Menjelang 2027, semua pelajar yang menghadiri prasekolah di bawah Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda) akan berpeluang menyertai Program Pendidikan Seni Majlis Seni Kebangsaan (NAC) bagi memberikan mereka akses kepada pembelajaran seni yang bermutu pada usia awal.
NAC juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (MOE) untuk mengembangkan Pembelajaran Berdasarkan Seni Persembahan (PABL) kepada semua pelajar menengah rendah dalam tempoh tiga tahun akan datang, umum Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong.
Berucap di sesi dialog bersama lebih 200 pihak berkepentingan seni dan warisan di Esplanade pada 21 Februari, Encik Tong berkata matlamatnya adalah untuk memupuk “tabiat sepanjang hayat menghadiri acara seni dan warisan dari usia muda”.
“Matlamat kami berbuat demikian adalah bagi anak muda Singapura menghargai dan melihat nilai seni dan warisan sejak kecil dan menyokong secara aktif seni dan warisan tempatan kita apabila mereka dewasa,” kata Encik Tong.
Program Pendidikan Seni NAC, yang dimulakan pada 2014, kini mengutamakan pembiayaannya untuk lima pengendali utama, iaitu E-Bridge Preschool, M.Y World Preschool Ltd, NTUC My First Skool, Yayasan Masyarakat PAP (PCF) dan Skool4Kidz.
Bilangan itu mewakili kira-kira dua pertiga daripada semua prasekolah yang dibiayai Ecda.
Program itu mencapai lebih 34,000 murid prasekolah daripada lebih 500 prasekolah pada 2024, kata Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 21 Februari.
Menjelang 2027, ia berkata NAC menyasarkan untuk melanjutkan Program Pendidikan Seni itu kepada semua prasekolah yang disokong Ecda, yang akan memanfaatkan kira-kira 1,000 prasekolah dan 44,000 pelajar, tambahnya.
Mengulas tentang pengumuman itu kepada Berita Harian (BH), Pengasas Sri Warisan yang juga penerima Pingat Budaya NAC, Cik Som Said, berkata inisiatif itu akan menyemarakkan lagi persekitaran aktiviti seni di Singapura dan mendedahkan warga kepada program seni yang ada.
“Saya sangat mengalu-alukan usaha ini kerana memang kita sekarang ni sedang berusaha untuk mendekati lebih ramai pelajar prasekolah.
“Kami sudah pun mempunyai beberapa program dengan prasekolah, dan kini kami akan memperluaskan program kami kepada lebih banyak prasekolah, sekolah rendah dan lain-lain lagi,” kata Cik Som.
Bagi program PABL di sekolah menengah, MCCY berkata hanya 30 peratus pelajar sekolah menengah rendah menyertai program itu pada 2024. Justeru, ia berharap dapat mengembangkannya ke semua sekolah menengah dalam tempoh tiga tahun.
“Antara 2025 hingga 2027, NAC akan terus bekerjasama dengan MOE untuk melancarkan PABL secara progresif ke sekolah menengah, dengan sasaran untuk mencapai semua sekolah menengah menjelang 2027,” kata MCCY.
Semasa ucapannya, Encik Tong juga mengumumkan bahawa pemerintah akan menyediakan lebih banyak biasiswa untuk menyokong aspirasi rakyat Singapura yang berminat meneruskan kerjaya dalam bidang seni.
Pelajar yang mengikuti kursus pratertiari atau diploma dengan Sekolah Seni Singapura (Sota), Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa), dan Lasalle boleh meraih manfaat daripada Biasiswa Seni Kreatif NAC baru.
Ia akan diperluaskan kepada pelajar yang layak, yang mungkin memerlukan sokongan kewangan tambahan, untuk membolehkan mereka mengikuti pendidikan seni tanpa mengira latar belakang mereka, kata MCCY.
Pemerintah juga akan menambah bilangan Biasiswa Seni NAC, yang menyokong program ijazah berkaitan seni dan seni sepenuh masa di institusi tempatan dan antarabangsa, tambahnya.
Encik Tong berkata butiran lanjut tentang biasiswa-biasiswa ini akan diumumkan pada masa terdekat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg