Kecil-kecil membina Lego, pabila remaja membuat robot kereta kawalan jauh.
Demikianlah pengalaman Muhammad Ariq Haziq Mohd Johari, antara 10 pemenang pertandingan robotik Dreambot Showdown anjuran bersama Yayasan Mendaki dan Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) pada acara Raikan Ilmu @Heartlands Julai lalu.
Ariq, 16 tahun, mulai meminati robotik pada usia seawal tujuh tahun apabila dia menonton video YouTube tentang cara membina robot menggunakan Lego dan elektronik.
Pada 2020, hobi itu berkembang apabila bapanya, Encik Mohd Johari Romley, mengenalkannya kepada robot kereta kawalan jauh.
Encik Johari, 49 tahun, berkata beliau dan isterinya, Cik Awah Bee Binte Abdul Kader, 50 tahun, menggalakkan sifat rasa ingin tahu Ariq dan membantu dalam menambah pengetahuannya mengenai motor.
“Sejak usia muda dia gemar membina Lego dan jelas bahawa dia mempunyai minat mendalam tentangnya.
“Apabila dia semakin dewasa, antara usia 10 dengan 15 tahun, kami memperkenalkannya kepada kereta kawalan jauh.
“Ia bukan sekadar permainan untuk bermain sahaja, tetapi juga membenarkan dia mempelajari cara menyelesaikan masalah dan memahami mengapa benda itu berfungsi sedemikian,” jelas Encik Johari, pensyarah Pengurusan Kemudahan Dalam Persekitaran Binaan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur.
Minat itu membolehkan Ariq menghasilkan robot kereta kawalan jauhnya sendiri pada 2023.
Sejak itu, pelajar menengah empat di Sekolah Menengah Montfort itu sudah menghasilkan tiga robot kereta kawalan jauh.
Ariq memberitahu Berita Harian (BH) bahawa YouTube menjadi wadah untuk dia mempelajari cara membina robot kereta.
“Saya tahu asas tentang motor dan servos, iaitu peranti dalam sistem hidraulik yang menukar tekanan hidraulik menjadi pergerakan mekanikal berfungsi melalui YouTube.
“Kadangkala video YouTube mempunyai penerangan lebih terperinci tentang cara motor berfungsi melalui magnet dan sebagainya,” katanya.
Setelah bapanya memperkenalkan robot kereta kawalan jauh dia dan adiknya, Muhammad Aqif Hasif, 15 tahun, permainan itu menjadi kegiatan keluarga mereka, termasuk meluangkan masa menonton video robotik serta membina kereta itu bersama.
Ariq juga bertanya kepada bapanya tentang elektronik, sesuatu yang lebih kompleks.
Menurut Ariq, ibu bapanya membelikan keperluan membina kereta robot untuk mereka walaupun harganya agak mahal.
“Apabila kita mahu membinanya (robot kawalan jauh), mereka akan membelikan bahagian untuk kita, memandangkan saya dan adik saya tidak cukup duit.
“Pada saya, hobi ini mempunyai cabaran kewangan kerana harga satu bahagian sahaja boleh mencecah $100,” ujar Ariq.
Menurut Ariq, ibu bapanya juga yang menggalakkan dia menyertai pertandingan Robokick: The Smorphi Soccer anjuran Mendaki dan SUTD.
Ariq mengetahui tentang pertandingan Dreambot Showdown melalui Program Tuisyen Mendaki (MTP) yang diikutinya pada hujung minggu di Sekolah Menengah Compassvale.
Profesor Madya di Pilar Pembangunan Produk Kejuruteraan di Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD), Dr Mohan Rajesh Elara, memberitahu BH, pertandingan robotik itu tercetus daripada visi SUTD dan Mendaki yang ingin menjadikan robotik dan pengaturcaraan mudah diakses oleh semua pelajar.
“Pertandingan ini memberi manfaat kepada pelajar dari segi teknikal dan kerjasama sesama mereka. Ia memberi peluang kepada pelajar untuk menerapkan kemahiran robotik dan pengaturcaraan mereka dalam menangani cabaran dunia sebenar,” ujar beliau.
Ia bertujuan memberi inspirasi kepada lebih ramai belia untuk mengejar kerjaya dalam robotik serta sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (Stem).
Tambahan itu, ia diharapkan dapat menanam pemahaman komputasi, pemikiran rasional, dan kemahiran kesedaran ketika di sebuah situasi, dalam kalangan pelajar dengan cara yang menyeronokkan di samping memperoleh kemahiran khusus dalam pemikiran kritikal, penyelesaian masalah, kerja berpasukan, dan pemikiran komputasi.
Dr Mohan menambah bahawa pertandingan seperti itu adalah langkah kecil dalam mengembangkan bakat anak muda Singapura dalam bidang robotik, kecerdasan buatan (AI) dan Stem.
Beliau menyifatkan pertandingan itu sebagai satu kejayaan kerana dapat menarik hampir 1,500 pelajar.
Hubungan rapat Mendaki dengan pihak sekolah serta pelajar adalah faktor utama dalam memastikan kejayaan pertandingan itu, katanya.
Beliau menambah bahawa mereka akan terus bekerjasama dengan Mendaki dan rakan kongsi lain untuk meneroka lebih banyak acara bagi memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar.
“Memandangkan kepentingan robotik dan AI semakin berkembang, kami sedang bekerjasama dengan Mendaki untuk melancarkan program mingguan yang komprehensif merentasi pelbagai peringkat usia.
“Ia akan menawarkan pelibatan berterusan dan pendedahan kepada konsep-konsep Stem,” kata Dr Mohan, yang juga berharap dapat memberi pelajar peluang mewakili Singapura dalam acara robotik nasional dan antarabangsa.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg