2025 merupakan tahun di mana Berita Harian (BH) lebih banyak mendekati masyarakat melalui kegiatan dijalankan di samping menyumbang balik kepada golongan yang memerlukan.
Lebih 3,087 anggota masyarakat didekati atau menyertai kegiatan anjuran BH pada 2025, melebihi 2,025 pada 2024.
Buat pertama kali dalam sejarah BH, akhbar ini juga menganjurkan Golf Amal BH-AMP sempena ulang tahun Singapura yang ke-60 (SG60), yang berjaya mengumpulkan sebanyak $216,675.
Dengan geran pemadanan yang sedang diusahakan daripada sebuah badan di sini, jumlah terkumpul dijangka mencecah lebih $377,000.
Daripada jumlah tersebut, AMP menyalurkan 50 peratus untuk program mereka bagi membantu golongan keluarga dan pelajar yang memerlukan.
BH pula mendermakan 40 peratus atau $86,670 kepada Persatuan Kanak-Kanak Singapura dan baki 10 peratus dengan memperkenalkan dermasiswa bagi membantu para pelajar politeknik dan mahasiswa universiti yang mengikuti pengajian komunikasi, media atau pengajian Melayu.
Dermasiswa itu akan dibuka pada 2026 buat permohonan para pelajar.
Selain itu, BH mendekati masyarakat melalui beberapa acara dijalankan akhbar ini.
Satu lagi inisiatif baru dijalankan pada 2025 ialah memperkenalkan siri webinar yang memanfaatkan kemudahan webinar tersedia dalam laman BH.
Buat siri webinar pertama empat bahagian, BH bekerjasama dengan Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) bagi mengupas topik seperti fatwa mengenai nominasi Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan kepentingan wasiat dalam melindungi mereka yang disayangi.
Dalam usaha mendapatkan maklum balas daripada para pembaca mengenai rancangan BH beralih kepada format kompak pada suku pertama 2026, BH telah mengadakan sesi perbincangan kumpulan fokus.
BH juga menyertai bulan Raikan Ilmu anjuran Yayasan Mendaki dengan membuka reruai di Our Tampines Hub (OTH) dan NorthPoint City pada Julai 2025.
Reruai itu membolehkan BH memperkenalkan produk dan tawaran multimedianya seperti podcast serta alat kecerdasan buatan (AI) seperti alat terjemahan, ringkasan dan teks ke audio.
Sejajar itu, BH juga mengadakan Dialog Belia hasil usaha sama dengan Mendaki bagi membolehkan para belia melakarkan visi mengenai masyarakat Melayu/Islam menjelang 2040.
“Pada 2025, kakitangan BH ‘turun padang’ menemui para pembaca agar kami dapat bertemu mereka serta menampilkan produk dan tawaran kami di reruai BH di OTH dan NorthPoint City,” kata Editor Audiens dan Perkembangan BH, Cik Norhaiza Hashim.
“Kami juga mengambil kesempatan untuk menyumbang balik kepada masyarakat tidak kira apa jua bangsa dan agama mereka melalui Golf Amal BH-AMP, yang pertama kali diadakan dalam sejarah BH.
“Satu lagi acara kebajikan diadakan ialah menjamu anak-anak yatim dan kurang bernasib baik daripada Darul Ihsan semasa Ramadan.’’
Acara tahunan Anugerah Jauhari BH juga diadakan bagi mengiktiraf kejayaan Brigedier-Jeneral (BG) Fairoz Hassan sebagai penerima Anugerah Jauhari pada 2025, serta pengasas bersama Meja Conteng, Cik Nur Aisyah Lyana Mohamed Satria, sebagai penerima Anugerah Jauhari Harapan BH.
Menyokong salah satu tonggak kandungan BH iaitu Kaki Makan, dua acara diadakan.
Pertama merupakan sesi demonstrasi membuat pasta bersama Cef Gero Omar daripada Restoran Italy, Kucina.
Kedua, pelekat Kaki Makan juga dilancarkan, yang disertakan dengan dialog bersama para peniaga makanan dan minuman (F&B) halal di sini.
Selain itu, BH juga mengadakan sesi tayangan awam bagi video terbitan BH bertajuk, Gelombang Perubahan: Aceh, 20 Tahun Selepas Dibadai Tsunami, sebagai memperingati ulang tahun berlakunya bencana tsunami di Aceh.
Satu lagi sesi dialog terbuka diadakan sempena tayangan awam video dihasilkan BH dan akhbar Cina, Lianhe Zaobao, bertajuk, Gaza Dari Lensa Kita.
BH akan terus mendekati pembaca dengan lebih banyak kegiatan menarik pada 2026 untuk mendekatkan akhbar ini dengan pembaca.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg