Berikut ucapan Editor Berita Harian (BH), Encik Nazry Mokhtar, di majlis penyampaian dermasiswa BH-AMP di Auditorium SPH pada 9 Oktober:

“Hari ini merupakan detik bersejarah dan amat bermakna bagi kami di Berita Harian (BH).

Buat julung kalinya, BH menyampaikan dermasiswa pendidikan kepada para pelajar dengan kerjasama AMP Singapura.

Usaha murni ini lahir daripada penganjuran Golf Amal BH-AMP pada Julai tahun lalu (2025), yang turut disokong oleh sekumpulan penggiat golf veteran di Singapura.

Saya gembira kerana beberapa orang daripada mereka turut bersama kita hari ini. Sebahagian daripada kutipan golf amal itu telah kami salurkan bagi membiayai dermasiswa ini.

Mungkin ada yang tertanya-tanya: “Mengapa BH – sebuah institusi media – mengambil inisiatif menganjurkan golf amal dan memberikan dermasiswa?” Jawapannya mudah.

BH mahu terus berbakti kepada masyarakat yang selama ini menyokong perjalanan kami, sekali gus mengeratkan lagi ikatan silaturahim dengan komuniti kita.

BH bukan sekadar melaporkan berita. Kami juga adalah sebahagian daripada keluarga besar masyarakat Melayu/Islam di Singapura.

Kami mahu terus turun padang, dengar denyut nadi dan bina hubungan dengan masyarakat.

Kali ini, betul-betul turun ke padang – ke padang golf. Tetapi matlamatnya tetap sama: mendekati masyarakat, mengumpul dana dan melabur dalam pembangunan modal insan.

Inilah komitmen kami untuk memastikan BH sentiasa dekat di hati masyarakat.

Sebab itulah dermasiswa ini ditumpukan khas kepada dua bidang yang dekat dengan jiwa dan peranan BH iaitu Media dan Komunikasi, serta Pengajian Melayu.

Kami mahu membantu meringankan beban kewangan keluarga melalui dermasiswa bernilai $1,500 bagi pelajar politeknik dan $2,500 bagi mahasiswa universiti.

Kami berharap dermasiswa ini dapat membantu anda memberi tumpuan kepada pelajaran dan terus mengejar kecemerlangan.

Tumpuan kepada Pengajian Melayu penting untuk terus memelihara bahasa, budaya dan jati diri bangsa kita.

Kami mahu melihat lebih ramai anak muda tampil sebagai penggiat bahasa dan budaya, yang akan terus menghidupkan warisan Melayu untuk generasi akan datang.

Bagi bidang Media dan Komunikasi pula, kami mahu membantu melahirkan generasi karyawan media yang bukan sahaja celik digital, tetapi juga berpegang kepada etika kewartawanan dan mampu membawa suara masyarakat dengan berkesan.

Namun, sokongan BH tidak berhenti pada bantuan kewangan semata-mata.

Melalui dermasiswa ini, para penerima akan berpeluang mendapat bimbingan mentor daripada wartawan di BH, menghadiri lawatan pembelajaran, serta menjalani latihan amali (internship) di bilik berita kami.

Kami mahu merapatkan jurang antara pengajian dengan dunia pekerjaan agar anda lebih bersedia dan yakin melangkah ke alam kerjaya kelak.

Kepada empat penerima sulung dermasiswa kita hari ini – Ahmad Musoddaq, Haifa, Syahmi Akmal Hakim, dan Siti Nur Syahirah – syabas dan tahniah saya ucapkan!

Pemilihan anda berempat bukan semata-mata berdasarkan pencapaian akademik, tetapi juga daya ketahanan, kepimpinan dan semangat untuk berbakti kepada masyarakat.

Saya berharap dermasiswa ini dapat memberi sedikit kelapangan dan menyuntik semangat baharu untuk terus mengejar cita-cita.

Manalah tahu, sekiranya anda berminat menjadi wartawan, anda boleh memohon untuk menjadi rakan kerja kami satu hari nanti, insya-Allah.

Kepada anda berempat, izinkan saya memberi sedikit nasihat sebagai orang tua.

Memandangkan dermasiswa ini lahir daripada sukan golf, saya rasa elok kalau saya berkongsi sedikit pengajaran daripada sukan tersebut.

Sebenarnya, banyak persamaan antara golf dengan kehidupan. Saya sendiri bermain golf. Tetapi saya perlu jelaskan satu perkara penting. Bermain golf tidak semestinya bermakna pandai bermain golf.

Dan saya tidak berani nak berbohong tentang mutu permainan saya. Sebab kawan golf saya ada di sini. Encik Zaqy pun pernah bermain dengan saya.

Mereka semua tahu ‘handicap’ saya. Lagipun, sebagai Editor BH, saya perlu berpegang kepada etika kewartawanan. Kita mesti laporkan yang benar. Tidak boleh sebarkan fake news (berita palsu). Walaupun tentang ‘handicap’ sendiri.

Satu persamaan penting antara golf dan kehidupan ialah bagaimana kita berdepan dengan cabaran.

Dalam golf, kita tidak boleh sentiasa tentukan di mana bola akan mendarat. Kadang-kadang di ‘fairway’, kadang-kadang dalam ‘bunker’, kadang-kadang dalam kolam.

Kalau saya bermain, kadang-kadang bola terus hilang. Begitu juga dengan kehidupan. Kita tidak boleh mengawal semua yang berlaku.

Tetapi kita boleh mengawal bagaimana kita bertindak selepas itu. Dalam golf, yang penting bukan pukulan yang baru kita lakukan, tetapi pukulan seterusnya.

Dalam hidup pun sama. Satu kegagalan atau satu keputusan yang kurang baik tidak menentukan masa depan kita. Yang penting ialah bagaimana kita bangkit selepas itu.

Dan ingat, anda tidak keseorangan dalam perjalanan ini. Ada keluarga, ada guru, ada mentor dan badan masyarakat seperti AMP yang sedia membantu.

Rebutlah sokongan dan bantuan yang ada di sekeliling anda. Jangan segan mendapatkan nasihat dan sokongan apabila hadapi kesukaran. Seperti juga dalam golf, kalau kita perlukan bantuan, jangan malu minta ‘mulligan’ atau ‘stroke’ daripada kawan-kawan.

Cuma dalam golf, kalau kita minta, belum tentu orang nak bagi! Nasib baik kawan golf saya di sini semuanya murah hati. Termasuk Encik Zaqy.

Kalau tidak, handicap saya tentu lebih teruk! Dan itulah harapan kami melalui dermasiswa ini.

Bukan sahaja untuk membantu anda dari segi kewangan, tetapi juga menjadi sebahagian rangkaian sokongan yang boleh membantu anda capai cita-cita.

Sebelum saya akhiri ucapan, izinkan saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada AMP, kumpulan penggiat golf veteran, para dermawan, serta semua yang menjayakan usaha murni ini.

Kepada ibu bapa, di sebalik kejayaan anak-anak ini, ada pengorbanan, doa dan dorongan ibu bapa yang tidak ternilai harganya.

Terima kasih kerana menjadi sumber kekuatan dan pendorong utama kejayaan anak-anak anda.

Semoga usaha kecil kita hari ini menjadi benih yang membuahkan hasil yang lebih besar buat nusa dan bangsa. Sekian. Terima kasih.”

“

“Mungkin ada yang tertanya-tanya: “Mengapa BH – sebuah institusi media – mengambil inisiatif menganjurkan golf amal dan memberikan dermasiswa?” Jawapannya mudah. BH mahu terus berbakti kepada masyarakat yang selama ini menyokong perjalanan kami, sekali gus mengeratkan lagi ikatan silaturahim dengan komuniti kita. BH bukan sekadar melaporkan berita. Kami juga adalah sebahagian daripada keluarga besar masyarakat Melayu/Islam di Singapura.”
Encik Nazry Mokhtar, Editor Berita Harian.