Berita Harian (BH) akan menyalurkan hasil kutipan daripada acara golf amal BH-AMP yang diadakan pada Julai 2025 sebagai dermasiswa kepada pelajar kurang berkemampuan.
Dermasiswa ini akan diberikan kepada pelajar dalam bidang media, komunikasi dan pengajian Melayu di politeknik serta universiti tempatan.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, semasa Majlis Anugerah Jauhari pada 7 November.
Butiran lanjut mengenai dermasiswa itu akan diumumkan kemudian.
Sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-60 Singapura (SG60), BH telah menganjurkan golf amal sulung bersama AMP Singapura, dan berjaya mengumpul lebih daripada $271,000 untuk tujuan amal pada 22 Julai.
Dana yang dikumpul akan digunakan untuk menyokong program AMP dan Persatuan Kanak-Kanak Singapura untuk meningkatkan kehidupan bagi membantu golongan memerlukan, termasuk kanak-kanak, belia dan keluarga kurang bernasib baik.
Sebahagian daripada dana itu juga akan diagihkan sebagai dermasiswa kepada pelajar yang mengikuti pengajian media, komunikasi atau bahasa Melayu di politeknik dan universiti tempatan.
Acara tersebut yang telah diadakan di Orchid Country Club menyaksikan penaja ‘Berlian’, Sheng Siong Group dan Yayasan Salleh Marican – masing-masing menyumbang $60,000.
Manakala penaja ‘Platinum’, Bengawan Solo, menyumbang $20,000.
Penaja ‘Emas’ termasuk AGSH Builders Pte Ltd, Karva Travel Group Pte Ltd dan Maybank Singapore Ltd masing-masing menyumbang $10,000.
Empat pemain golf veteran – Encik Zainal Samat, Encik A Rahim Jaafar, Encik Ibrahim Atan dan Encik Mohd Said Abdul Latif – turut diberi pengiktirafan atas sumbangan kerjasama mereka sebagai penganjur acara golf amal itu.
Semasa sesi jamuan malam selepas acara Golf Amal itu pada 22 Julai, Encik Nazry menjelaskan bahawa pendekatan itu menjadi teras transformasi BH sejak 2023 yang bukan sahaja tertumpu pada pelaporan berita, malah turut melibatkan peranan aktif dalam masyarakat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg