Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Berdepan pelbagai cabaran, tidak patahkan semangat asatizah tingkat kemahiran diri

Apr 12, 2025 | 5:30 AM
Ustazah Khairunnisa Atiqah Arshard dan suami, Encik Anas Rahamat, menyelesaikan modul terakhir mereka sambil mengimbangi kehidupan baru sebagai ibu bapa kepada Nusaybah Anas. Mereka berjaya menamatkan Program Diploma Pakar dalam Pengajaran dan Pembelajaran di Institut Pendidikan Nasional Antarabangsa (NIEI).
Ustazah Khairunnisa Atiqah Arshard dan suami, Encik Anas Rahamat, menyelesaikan modul terakhir mereka sambil mengimbangi kehidupan baru sebagai ibu bapa kepada Nusaybah Anas. Mereka berjaya menamatkan Program Diploma Pakar dalam Pengajaran dan Pembelajaran di Institut Pendidikan Nasional Antarabangsa (NIEI). - Foto MUIS

Perjalanannya dalam menimba ilmu dalam bidang pendidikan Islam tidak mudah. Ustazah Khairunnisa Atiqah Arshard, 29 tahun, terpaksa melalui pelbagai dugaan. Namun, ia tidak mematahkan semangat beliau, malah membuatnya lebih bertekad untuk dalam mencapai cita-citanya.

Ustazah Khairunnisa menghadapi dugaan pertama ketika di tahun terakhir pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir.

“Ketika saya sedang menjalani peperiksaan tahun akhir di Universiti Al-Azhar pada 2019, saya dimaklumkan bahawa ayah jatuh sakit dan jangka hayat beliau tidak akan bertahan lama.

“Ketika itu, saya sudah berazam untuk pulang ke Singapura, tetapi ibu menasihatkan saya untuk kembali hanya selepas menduduki kertas terakhir saya.

“Alhamdulillah, saya sempat meluangkan masa lima hari bersama ayah, sebelum dia meninggalkan keluarga. Saya atasi kedukaan saya dengan memohon doa daripada orang di sekeliling saya,” cerita beliau.

SAMA-SAMA TIMBA ILMU

Setelah pulang ke Singapura, Ustazah Khairunnisa berjaya mendapat Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) pada tahun 2021. Pada tahun berikutnya, beliau menyertai Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah sebagai guru bahasa Arab dan Dirasat Deeniyyah.

Di situlah, beliau bertemu dengan suaminya, Encik Anas Rahamat, yang bertugas sebagai guru Matematik.

Bukan sekadar saling menyokong dalam kerjaya dan kehidupan bersama, mereka sama-sama bertekad menimba ilmu dan menyertai program Diploma Pakar dalam Pengajaran dan Pembelajaran di Institut Pendidikan Nasional Antarabangsa (NIEI), yang dibiayai Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

BERULANG-ALIK KETIKA HAMIL

Ketika menjalani program itu, Ustazah Khairunnisa disahkan hamil. Ketika itu, beliau perlu berulang-alik antara madrasah dan NIE. Namun, beliau berjaya menyelesaikan praktikum dan kerja kursusnya semasa trimester ketiga kehamilan, berkat sokongan penuh daripada suami, ibu, dan pemimpin Madrasah Al-Arabiah.

Beliau melahirkan anak perempuannya, Nusaybah Binte Anas, 8 bulan, sejurus selepas menamatkan praktikumnya pada Julai tahun lalu (2024).

“Dengan fleksibiliti NIE, saya berjaya melengkapkan modul terakhir secara talian bersama suami, yang juga turut memasuki program ini, sambil menyesuaikan diri dengan suasana keibubapaan baharu,” katanya.

LEGA DAPAT TAMBAH PENGALAMAN PEDAGOGI

Menurut Ustazah Khairunnisa lagi, pada awal kerjayanya sebagai guru, beliau bimbang kerana tidak mempunyai pengalaman pedagogi yang mencukupi. Namun, penyertaan beliau dalam program diploma pakar di NIE itu telah banyak membantu meningkatkan kemahirannya sebagai guru.

“Ia menambah nilai dalam cara saya mengajar. Saya belajar kemahiran baharu yang boleh diaplikasikan dalam bilik darjah.

“Kadang-kadang, ia juga menakjubkan apabila dapat mengaitkan beberapa maklumat yang dipelajari dalam NIE dengan amalan pedagogi Islam.

“Ia membantu meningkatkan kemahiran mengajar saya dan membangunkan strategi baharu untuk menarik minat pelajar. Ia juga benar-benar membantu pengalaman mengajar, menguatkan pengetahuan teori dan praktikal. Terima kasih Muis atas peluang memperkasakan diri saya dalam perjalanan ini,” katanya.

Tambahnya, sebagai graduan, beliau bercita-cita untuk berkongsi pandangan dengan rakan-rakan pendidik dan para pelajar, khususnya.

Berkongsi prinsipnya bahawa tidak ada yang lebih penting daripada keyakinan terhadap ketentuan Allah, Ustazah Khairunnisa berkata:

“Memang sukar untuk mengatasi apa jua cabaran dan mengimbangi tuntutan ini, tetapi kita hanya mampu berdoa agar Allah swt mengurniakan kekuatan, di samping mempunyai sistem sokongan yang baik dan semangat yang kuat dalam setiap perkara yang kita lakukan.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg