Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Biasiswa Perubatan NUS dilancar bagi perkukuh tenaga kerja kesihatan mental S’pura

Nov 26, 2025 | 7:40 PM
biasiswa perubatan NUS, NUS medical school
Penerima biasiswa akan mendapat yuran pengajian yang ditanggung sepenuhnya serta elaun bulanan $3,000 sepanjang tempoh program selama 18 bulan. - Foto ST

Tenaga kerja kesihatan mental Singapura bakal menerima suntikan baru dengan pelancaran satu biasiswa yang bertujuan melatih karyawan barisan hadapan dalam bidang kesihatan mental klinikal dan psikoterapi.

Biasiswa baru untuk program Sarjana Kesihatan Mental Klinikal dan Psikoterapi di Fakulti Perubatan Universiti Nasional Singapura (NUS), akan dianugerahkan kepada sehingga 24 pelajar sepenuh masa bagi tempoh tiga tahun akan datang mulai 2026.

Penerima akan mendapat yuran pengajian yang ditanggung sepenuhnya serta elaun bulanan $3,000 sepanjang tempoh program selama 18 bulan, kata NUS pada 26 November.

Biasiswa tersebut dibiayai oleh sumbangan $3 juta daripada Yayasan Elaine dan Eduardo Saverin, yang diasaskan oleh pengasas bersama Facebook, Encik Eduardo Saverin, dan isterinya Cik Elaine Saverin, kepada Sekolah Perubatan Yong Loo Lin di NUS.

Menurut NUS, ia merupakan sumbangan biasiswa tunggal terbesar yang pernah diterima oleh program tersebut setakat ini, lapor The Straits Times (ST).

Biasiswa tersebut dibuka kepada pemohon tempatan dan antarabangsa, dan tidak mempunyai bon perkhidmatan, kata NUS.

Namun, para penerima digalakkan menyumbang khidmat selama dua tahun untuk bertugas dalam sektor kesihatan mental atau sektor berkaitan.

Penerima biasiswa akan dipilih oleh sebuah jawatankuasa bersama yang terdiri daripada wakil jabatan perubatan NUS dan yayasan tersebut.

Semasa berucap bagi meluahkan penghargaannya atas sumbangan tersebut, Dekan Jabatan Perubatan NUS, Profesor Chong Yap Seng, berkata:

“Ketika isu kesihatan mental semakin mendesak dan meluas, sumbangan ini membolehkan kami melatih lebih ramai individu dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk menyokong mereka yang memerlukan.”

Beliau berharap sumbangan itu akan memperkukuh keupayaan Jabatan Perubatan NUS dalam pendidikan kesihatan mental, dan mendorong “perubahan bermakna” di seluruh sektor tersebut.

Dilancarkan pada 2024, program Sarjana Kesihatan Mental Klinikal dan Psikoterapi dibangunkan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi kepakaran dalam bidang kesihatan mental di Singapura dan rantau ini, kata NUS.

Program itu juga melatih lulusannya untuk menyokong individu dengan keperluan kesihatan mental ringan hingga sederhana dalam persekitaran masyarakat dan penjagaan kesihatan.

Program tersebut bermula pada Januari 2025 dengan sekitar 25 pelajar dalam kohort sulung yang terdiri daripada mereka yang mempunyai latar belakang penjagaan kesihatan, pendidikan, perkhidmatan sosial dan kesihatan bersekutu.

Permohonan bagi pengambilan seterusnya dibuka pada 1 Disember dan ditutup pada 3 Mac 2026, dengan kelas bermula pada Ogos 2026.

“Kesihatan mental adalah asas kepada kebolehan manusia,” kata Cik Elaine.

“Apabila kita melabur dalam mereka yang menjaga orang lain, kita memperkukuh kesejahteraan seluruh masyarakat.

“Melalui biasiswa ini, kami berhasrat memperkasa individu-individu berwawasan untuk memimpin dengan belas ihsan, mencabar batasan yang menghalang kemajuan, dan membawa perubahan berkekalan...”

Yayasan Elaine dan Eduardo Saverin telah menyumbang $11.5 juta kepada usaha pendidikan, kesihatan dan kemampanan pada 2024.

Pada 2025, yayasan tersebut buat kali pertama tersenarai dalam kelompok 10 penderma persendirian terbesar di Singapura.

Senarai tersebut terkandung dalam edisi 2025 laporan, Pertubuhan Kedermawanan Terbesar Singapura, yang dikeluarkan pada 20 November.

Encik Saverin, seorang penduduk tetap Singapura, disenaraikan oleh Forbes pada September sebagai individu terkaya di Singapura, dengan nilai bersih AS$43 bilion ($56.2 bilion).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg