Minat dalam sukan judo pada zaman remaja mendedahkan, Aryan Azman,18 tahun, kepada sukan gusti.
Kini, atlet nasional yang berjaya membawa pulang pingat perak dalam acara 82 kilogram (kg) menjadi penerima Biasiswa Yayasan Olimpik Singapura (SOF)-Peter Lim.
Memohon buat pertama kali, Aryan terharu dan bersyukur kerana terpilih sebagai seorang penerima biasiswa itu. Beliau mendapat tahu tentang biasiswa tersebut melalui jurulatihnya yang menyokong dan menyuruhnya untuk hantarkan permohonan bagi biasiswa itu.
Aryan yang sudah berkecimpung dalam sukan gusti sejak 2021 berkata, penganugerahan biasiswa itu dapat membantunya dari segi yuran latihan, kos pertandingan di luar negara.
Ia juga mendorongnya berlatih dengan lebih baik agar lebih berpeluang bertanding di luar negara.
“Sebelum ini, saya beri tumpuan yang lebih kepada apa yang saya boleh lakukan di Singapura.
“Namun, dengan biasiswa ini, saya dapat keyakinan untuk melebarkan sayap saya untuk merebut peluang di luar negara juga,” kata Aryan apabila ditanya bagaimana biasiswa itu dapat membantunya.
Aryan yang kini berada di Sekolah Sukan Singapura, merupakan salah seorang daripada dua atlet gusti di sana.
Biasiswa itu diberikan kepada atlet yang telah menunjukkan prestasi baik secara konsisten dalam pertandingan sukan, seperti Aryan, yang sudah mewakili Singapura dan juga membawa pulang pingat kemenangan.
Aryan mewakili negara tahun ini dan 2022.
Prestasi mengagumkan yang Aryan tunjukkan, katanya, bukan sesuatu yang boleh beliau capai seorang diri.
“Saya amat menghormati senior-senior (pelajar lebih berusia) di sekolah dan juga jurulatih saya. Tanpa sokongan dan dorongan daripada jurulatih saya untuk mencuba sukan gusti, saya tidak mungkin dapat berada di mana saya berada sekarang.
“Apabila saya lihat pencapaian mereka, ia memberi saya semangat untuk mencuba sedaya upaya untuk lakukan yang terbaik dalam latihan dan juga dalam pertandingan,” ujar Aryan.
Beliau juga berterima kasih kepada ibu bapa, anggota keluarga, jurulatih dan rakan sepasukan yang membantu dan menyokongnya dari sudut emosi, mental dan kewangan.
Kini, Aryan sedang menantikan Sukan SEA pada 2025 dengan penuh harapan.
Beliau juga seorang pembimbing ahli sukan judo di Sekolah Menengah St. Gabriel – tempat beliau pernah menuntut.
Apabila ditanya apa yang beliau ingin capai seterusnya, Aryan menambah:
“Lebih daripada memenangi pingat, saya juga mahu menyokong dan memberi inspirasi kepada orang di sana sana yang lebih muda daripada saya.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg