Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ibu pejabat Mendaki pindah ke Tanjong Katong Complex pada 2029

Oct 18, 2024 | 6:47 PM
Yayasan Mendaki akan berpindah ke tingkat empat Tanjong Katong Complex yang baru apabila kerja peningkatan di pusat beli-belah di Geylang Serai itu selesai pada separuh pertama 2029.
Yayasan Mendaki akan berpindah ke tingkat empat Tanjong Katong Complex yang baru apabila kerja peningkatan di pusat beli-belah di Geylang Serai itu selesai pada separuh pertama 2029. - Foto ST

Yayasan Mendaki akan berpindah ke Tanjong Katong Complex (TKC) yang baru apabila pusat beli-belah di Geylang Serai itu membuka semula pintunya kepada orang ramai selepas selesai menjalani kerja pembaruan pada separuh pertama 2029.

Mengumumkannya semasa sidang media bagi memberi butiran terkini TKC di Wisma Geylang Serai (WGS) pada 18 Oktober, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, berkata ibu pejabat Mendaki, bersama sebuah pejabat Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), akan ditempatkan bersama dengan perpustakaan awam di TKC baru itu.

Mendaki dalam kenyataannya berkata ibu pejabat barunya dan pejabat Muis akan ditempatkan di tingkat empat TKC dengan ruang keluasan lantai kasar (GFA) 3,600 meter persegi – setanding dengan premis kini di Kee Sun Avenue.

Apabila berpindah kelak, Mendaki akan memainkan peranan penting, bersama dengan agensi masyarakat dan nasional lain, untuk menyediakan khidmat bersepadu ‘sehenti’ kepada masyarakat Melayu/Islam.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata langkah itu akan mewujudkan sebuah hab sehenti bagi benefisiari mendapatkan khidmat menyeluruh dan peluang pembelajaran dengan mudah.

“Dengan menempatkan bersama perkhidmatan kami, ia bukan sekadar memperkemas tawaran kami; ia membina ruang yang membolehkan sokongan lebih lancar, memupuk hubungan dan memperkasa kehidupan.

“Bersama, kami berharap dapat memberi kesan lebih besar kepada masyarakat dan rakyat Singapura,” kata beliau.

Pada 18 Oktober, Penguasa Tanah Singapura (SLA) melancarkan penjualan pusat beli-belah TKC melalui tender Konsep dan Hasil Harga dengan tempoh pajakan 30 tahun.

Mereka yang berminat menjadi pengendali TKC perlu memberi cadangan yang memberi nafas baru kepada TKC sebagai nod komersial selaras dengan visi lebih besar pusat kawasan Paya Lebar, sementara mengekalkan nilai budaya Geylang Serai.

Ini termasuk memastikan terdapat tawaran komersial yang bercampur, termasuk pilihan kedai runcit dan makan yang baru serta ruang khusus bagi perniagaan Melayu.

Di samping itu, plaza awam luar bangunan bagi menyediakan tempat untuk acara masyarakat, seperti pameran, konsert dan Bazar Hari Raya Geylang Serai, perlu disediakan.

Dr Maliki menambah, dengan menempatkan Mendaki dan Muis di TKC, ia akan memperkayakan lagi fabrik budaya dan sosial Jalur Budaya Geylang Serai di samping terus mengukuhkan kawasan itu sebagai nadi masyarakat Melayu.

“Kehadiran Mendaki, sebagai antara institusi utama masyarakat Melayu di TKC akan memberi isyarat kuat bahawa kebolehcapaian akan dipertingkat, dan tentu juga dengan Muis yang akan menyediakan perkhidmatan di kawasan itu,” kata beliau, yang juga pengerusi Jawatankuasa Pemandu Jalur Budaya Geylang Serai.

Mendaki menambah bahawa kemudahan di pejabat baru mereka dan plaza luar bangunan serta ruang kongsi bersama di TKC yang baru kelak akan menyediakan tempat bagi yayasan itu menganjurkan pelbagai kegiatan dan program.

Ini termasuk KelasMateMatika, program pementoran #amPowered, Program Tuisyen Mendaki dan acara Raikan Ilmu.

Dr Maliki berkata Persatuan Rakyat (PA) akan memainkan peranan untuk menyemarakkan lagi TKC dan Jalur Budaya Geylang Serai dengan mengadakan pelbagai kegiatan budaya Melayu.

“Kita lihat TKC bukan sebagai sebuah bangunan komersial sahaja, tetapi bangunan komersial yang memasukkan elemen-elemen kemasyarakatan supaya kita dapat melihat lebih ramai lagi anggota masyarakat yang datang ke TKC untuk mendapatkan perkhidmatan yang mereka perlukan dan juga menikmati dari segi aspek perniagaan yang dapat memenuhi cita rasa mereka,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg