Dalam usaha mahu meningkatkan prasarana dan kemudahan di Masjid Darul Makmur, usaha pengumpulan dana giat dilaksanakan bagi menampung kos peningkatan yang diperlukan.
Usaha gigih ini bertujuan menjadikan masjid lebih selesa dan mesra pengguna, serta mampu menampung bilangan jemaah yang semakin bertambah.
Masjid Darul Makmur yang aktif sebagai pusat ibadah menjadi ruang untuk masyarakat berkumpul dan mempelajari tentang agama Islam. Ia juga memerlukan pembaharuan dari segi kemudahan untuk memberi ruang kepada umat Islam menjalankan kegiatan keagamaan dengan lebih baik.
Bagi kerja peningkatan ini, antara projek yang dirancang termasuk pembinaan ruang solat tambahan, pembaikan sistem penyaman udara, penyediaan kemudahan wuduk yang lebih selesa, serta penambahbaikan sistem audio dan video bagi memudahkan kegiatan yang diadakan.
Pengurus Masjid, Ustaz Ruhaizan Abdullah, menyatakan:
“Masjid adalah pusat masyarakat yang memainkan peranan besar dalam kehidupan harian umat Islam. Dengan bilangan jemaah yang semakin meningkat, sudah tiba masanya kita memperbaiki kemudahan masjid yang telah berusia lebih daripada 37 tahun ini agar segala kegiatan termasuk solat berjemaah, kuliah agama, dan kegiatan kemasyarakatan dapat dijalankan dengan lebih lancar.”
Bagi merealisasikan impian untuk mencapai baki $2.9 juta yang masih diperlukan, pihak masjid telah melancarkan pelbagai daya usaha untuk mengumpul dana. Antaranya melalui sumbangan derma secara terus melalui GIRO, jualan amal, serta acara seperti program ceramah dan sumbangan wakaf.
Selain itu, masjid ini juga memanfaatkan platform digital dengan melancarkan kempen kutipan dana melalui dalam talian demi memudahkan orang ramai menghulurkan sumbangan.
Pada Oktober 2024 lalu, Masjid Darul Makmur telah mengadakan bengkel ‘Menyambut Kelahiran Si Kecil’ yang telah dikendalikan oleh mantan Mufti Singapura, Ustaz Mohamed Fatris Bakaram.
Program ini adalah salah satu daya usaha masjid untuk mendekati pasangan muda dan juga mencari dana untuk menyokong usaha peningkatan Masjid Darul Makmur.
Lebih daripada 70 peserta mendaftar dan hadir pada program yang diadakan pada 31 Oktober 2024 lalu bertempat di Masjid Yusof Ishak. Bengkel tersebut telah memberikan pencerahan tentang perkara yang harus dipertimbangkan semasa menyambut kelahiran anak seperti panduan menamakan bayi, perkara yang digalakkan dilakukan menurut ajaran Islam dan lain-lain lagi.
Bengkel tersebut bukan sahaja untuk bakal ibu bapa, bahkan ia sesuai bagi mereka yang baru mendirikan rumah tangga dan merancang mahu mempunyai cahaya mata, jelas Ustaz Ruhaizan
Antara yang hadir ialah Encik Sofian Mustafa, 62 tahun, dan bakal menjadi datuk, berkata:
“Alhamdulillah, kami teruja serta gembira untuk menerima cahaya cucu pertama kami. Dengan menghadiri bengkel ini, saya dan isteri raih banyak ilmu yang baru serta nasihat oleh mantan mufti kita, Ustaz Fatris.”
Seorang lagi peserta, Cik Fazliana Hamid, 26 tahun, berpendapat, “Bengkel ini dapat membuatkan diri saya lebih yakin untuk menerima anak yang bakal saya lahirkan tidak lama lagi.”
Dengan jangka masa yang kian suntuk, Masjid Darul Makmur berharap mendapatkan dana dalam masa enam bulan lagi.
“Setiap sumbangan, tidak kira besar atau kecil, akan memberi impak yang besar kepada usaha kami bersama. Kami berharap masyarakat dapat sama-sama berganding bahu untuk menjayakan projek ini demi kebaikan bersama,” kata Ustaz Ruhaizan.
Kerja peningkatan dijadualkan selesai pada penggal kedua tahun hadapan (2025).
“Masjid Darul Makmur masih mengalu-alukan sumbangan derma dan juga wakaf daripada masyarakat bagi menampung kos projek peningkatan yang masih memerlukan $2.9 juta, kami mendoakan agar semua penderma diberikan kesihatan dan dimurahkan rezeki mereka,” tambah Ustaz Ruhaizan.
Sumbangan derma untuk Projek Peningkatan Masjid Darul Makmur juga boleh dilakukan melalui:
1. PayNow ke UEN: S87MQ0033J (Rujukan: Wakaf).
2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 581-652138001 (Rujukan: Wakaf).
3. Cek atas nama ‘MASJID DARUL MAKMUR’ dan dihantar melalui pos ke alamat 950 Yishun Avenue 2, Singapura 769099.
4. Hadir di pejabat Masjid Darul Makmur atau di Masjid Assyafaah pada waktu pejabat.
5. Untuk pertanyaan atau pengambilan derma $500 ke atas dari rumah, sila hubungi pejabat masjid di talian 6752-1402.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg