Perusahaan sosial, Hush TeaBar, dengan kerjasama badan amal pendanaan awam dan Institusi Bertaraf Awam (IPC), Ray of Hope, mengadakan acara persendirian khas pada 26 Oktober bagi mengumpul dana, Inisiatif Biasiswa Palestin.
Dalam satu kenyataan pada 26 Oktober, Hush TeaBar menyatakan bahawa acara tersebut diadakan di ruangan The Social Space di 7 Fraser Street dan berjaya mengumpul $2,400.
Ini setelah kesemua 24 tiket bernilai $100 setiap satu laris dijual bagi acara itu, dengan hasil kutipan disalurkan terus untuk membiayai biasiswa tersebut, tambah kenyataan itu.
Menurut Hush TeaBar lagi, inisiatif itu bertujuan menyokong sekurang-kurangnya dua pelajar warga Palestin dalam pengajian universiti di Singapura serta hal-hal berkaitan dengannya setiap tahun.
Antaranya, ia akan digunakan bagi menyokong pelajar warga Palestin membayar yuran tuisyen, perjalanan antarabangsa dan penginapan di kampus.
Pengasas perusahaan sosial tersebut, Cik Anthea Ong, berkata:
“Dengan memberi sokongan kepada anak muda Palestin untuk belajar di Singapura, ia bukan sahaja memberikan mereka akses kepada pendidikan bertaraf dunia, tetapi juga memperkayakan masyarakat kita dengan memupuk kepelbagaian, empati dan persefahaman sejagat.
“Perspektif dan daya tahan mereka yang unik boleh memberi inspirasi kepada inovasi dan kerjasama, sekali gus memberi manfaat kepada universiti dan masyarakat, sambil kita berusaha ke arah dunia yang lebih saksama dan aman.”
Menjelaskan tujuan di sebalik inisiatif itu, Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pentadibiran Biasiswa, Profesor Yaacob Ibrahim, berkata pendidikan merupakan kunci transformatif, lebih-lebih lagi dalam waktu mencabar.
“Dengan menyokong Inisiatif Biasiswa Palestin, kami bukan sahaja menawarkan pelajar muda Palestin peluang membina semula kehidupan, bahkan juga mewujudkan jambatan antara Singapura dengan Palestin, memupuk persefahaman dan pertukaran bersama.
“Biasiswa ini memberi harapan dan membuka pintu kepada masa depan lebih cerah bagi pelajar yang menghadapi cabaran yang tidak dapat dibayangkan akibat konflik dan pendudukan.
“Harapan kami adalah, melalui pendidikan, pelajar ini akan memperoleh kemahiran untuk menyumbang (kembali) bukan sahaja kepada masyarakat mereka sendiri, tetapi kepada masyarakat sejagat pada umumnya,” ujar beliau.
Dalam acara selama sejam itu, peserta dapat melalui empat zon Hush Experience yang meliputi zon muhasabah diri, menikmati teh, melukis menggunakan dakwat teh dan sesi perbincangan.
Daripada laman rasmi Inisiatif Biasiswa Palestin, hasil pendanaan awam setakat 1 November juga telah berjaya mengumpulkan sebanyak $19,975.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg