Seramai 404 atlet-pelajar menerima anugerah biasiswa $1.1 juta di majlis Anugerah Biasiswa Yayasan Olimpik Singapura (SOF)-Peter Lim tahun ini dalam majlis yang berlangsung pada 27 Mei.
Setakat ini, 4,923 biasiswa berjumlah $11.6 juta telah diagihkan untuk menyokong atlet-pelajar.
Penerima biasiswa tahun ini juga termasuk 96 atlet-pelajar daripada kategori prestasi tinggi bawah 18 tahun.
Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, menghadiri majlis biasiswa itu yang diadakan di Pusat Konvensyen Temasek, pada 27 Mei.
Para atlet pelajar menerima biasiswa tunai yang dapat digunakan untuk menyokong perbelanjaan sukan dan persekolahan mereka.
Terdapat empat kategori bagi biasiswa tersebut – sekolah rendah ($1,000), sekolah menengah ($2,000), pengajian tinggi ($3,000) dan prestasi tinggi bawah 18 tahun ($5,000).
Tahun ini, 1,299 permohonan daripada 220 sekolah telah diterima. Daripada permohonan ini, 404 atlet-pelajar merangkumi 34 sukan daripada 148 sekolah layak menerima anugerah tersebut.
Semasa berucap, Cik Fu yang juga merupakan Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) menekankan bahawa biasiswa tersebut merupakan “batu loncatan untuk lebih banyak peluang” bagi atlet-pelajar.
Mengambil contoh srikandi perlumbaan pecut negara, Shanti Pereira, Cik Fu berkongsi bahawa Shanti merupakan atlet-pelajar yang menerima biasiswa tersebut pada 2014 dan 2015, dan telah memenangi pingat di peringkat Sukan SEA, Sukan Asia dan banyak lagi.
“Kisah Shanti adalah salah satu contoh kerja keras dan daya tahan. Dia tidak pernah berputus asa apabila keadaan menjadi sukar, dan terus mencatatkan tahap yang lebih pantas, lebih tinggi dan lebih kuat,” tambahnya.
Pengerusi SOF, Encik Ng Ser Miang, turut menekankan bahawa biasiswa tersebut bukan sahaja dapat membantu para atlet muda, malah memberi kesan kepada “landskap sukan di Singapura”.
Dengan biasiswa SOF-Peter Lim, ia membantu “mencungkil potensi atlet muda... terutamanya mereka yang kurang sumber”.
“Kami berharap mereka meneruskan perjalanan bermakna mereka untuk mencapai matlamat mereka dan membuat rakyat Singapura bangga,” tambah Encik Ng.
Biasiswa SOF-Peter Lim diperkenalkan pada 2010 apabila usahawan Encik Peter Lim menderma $10 juta kepada SOF. Beliau kemudian menambah $10 juta pada 2019 untuk meneruskan biasiswa itu sehingga 2030.
Sejak 2011, hampir 5,000 biasiswa berjumlah $11.57 juta telah diberikan kepada atlet-pelajar.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg