Apabila beliau mengorak langkah dalam perjalanan keusahawanan semasa berusia 27 tahun bagi memulakan rangkaian khidmat perubatan Healthway Medical Group, Dr Tan See Leng, dan rakan-rakan kongsinya mempunyai modal terhad dan tiada pengalaman dalam menjalankan perniagaan.

Mereka sekumpulan doktor, namun latihan perubatan mereka tidak merangkumi kursus tentang cara membangunkan perniagaan.

Mereka perlu belajar sendiri aspek operasi, kewangan, pengurusan kakitangan dan kawalan mutu dalam perniagaan.

Walau bagaimanapun, antara syarikat terawal yang menyokong dan memberikan peluang kepada mereka dalam perjalanan tersebut termasuk syarikat berbilang negara (MNC) seperti Sony, Aiwa, HP dan P&G – yang membolehkan mereka bertapak dan membina rekod pencapaian.

Oleh itu, Dr Tan “tidak pernah menganggap syarikat sejagat dan syarikat tempatan sebagai sesuatu yang berlawanan”, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Tenaga & Perusahaan) itu.

Beliau mengimbau kembali perjalanan keusahawanannya itu semasa memberi respons kepada usul bertajuk, ‘Ekonomi Masa Depan Yang Memanfaatkan Semua’, yang dibentangkan Parti Pekerja (WP) di Parlimen pada 5 Ogos.

“Berdasarkan pengalaman saya sendiri, syarikat sejagat yang terkemuka telah membantu sebuah perusahaan tempatan Singapura untuk bermula, membina kredibiliti dan berkembang.

“Mereka tidak menyekat ruang kami. Sebaliknya, mereka memberi kami peluang untuk berkembang dan bersaing.

“Dan saya tahu ini juga merupakan pengalaman banyak SME (syarikat kecil dan sederhana) lain di Singapura,” kata beliau.

Namun, peluang sahaja tidak mencukupi, kata Dr Tan.

Beliau dan rakan-rakan kongsi perlu terus mempertingkat perkhidmatan yang disediakan, menjaga kakitangan, menguruskan kos dan berusaha meraih kepercayaan pelanggan mereka berulang kali.

Daripada sebuah klinik di Yishun, perusahaan mereka itu lama-kelamaan berkembang dan dipelbagaikan, mencapai skala mampan, serta memperoleh hasil daripada penjualan perniagaan itu.

Dr Tan berkata beliau kemudian membangunkan, menjalankan transformasi dan memperluaskan pertubuhan pada peringkat yang jauh lebih besar dan lebih antarabangsa.

Menurutnya, pengalaman itu mengajarnya apakah yang boleh – dan tidak boleh – dilakukan pemerintah untuk menyokong perusahaan.

Pemerintah harus mengekalkan institusi kukuh, pasaran terbuka dan peraturan yang jelas, dan antara lain, mengurangkan halangan yang boleh dielak dan ketidaktentuan dalam dasar.

Namun, pemerintah tidak boleh mencari pelanggan mahupun membina pasukan perniagaan, membuat keputusan komersial, atau berusaha gigih bagi pihak usahawan.

“Sokongan pemerintah sepatutnya menjadi batu loncatan bagi perusahaan. Ia tidak boleh dijadikan model perniagaan.

“Tetapi itu tidak bermakna membiarkan usahawan dan SME berjuang sendiri,” kata Dr Tan.

Beliau merujuk kepada skim bantuan yang disediakan pemerintah untuk membantu perusahaan menangani tekanan segera, memanfaatkan teknologi, memperkukuh operasi dan menebarkan sayap ke luar negara, supaya dapat menjadi lebih produktif dan berdaya saing.

“Tidak semua idea atau syarikat pemula akan membuahkan hasil.

“Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna skim bantuan tersebut sia-sia, atau usahawan berkenaan telah gagal.

“Sebaliknya, setiap penutupan dapat mengelakkan kerugian kos peluang untuk jangka masa panjang.

“Usaha, modal dan masa yang dijimatkan kemudian boleh disalurkan semula kepada idea atau peluang lain yang lebih berpotensi,” tambahnya.