Inisiatif Biasiswa Palestin (PSI), satu daya utama yang dimulakan oleh warga Singapura, telah mengumpul lebih $111,000 sejak ia dilancarkan pada Oktober 2024.
Inisiatif tersebut, yang bertujuan membiayai pendidikan universiti sepenuh masa selama empat tahun untuk pelajar Palestin di Singapura, telah mendapat sokongan daripada lebih 650 penderma setakat 18 Januari, dengan purata derma melebihi $160.
Dana itu akan menyokong pelajar warga Palestin membayar yuran tuisyen, penginapan dan perbelanjaan sara hidup, menyediakan peluang untuk mengubah kehidupan mereka yang terjejas akibat konflik serantau yang berterusan.
Jawatankuasa Pentadbiran Biasiswa dipengerusikan bersama oleh mantan Anggota Parlimen yang Dicalon (NMP) dan usahawan sosial, Cik Anthea Ong, dan mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim.
PSI, dalam kenyataannya pada 22 Januari, berkata: “Kebanyakan sumbangan derma adalah antara $10 hingga $200, dengan sumbangan tertinggi $5,000.”
Ia menyasar untuk mengumpul $400,000 bagi menaja dua pelajar Palestin setiap tahun untuk pengajian empat tahun sepenuh masa di universiti tempatan di Singapura – Universiti Nasional Singapura (NUS), Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS), Institut Teknologi Singapura (SIT) dan Institut Pengurusan Singapura (SIM).
Bercakap dengan Berita Harian (BH) semasa acara ‘High Tea’ anjuran PSI di kafe Penny University pada 23 Januari, Dr Yaacob, yang juga penasihat PSI, berkata:
“Harapan kami adalah untuk mencapai matlamat tersebut (mengumpul $400,000) pada 2025.
“Kami ingin mempertingkatkan keupayaan dan kebolehan anak muda Palestin agar mereka dapat bekerjasama dan mewujudkan Palestin yang baru setelah apa yang berlaku sebelum ini.”
Beliau menegaskan bahawa sumbangan demikian bukan hanya untuk Palestin, malah untuk “rakyatnya yang ingin belajar dan mempertingkatkan kemahiran mereka untuk menyumbang semula kepada masyarakatnya”.
Acara ‘High Tea’ tersebut diadakan untuk melibatkan seramai 20 penderma berpotensi tidak kira bangsa dan agama, menyokong serta menjayakan matlamat itu.
Pelajar dinilai berdasarkan keperluan dan amalan kemasukan semasa universiti yang mengambil bahagian, dan biasiswa diberikan kepada mereka yang berjaya mendapatkan kemasukan ke universiti ini.
Permohonan kini dibuka, dengan kohort pertama pelajar dijangka memulakan pengajian mereka pada tahun akademik 2025.
“Lebih 100 permohonan telah diterima daripada rakyat Palestin, dengan hampir 50 peratus daripadanya dari Gaza,” kata PSI.
Cik Ong, yang juga penasihat PSI, berkata: “Tanpa pendidikan, tiada masa depan. Menyokong anak muda Palestin untuk belajar di Singapura bukan sahaja memberikan mereka akses kepada pendidikan bertaraf dunia tetapi juga memperkayakan masyarakat kita dengan memupuk kepelbagaian, empati dan persefahaman global.”
Jawatankuasa Pentadbiran Biasiswa juga termasuk pengasas bersama Bantuan Perubatan untuk Palestin, Dr Ang Swee Chai; pengasas Universiti Pembukaan untuk Pelarian, Dr Gul Inanc dan pakar bedah British-Palestin dan Profesor Madya Kehormat di University College London, Dr Khaled Dawas.
Inisiatif tersebut mendapat sokongan daripada pelbagai sektor, termasuk kerjasama dengan universiti tempatan dan perundingan dengan pakar dan badan antarabangsa seperti Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
PSI pertama kali dilancarkan pada sambutan ulang tahun ke-10 perusahaan sosial tempatan, Hush TeaBar, dengan kerjasama badan amal pendanaan awam dan Institusi Bertaraf Awam (IPC), Ray of Hope.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg