Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bersediakah S’pura hadapi pandemik seterusnya?

Memori Covid-19 mungkin kian terhakis namun penting bagi pemimpin dunia, pemerintah fahami bahawa ‘wabak dan pandemik bukan sekadar peristiwa kesihatan sekali-sekala’
Oct 2, 2023 | 2:44 PM
AMBIL LANGKAH: Singapura telah mengambil langkah bijak menggunakan pengalaman daripada Covid-19, tetapi itu mungkin masih tidak mencukupi untuk melawan Penyakit X, kata pakar.
AMBIL LANGKAH: Singapura telah mengambil langkah bijak menggunakan pengalaman daripada Covid-19, tetapi itu mungkin masih tidak mencukupi untuk melawan Penyakit X, kata pakar. - Foto ST

Pada Julai lalu, orang ramai berkumpul selama beberapa malam di Stadium Tertutup Singapura untuk menyaksikan persembahan penyanyi terkenal dari Hong Kong, Jacky Cheung, manakala ramai yang beratur panjang untuk membeli tiket konsert bintang Amerika Syarikat, Taylor Swift.

Apabila Grand Prix Formula Satu (F1) Singapura dimulakan pada hujung minggu September lalu, ia menarik lebih 264,000 peminat, menurut satu rencana The Straits Times.

Empat tahun selepas pandemik Covid-19 bermula, memori terhadap kawalan pergerakan yang menyukarkan dan konsep seperti penjarakan selamat telah pudar. Bahkan, (banyak sektor) dan bukan hanya individu telah bergerak ke depan untuk meneruskan kehidupan masing-masing.

Sedang dunia kembali beroperasi seperti sedia kala, banyak agensi global dan pemerintah telah mengalihkan pandangan dan tidak mengambil tindakan yang diperlukan untuk bersiap sedia menangani pandemik pada masa depan, kata Dekan Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock, Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Teo Yik Ying.

Sememangnya, penting bagi pemimpin dunia dan pemerintah memahami bahawa wabak dan pandemik bukan sekadar peristiwa kesihatan sekali-sekala, katanya.

“Ia berlaku akibat trend pembangunan utama yang saling berkait dan menjejas masyarakat dan dunia,” ujar beliau.

Di tengah-tengah pembandaran pesat, perubahan iklim, ketidakpercayaan yang meningkat terhadap pemerintah dan lebih banyak maklumat salah dan maklumat palsu tersebar luas, wabak dijangka berlaku dengan lebih kerap dan merebak dengan lebih mudah ke seluruh dunia untuk menjadi pandemik, jelas beliau.

Penyakit X (nama kod bagi penyakit berjangkit yang tidak diketahui pada masa depan) yang boleh menyebabkan pandemik seterusnya, akan lebih mengancam nyawa dan lebih mudah berjangkit, dan ia dijangka muncul.

“Dunia moden hari ini adalah dunia yang ‘mudah bocor’, dengan jumlah besar pergerakan manusia dan barangan. Satu-satunya peluang kita untuk melawan Penyakit X ialah bersiap sedia menghadapinya dan sentiasa berjaga-jaga,” kata Prof Teo.

Singapura telah belajar menjadikan penduduknya selamat dalam lingkungan rumah mereka. Ia sedar bahawa tenaga kerja asingnya boleh menjadi kaitan lemah dan ia cuba mengatasi kelemahan itu.

Singapura juga cuba memastikan ia mempunyai pelbagai kemudahan untuk menghasilkan vaksinnya sendiri. Ini merupakan langkah bijak, namun mungkin masih tidak mencukupi untuk melindungi penduduknya daripada Penyakit X, menurut pakar.

Apabila pembelajaran dari rumah (HBL) dilaksanakan sepenuhnya pada 2020, guru-guru perlu menyesuaikan diri secepatnya untuk mengajar dari jarak jauh dan berinteraksi dengan pelajar melalui skrin komputer.

Singapura kini ingin memastikan pembelajaran jarak jauh terus diadakan, antaranya kerana ia mempunyai faedah tersendiri, dan juga kerana ia boleh dipertingkatkan jika terdapat keperluan untuk HBL dilaksanakan sekali lagi.

Kementerian Pendidikan (MOE) telah mempercepat khidmat penyediaan sumber di wadah pembelajaran digitalnya – Ruang Pembelajaran Pelajar, dan kini terdapat juga slot khusus pembelajaran jarak jauh di sekolah untuk murid yang menamatkan sekolah rendah (biasanya berumur 13 tahun dan ke atas).

Sebagai sebahagian daripada pembelajaran teradun, HBL yang diadakan pada hari tertentu telah disepadukan dalam pengalaman sekolah di semua sekolah menengah, maktab rendah dan Institut Millennia (MI), kata jurucakap MOE.

Ini bagi mengukuhkan pembangunan pelajar yang memiliki arah sendiri, mampu berdikari dan bersemangat.

MOE mengesyorkan agar sekolah menjadualkan hari HBL kira-kira sekali setiap dua minggu. Maktab rendah dan Institut Millennia pula mempunyai fleksibiliti untuk menjadualkan satu hari HBL setiap minggu jika dirasakan sesuai.

Sekiranya Penyakit X menyerang pada masa depan, kedua-dua guru dan pelajar akan dapat bertukar kepada kaedah pembelajaran jauh, kerana mereka sudah terbiasa dengannya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg