pada itu, Mufti turut melahirkan penghargaannya kepada sumbangan mantan Mufti termasuk Allahyarham Shaikh Syed Isa Semait, yang menjadi perintis dalam mengusulkan penggunaan kaedah pengiraan disebabkan kesukaran mencerap anak bulan akibat keadaan atmosfera tempatan.

Usaha menerapkan teknologi hari ini merupakan kesinambungan daripada sumbangan asatizah mapan, katanya.

“Hasil daripada usaha dan sumbangan mereka diteruskan. Sekarang terdapat teknologi baru, kita perlu bincangkan bagaimana kita dapat menggunakan teknologi ini dalam konteks perbahasan syariah dan fiqah dalam memperhalusi lagi usaha kita,” ujarnya.

Dalam bengkel tersebut, hadirin dapat meraih pengalaman Encik Odeh mengenai prinsip tradisional Islam serta sains astronomi moden.

Seorang pakar falak Islam antarabangsa, warga Jordan itu telah menyumbang dalam memodenkan dan menyeragamkan pengiraan saintifik waktu solat dan kalendar Hijrah di seluruh dunia Islam.

Sejak 2000, beliau telah berkhidmat sebagai anggota Jawatankuasa Rasmi Waktu Solat di bawah Kementerian Awqaf di Kerajaan Hashemite Jordan, dengan menyumbang kepada penetapan waktu ibadah yang tepat.

Beliau dilantik sebagai pegawai rasmi yang bertanggungjawab dalam pengiraan waktu solat dan kalendar Hijrah bagi UAE pada 2017.

Di samping itu, beliau turut membentuk piawaian rukyah (cerapan anak bulan) antarabangsa menerusi penyelidikan mendalam tentang hal itu, sekali gus mempengaruhi amalan sejagat.

Hasil kerjanya juga telah digunakan oleh badan berkuasa seperti Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri Agama Brunei-Indonesia-Malaysia-Singapura (Mabims).

Dalam wawancara bersama Berita Harian (BH), Encik Odeh, yang melawat Singapura buat julung-julung kalinya, menyambut baik bengkel itu yang membolehkan asatizah di Singapura bertukar pandangan perihal falak.

Antaranya teknologi baru, penetapan kalendar Islam, pencerapan anak bulan, dan juga pengiraan waktu solat.

Dengan itu, diharap pemimpin agama dapat memahami semua aspek isu yang dibincangkan.

“Hanya melalui pertemuan seperti ini barulah keputusan yang tepat dapat dicapai. Ia juga memastikan kita benar-benar memahami teknologi baru ini.

“Semua perbincangan ini hanya boleh berlaku sekiranya kita mengadakan bengkel seperti ini, di mana semua peserta dapat mendengar dan memahami pandangan orang lain,” ujarnya sambil memuji Pejabat Mufti yang menganjurkan bengkel tersebut sebagai inisiatif positif.

Ahli Jawatankuasa Falak, Ustaz Dr Firdaus Yahya, mengupas kaedah pengiraan secara toposentrik dan geosentrik.
Ahli Jawatankuasa Falak, Ustaz Dr Firdaus Yahya, mengupas kaedah pengiraan secara toposentrik dan geosentrik. - Foto MUIS

Hari pertama bengkel menumpukan pada Bengkel Lanjutan mengenai Falak Islam Kontemporari.

Ia meneroka pendekatan kontemporari dalam penentuan bulan Hijrah, termasuk kemungkinan penggunaan teknologi penggambaran dalam amalan rukyah.

Bengkel dimulakan dengan pembentangan oleh Encik Odeh mengenai teknologi penggambaran, diikuti pembentangan oleh Ustaz Dr Firdaus dan Ustazah Safiyah, yang mengupas kaedah pengiraan secara toposentrik dan geosentrik.

Kursus Latihan Falak Khas untuk Asatizah, pada hari kedua pula menumpukan kepada aplikasi praktikal dalam pengiraan astronomi.

Ia merangkumi latihan menggunakan perisian, ‘Accurate Times’, yang dibangunkan oleh Encik Odeh.

Sesi yang dikendalikan beliau itu membolehkan peserta menentukan waktu solat dan tarikh dalam kalendar Islam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg