Akhbar Berita Harian (BH) telah mempertingkatkan wadah digitalnya menerusi laman web dan aplikasi dengan ciri-ciri baru yang memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) demi meningkatkan pengalaman pembaca.
Antaranya ialah ciri-ciri yang mengubah teks menjadi audio untuk membolehkan pembaca mendengar artikel di laman web dan aplikasi BH serta rumusan laporan berita dalam bahasa Melayu dan Inggeris.
Pelancaran ciri-ciri baru ini mencerminkan usaha berterusan BH untuk terus berinovasi, kata Editor BH, Encik Nazry Mokhtar.
Langkah tersebut sejajar dengan usaha BH menawarkan kandungan berita di pelbagai platform, selain bentuk cetak.
Inisiatif tersebut juga hasil kerjasama seluruh bilik berita. Misalnya, ciri membaca berita dari teks ke audio telah memanfaatkan suara Penolong Editor Berita, Cik Atiyyah Mohd Said, yang diklon menggunakan AI.
Melalui ciri yang mengubah teks ke audio tersebut, pembaca boleh mendengar artikel BH ‘dibacakan’ untuk mereka di mana sahaja.
Sementara itu, ciri rumusan menggunakan AI dapat menjimatkan masa pembaca dengan memberi ringkasan yang boleh dibaca dalam beberapa saat.
Fungsi terjemahan automatik yang dipacu AI pula memberi pilihan untuk membaca artikel BH dalam bahasa Melayu ataupun Inggeris.
Ciri ini membantu merapatkan jurang dalam kemahiran bahasa, lantas memastikan berita BH lebih terangkum serta mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat.
Selain menjadi sumber berita, laman web dan aplikasi BH juga boleh dijadikan wadah pembelajaran.
Melalui Kuiz BH, pengguna boleh menguji pengetahuan dan memperkaya kosa kata dalam bahasa Melayu sambil membaca berita.
Ciri ini menjadikan pengalaman membaca lebih menyeronokkan, terutama bagi mereka yang mahu memperkukuh penguasaan bahasa Melayu dengan cara yang santai.
Dalam pada itu, pembaca yang melanggan BH dan mendapatkan berita melalui e-akhbar kini boleh menggunakan ciri zum untuk membaca laporan berita dengan lebih jelas.
Alat terjemahan BH yang menyuntik daya interaktiviti laman BH pernah memenangi pingat perak bagi kategori Projek Terbaik Kecelikan Berita di Anugerah Media Digital Asia 2021 WAN-IFRA.
BH juga kini ingin memperluas jangkauannya dan mendekati pembaca melalui wadah seperti saluran WhatsApp (@Berita Harian Singapura) dan Telegram (@bhsingapura), selain di laman media sosial TikTok, Instagram (@beritahariansg), dan Facebook (Berita Harian Singapura).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg