Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bersatu dengan semangat baru, majulah Singapura

Sambutan kemerdekaan 60 tahun ini satukan generasi demi generasi rakyat S’pura dalam satu seruan abadi untuk langkah ke hadapan
Aug 9, 2025 | 10:43 PM
Gambar komposit ini dirakam dengan menggabungkan beberapa imej terbang lalu enam jet pejuang  F-15SG, yang merupakan antara kemuncak Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) pada 9 Ogos. Terbang lalu itu membentuk formasi berlian sempena sambutan Hari Kebangsaan Jubli Intan Singapura pada 9 Ogos 2025.
Gambar komposit ini dirakam dengan menggabungkan beberapa imej terbang lalu enam jet pejuang F-15SG, yang merupakan antara kemuncak Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) pada 9 Ogos. Terbang lalu itu membentuk formasi berlian sempena sambutan Hari Kebangsaan Jubli Intan Singapura pada 9 Ogos 2025. - Foto ST

Percikan bunga api penuh kilauan yang melakarkan angka ‘60’ menghiasi ruang angkasa menjadi saksi kepada sambutan Hari Kebangsaan Jubli Intan watan ini di Padang dan Marina Bay.

Kemeriahan begitu terasa dalam sambutan kali ini yang diperluaskan dari Padang ke sekitar kawasan Marina Bay demi meraikan kemerdekaan Singapura selama 60 tahun.

Sorakan daripada lebih 227,000 penonton berada di Padang dan sekitar kawasan Marina Bay, yang ibarat lautan merah, bergema dan disatukan dalam semangat kekitaan yang menyerlah.

Di Padang, seramai 27,000 penonton berpakaian seragam merah dan putih mengisi ruang di Padang - tempat terukirnya sejarah pertama kali kemerdekaan Singapura dilaungkan - untuk menyaksikan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2025.

Sekitar 200,000 warga pula berhimpun di pesisiran dan Bendungan Marina, yang menjanjikan panorama kemuncak perayaan dan berpeluang menonton siaran langsung perbarisan secara serentak menerusi skrin LED yang terletak di Taman Merlion, Marina Bay Sands (MBS) Event Plaza dan Teater Luar DBS Foundation di Esplanade.

Bertemakan ‘Majulah Singapura’, perayaan kali ini mengusik perasaan bangga berbaur sebak mengenang pencapaian titik merah di peta dunia sejak 60 tahun lalu, sekaligus menyatukan hati generasi demi generasi rakyat watan dalam satu seruan abadi untuk melangkah ke hadapan bersama.

Menerusi segmen persembahan yang menggabungkan elemen kesegaran dan nostalgia, penonton diajak untuk merenung sejenak perjalanan yang ditempuhi Singapura sebagai satu bangsa, dan melihat ke hadapan dengan penuh harapan, keberanian, dan perpaduan.

Dari upacara praperbarisan sehingga segmen pertunjukan dan kontinjen kenderaan, penonton di Padang dihadiahkan dengan persembahan yang bukan sahaja menghiburkan tetapi membangkitkan semangat perpaduan dan kebanggaan selama tiga jam, mulai dari 5.30 petang.

Dalam segmen praperbarisan, penonton dihiburkan dengan kemunculan istimewa oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong dalam filem pendek, yang memainkan riff di gitar elektriknya dalam Singapore Big Bus - disambut dengan sorakan kuat daripada penonton di Padang.

Kemunculan empat pengacara - Joakim Gomez, Sonia Chew, Ebi Shankara and Siti Khalijah Zainal - menyemarakkan lagi suasana bersama penonton yang bersorakan dan bertepuk tangan setiap kali anggota pasukan payung terjun Red Lions mendarat dengan selamat.

Melalui skrin LED di Padang, penonton juga dapat melihat terjunan sulung penyelam daripada Angkatan Laut Republik Singapura ke perairan Marina Bay.

Dalam paparan udara sempena meraikan SG60, enam jet pejuang F-15SG melakukan terbang lalu Penghormatan SG60, atau SG60 Tribute dalam satu formasi delta yang rapat, dengan dua pesawat sayap berpusing keluar dan memecut naik secara serentak.

Menerajui terbang lalu ini ialah Leftenan-Kolonel (LTC) Muhammad Iskandar Dzulfadhli Abdul Rahman sebagai ketua formasi delta F-15SG buat kali pertama.

Ketibaan Presiden Tharman Shanmugaratnam pada 6.40 petang disambut dengan gemuruh.

Ia merupakan kali kedua Tuan Presiden memeriksa pasukan kawalan kehormatan dalam segmen Perbarisan dan Upacara (P&C), dengan iringan Tembak Hormat Kepresidenan 21-Das, sejak menyandang jawatan itu pada 2023.

Segmen P&C untuk NDP 2025 menampilkan 40 kontinjen perbarisan, iaitu jumlah terbesar di Padang sejak 1990, dan 70 kontinjen mengambil bahagian.

Antaranya, anggota enam kontinjen Kawalan Kehormatan, Kontinjen Pembawa Panji-Panji SAF, beberapa kontinjen sokongan SAF dan Pasukan Home Team, 10 kontinjen pertubuhan belia berseragam, 18 kontinjen awam, pancaragam gabungan, serta koi.

Segmen berkenaan yang disertai oleh 2,100 orang diketuai oleh Leftenan Kolonel (LTC) Mohamed Firdaus Ghazali sebagai Komander Perbarisan.

Dengan suara lantangnya, arahan yang diberikan LTC Firdaus bergema di seluruh padang, memukau penonton yang mendengarnya.

Selain itu, paparan istimewa bagi NDP 2025 ialah segmen penghormatan bagi veteran yang bertungkus-lumus membanting tulang dan bersengkang mata demi melindungi negara daripada ancaman.

Sedang Singapura memandang ke hadapan, ia juga tidak lupa untuk memberi penghormatan kepada tokoh-tokoh yang telah bantu memajukan negara ini, dengan harapan mereka akan dapat memberi inspirasi kepada generasi akan datang.

Sebagai contoh, segmen ‘Generasi ke Generasi’ semasa perarakan kontinjen kenderaan memaparkan beberapa veteran yang telah berbakti kepada negara selama berdekad lama.

Antaranya ialah Staf Sarjan Kanan (SSSgt) (bersara) Cynthia Ang, 70 tahun, yang pernah berkhidmat dengan Pasukan Polis Singapura (SPF) dari 1974 hingga 2000.

Beliau menyertai Balai Polis Queenstown selepas meninggalkan bidang kejururawatan, sebelum dipindahkan ke Cawangan Keselamatan Polis (PSB) (sekarang Pasukan Keselamatan Polis) sebagai Pegawai Keselamatan Peribadi selepas lulus penilaian pada 1976.

Beliau merupakan antara kira-kira lima pegawai wanita yang dapat berkhidmat ketika itu.

Semangat rakyat yang berkobar-kobar jelas terpancar dalam gerak-geri dan ragam lebih daripada 39 artis dan 3000 penari yang terlibat dalam segmen persembahan mulai 7.20 malam.

Langit malam bermandikan pancaran cahaya daripada lampu gelang yang dipakai penonton, yang menerangi Padang serta bangunan berhampiran.

Semboyan Sistem Amaran Awam SCDF dibunyikan di seluruh Singapura, menandakan ‘Detik Majulah’ iaitu lafaz ikrar dan diikuti dengan nyanyian lagu kebangsaan - melambangkan janji kesetiaan rakyat kepada tanah tumpah darah mereka.

Beberapa pemimpin dari negara jiran turut menghadiri perayaan itu termasuk Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto; Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim; serta Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang mewakili Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg