Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Biasiswa Peringati Lim Kim San bagi pengajian di uni tempatan dibuka

Mar 4, 2025 | 8:01 PM
Biasiswa Peringati Lim Kim San merangkumi yuran pengajian penuh, termasuk yuran tuisyen, elaun sara hidup sebanyak $2,500 serta elaun buku $500 setiap tahun.
Biasiswa Peringati Lim Kim San merangkumi yuran pengajian penuh, termasuk yuran tuisyen, elaun sara hidup sebanyak $2,500 serta elaun buku $500 setiap tahun. - Foto ST

Warganegara Singapura yang mempunyai pendapatan isi rumah bulanan sehingga $5,000 boleh memohon biasiswa tanpa bon untuk melanjutkan pengajian sepenuh masa dalam kursus bahasa, linguistik dan kemanusiaan di universiti tempatan.

Biasiswa Peringati Lim Kim San itu kini dibuka untuk permohonan sehingga 30 April.

Biasiswa itu, yang bertujuan membantu anak muda Singapura dalam perjalanan akademik mereka, ditubuhkan pada 2006 bagi menghormati mendiang Menteri Pembangunan Negara pertama Singapura, Encik Lim Kim San, yang meninggal dunia pada tahun tersebut.

Encik Lim juga pernah berkhidmat sebagai pengerusi eksekutif Singapore Press Holdings (SPH) dari 1988 hingga 2002.

Sejak Disember 2021, perniagaan media syarikat itu dikenali sebagai SPH Media Trust.

Lebih 180 pelajar telah raih manfaat daripada biasiswa tersebut.

Biasiswa itu, yang dibiayai oleh badan amal berdaftar di Singapura, Yayasan SPH, merangkumi yuran pengajian penuh, termasuk yuran tuisyen dan peperiksaan bagi para pelajar.

Ia juga menawarkan elaun sara hidup sebanyak $2,500 serta elaun buku $500 setiap tahun.

Biasiswa itu diberikan untuk tempoh minimum yang diperlukan penerima bagi menamatkan ijazah pertama mereka – termasuk ijazah kepujian jika berkenaan – namun tidak boleh melebihi tempoh empat tahun.

Sekiranya terdapat jawatan yang sesuai, penerima biasiswa juga boleh menjalani latihan industri di SPH Media, yang menerbitkan pelbagai penerbitan, termasuk The Straits Times (ST).

Penerima biasiswa perlu menyumbang kembali kepada masyarakat melalui kerja sukarela semasa dan selepas pengajian mereka bagi memupuk kitaran impak sosial yang positif.

Untuk layak menerima biasiswa ini, pemohon mesti merupakan warganegara Singapura dan memperoleh keputusan yang baik dalam peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘O’ dan ‘A’, di peringkat politeknik, atau peperiksaan tahunan di universiti tempatan dan mempunyai rekod kegiatan kokurikulum (CCA) yang cemerlang.

Pemohon juga perlu secara berasingan memohon dan diterima masuk ke universiti tempatan sebelum pemilihan bagi penerima biasiswa dilakukan.

Permohonan harus dikemukakan secara dalam talian sebelum 30 April.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg