Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nadi masyarakat tonggak transformasi BH

Peralihan pada saiz kompak pada suku pertama 2026, antara lain, usaha dekati pembaca muda
Nov 8, 2025 | 12:59 PM

Kakitangan Berita Harian di majlis Anugerah Jauhari 2025 pada 7 November. Akhbar itu menjalani transformasi sejak 2023 dengan menyuntik kesegaran dalam kandungannya, meluaskan jangkauan digital serta mengukuhkan hubungan dengan masyarakat.
Kakitangan Berita Harian di majlis Anugerah Jauhari 2025 pada 7 November. Akhbar itu menjalani transformasi sejak 2023 dengan menyuntik kesegaran dalam kandungannya, meluaskan jangkauan digital serta mengukuhkan hubungan dengan masyarakat. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Akhbar Berita Harian / Berita Minggu (BH/BM) mengorak langkah menjalani transformasi sejak 2023, dengan menyelami nadi masyarakat dan memenuhi cita rasa pembaca yang berubah.

Sepanjang dua tahun lalu, akhbar terbitan SPH Media itu menyuntik kesegaran dalam kandungannya, meluaskan jangkauan digital serta mengukuhkan hubungan dengan masyarakat.

Editor BH/BM, Encik Nazry Mokhtar, menyifatkan usaha tersebut sebagai perjalanan transformasi yang menyeluruh.

“Ini satu langkah strategik yang direka untuk mencipta semula diri kami dan meluaskan jangkauan kami dalam kalangan pembaca dan khalayak ramai,” ujar Encik Nazry dalam ucapannya di majlis penyampaian Anugerah Jauhari di Hotel Four Seasons pada 7 November.

Beliau mengambil alih jawatan sebagai Editor BH/BM daripada Encik Saat Abdul Rahman pada Jun 2023.

Dalam satu kenyataan, SPH Media berkata sebagai syarikat berita nasional, ia terus mencipta semula produknya demi menjangkau audiens baru di samping mendekati audiens sedia ada dengan lebih baik.

“Perubahan BH mencerminkan transformasi SPH Media yang lebih luas termasuk memperbaharui platformnya, mereka semula format, dan memperdalam jangkauan meliputi saluran digital dan sosial,” kata syarikat itu.

SPH Media ditubuhkan pada 2021 sebagai syarikat awam berhad yang dijamin selepas Singapore Press Holdings (SPH) disusun semula. Syarikat itu turut menerbitkan akhbar The Straits Times, The Business Times, serta akhbar Cina, Lianhe Zaobao, dan Tamil Murasu.

Memahami selera pembaca berubah; kekal jadi suara masyarakat

Sejak penubuhannya pada 1957, BH/BM melambangkan suara yang dipercayai masyarakat Melayu/Islam dengan memaparkan aspirasi, keprihatinan dan pencapaian masyarakat di samping menyorot perkembangan negara dan dunia, kata SPH Media lagi.

Dalam dunia semakin digital, akhbar ini telah menjalani perubahan untuk mengekalkan hubungannya dengan pembaca dari generasi ke generasi, dengan keperluan yang pelbagai.

Pada 1996, BH melancarkan versi digital, cyBerita pada Mac 1996, menjadi akhbar bahasa Melayu pertama di Singapura untuk berbuat demikian.

Pada Disember 2013, laman Beritaharian.sg diperkenalkan dengan edisi tablet serta telefon bijak untuk memenuhi cita rasa pembaca yang rencam.

BH juga memperkenalkan alat terjemahan di lamannya pada Jun 2020 agar pembaca boleh membaca laporan yang diterjemahkan dengan segera daripada bahasa Melayu kepada Inggeris.

Proses terbaru transformasi BH/BM bermula dua tahun lalu (2023) dengan usaha memahami selera pembaca yang berubah.

Menerusi reruai BHazar BH di Wisma Geylang Serai (WGS) pada 2023, BH mendekati pembaca dan mengadakan tinjauan untuk memahami selera pembaca.
Menerusi reruai BHazar BH di Wisma Geylang Serai (WGS) pada 2023, BH mendekati pembaca dan mengadakan tinjauan untuk memahami selera pembaca. - Foto fail

Antaranya, BH mendekati pembaca menerusi reruai BHazar di Wisma Geylang Serai (WGS) pada 2023, dan menjalankan satu tinjauan melibatkan 1,400 responden.

Hasil tinjauan tersebut menunjukkan antara lain pembaca akhbar itu berminat membaca berita masyarakat Melayu/Islam serta kandungan gaya hidup dan hiburan.

Menyusuli tinjauan itu, BH memperkenalkan bidang tumpuan baru termasuk ruangan Kaki Makan, Kaki Jalan serta DNA Dunia Anak untuk ibu bapa.

Ruangan Kaki Makan Berita Harian mengadakan sesi perbincangan bersama pemilik perniagaan makanan dan minuman untuk mendengar cabaran yang dihadapi dalam industri tersebut.
Ruangan Kaki Makan Berita Harian mengadakan sesi perbincangan bersama pemilik perniagaan makanan dan minuman untuk mendengar cabaran yang dihadapi dalam industri tersebut. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI
Koresponden Berita Harian (BH), Cik Nur Dhuha Esoof (kanan), yang mengendalikan ruangan DNA Dunia Anak, mendekati pembaca di reruai BH di acara Yayasan Mendaki pada November 2024.
Koresponden Berita Harian (BH), Cik Nur Dhuha Esoof (kanan), yang mengendalikan ruangan DNA Dunia Anak, mendekati pembaca di reruai BH di acara Yayasan Mendaki pada November 2024. - Foto fail

Pada 2023, BH turut melaksanakan perubahan digital dengan memperkenalkan aliran kerja mendahulukan format digital (digital first), serta memberi nafas baru kepada kandungan media sosial, dengan tawaran baru seperti podcast BHerbual dan Kaki Bola.

Pasukan media sosial Berita Harian bersama kru studio yang menjayakan acara ‘live’ ‘Singapura Mengundi’ di media sosial semasa Pilihan Raya Umum 2025.
Pasukan media sosial Berita Harian bersama kru studio yang menjayakan acara ‘live’ ‘Singapura Mengundi’ di media sosial semasa Pilihan Raya Umum 2025. - Foto fail

Demi memikat golongan belia, BH memperkenalkan wadah audiens muda OMGxBH pada 2024 dengan tujuan menyampaikan berita dalam format yang menarik.

Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia) Encik Zaqy Mohamad (enam dari kiri); Editor Berita Harian/Minggu, Encik Nazry Mokhtar (dua dari kiri); Ketua Pegawai Operasi Media SPH waktu itu, Cik Loh Yuh Yiing (tiga dari kiri); Timbalan Ketua Eksekutif SPH Media, Encik Kuek Yu Chuang (paling kanan); dan pasukan OMGxBH semasa pelancaran rasmi platform tersebut pada 30 Ogos 2024.
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia) Encik Zaqy Mohamad (enam dari kiri); Editor Berita Harian/Minggu, Encik Nazry Mokhtar (dua dari kiri); Ketua Pegawai Operasi Media SPH waktu itu, Cik Loh Yuh Yiing (tiga dari kiri); Timbalan Ketua Eksekutif SPH Media, Encik Kuek Yu Chuang (paling kanan); dan pasukan OMGxBH semasa pelancaran rasmi platform tersebut pada 30 Ogos 2024. - Foto fail

Proses transformasi BH itu mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa, dengan meraih tempat ketiga dalam Anugerah Global INMA bagi Transformasi Bilik Berita Terbaik pada 2025.

Dalam tinjauan persepsi GfK oleh SPH baru-baru ini, BH menduduki tempat teratas dalam tahap kepercayaan dan kepuasan daripada khalayak sasarannya – mendahului agensi berita tempatan yang lain.

Selain itu, BH kerap menganjurkan program mendekati pelbagai lapisan masyarakat daripada bengkel kewartawanan untuk pelajar, sesi dialog masyarakat bersama pemimpin, hingga acara amal untuk golongan memerlukan.

Sebagai sebahagian daripada sambutan SG60, BH bersama AMP menganjurkan acara Golf Amal yang berjaya mengumpul lebih daripada $271,000 pada Julai 2025.

BH bersama AMP menganjurkan acara Golf Amal yang berjaya mengumpul lebih daripada $271,000 pada Julai 2025.
BH bersama AMP menganjurkan acara Golf Amal yang berjaya mengumpul lebih daripada $271,000 pada Julai 2025. - Foto fail

Selain itu, BH turut meningkatkan laman web dan aplikasinya dengan beberapa ciri-ciri yang dipacu kecerdasan buatan (AI), termasuk penterjemahan, ringkasan, serta teks-ke-audio.

Format kompak lebih padat

Format kompak baru akhbar cetak BH, yang saiznya separuh daripada saiz sekarang, bertujuan menjadi lebih mesra pembaca.
Format kompak baru akhbar cetak BH, yang saiznya separuh daripada saiz sekarang, bertujuan menjadi lebih mesra pembaca. - Foto NUR DIYANA TAHA

Pada 7 November, BH mengumumkan rancangan mengubah format akhbar cetak – daripada lembaran lebar (broadsheet) kepada saiz kompak, sebagai sebahagian daripada proses transformasi tersebut.

Format baru itu dijangka diperkenalkan pada suku pertama 2026.

“Dengan menjadi kompak, BH berharap bukan saja dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada kumpulan pembaca cetak kami sekarang tetapi juga memupuk pembaca baru terutamanya generasi muda,” kata Encik Nazry semasa berucap pada 7 November.

BH tekal berkhidmat kepada masyarakat Melayu, tidak kira format cetak, dengan intipati dan nilai akhbar itu dikekalkan, kata SPH Media.

Format kompak, yang saiz muka suratnya separuh daripada saiz sekarang, bertujuan menjadi lebih mesra pengguna dan mudah dibawa ke mana-mana.

Dari segi kandungan pula, akhbar berwajah baru itu juga akan menawarkan lebih banyak analisis dan ringkasan berita, selain ruangan gaya hidup dan sukan yang disuntik nafas baru.

Pembaca juga boleh mengakses kandungan digital dengan lebih mudah menerusi kod QR yang membawa pembaca ke laman web atau media sosial.

Ketua Editor Kumpulan Media Inggeris/Melayu/Tamil SPH Media, Encik Wong Wei Kong, berkata format baru BH menandakan transformasi selama dua tahun yang menyaksikan bilik berita melaksanakan cara baru menyampaikan kisah daripada bentuk teks, dalam talian, video, podcast, hingga di media sosial.

“Ini telah membolehkan BH mendekati lebih ramai audiens baru, serta meningkatkan impaknya. Kami percaya akhbar kompak baru itu akan meningkat daya tarikannya kepada pembaca cetak,” kata Encik Wong.

Meskipun BH bakal tampil dengan format dan saiz baru, Encik Nazry berkata langkah itu tidak mengubah komitmen BH untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Bahkan, langkah tersebut sebahagian daripada perjalanan transformasi BH untuk menyegarkan dan memodenkan produknya agar kekal relevan sesuai dengan selera pembaca berita hari ini.

“Teras dan nilai BH kekal sama – untuk menjadi media yang boleh dipercayai dengan menyampaikan berita dan kandungan yang tepat, mendalam dan seimbang,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg