Membesar dalam masyarakat berbilang kaum seperti Singapura telah membuka mata, Cik Nusaybah Muhammad Iqbaal, terhadap keunikan proses penggubalan fatwa yang mengambil kira konteks tempatan dan keperluan masyarakat moden.
Cik Nusaybah, 19 tahun, lulusan Madrasah Aljunied Al-Islamiah, menjelaskan minatnya terhadap Al-Quran dan fiqah mula diperkasa kerana ia mendalam lagi pemahamannya terhadap prinsip syariah.
Malah, beliau berhasrat menggunakan ilmu Al-Quran untuk mempengaruhi dasar dan sistem yang ada agar masyarakat Islam di negara berbilang kaum ini dibimbing berteraskan ajaran Al-Quran sebagai asas utama.
Cik Nusaybah merupakan antara dua penerima Biasiswa Syed Isa Semait (SISS) 2025 pada satu majlis penyampaian di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura pada 9 Julai.
Biasiswa itu dinamakan sempena mantan Mufti Kedua Singapura, Allahyarham Ustaz Syed Isa Semait.
Penerima SISS menerima dana berjumlah sehingga $240,000 untuk melanjutkan pengajian sarjana muda dalam bidang pembelajaran Islam.
Ia bertujuan memperkukuh barisan kepimpinan bagi institusi Islam utama seperti Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Mahkamah Syariah dan Pejabat Pendaftar Pernikahan Orang Islam (ROMM).
Dalam pada itu, penerima SISS diikat dengan khidmat enam tahun di institusi keagamaan utama.
“Saya selalu tertarik dengan bagaimana fatwa di Singapura tidak hanya berpandukan teks semata-mata, malah juga mengambil kira realiti masyarakat.
“Fatwa bukan sekadar hukum, tetapi panduan untuk hidup dan saya rasa itu sangat indah,” kata Cik Nusaybah, anak kedua dalam tiga beradik.
Dalam mengimbangi pelajaran dengan tanggungjawab kepimpinan sebagai ketua pengawas di Madrasah Aljunied, Cik Nusaybah cuba menetapkan keutamaan sebaik mungkin dan memahami keperluan untuk berkorban mengikut keadaan.
Beliau amat bersyukur ibu bapanya, Encik Muhammad Iqbaal A Kamaludin, 49 tahun, seorang pengusaha perumahan yang bertugas di Alfa Tech Asia; dan Cik Farah Mashhur Ali, 49 tahun, Timbalan Ketua di Iyad Perdaus, sangat memahami dan banyak membantu meringankan beban di rumah.
Ia sekali gus membolehkannya menumpukan perhatian kepada pelajaran dan tanggungjawab lain.
“Saya sangat bersyukur kerana terpilih menerima biasiswa ini.
“Ia memberikan saya ketenangan kerana adanya sokongan kewangan, namun pada masa yang sama, saya sedar tanggungjawab besar sedang menanti.
“Biasiswa ini bukan sekadar penghargaan, malah satu amanah yang perlu saya pikul dengan komitmen dan integriti,” ujarnya.
Cik Nusaybah berharap masyarakat Islam di Singapura akan lebih dekat dengan Al-Quran dan dapat membezakan antara yang benar dengan yang kurang tepat, terutama dalam era kecerdasan buatan (AI) yang kian pesat berkembang.
Beliau turut bercita-cita menyumbang dalam penggubalan fatwa yang terangkum dan berpaksikan nilai rahmah, sambil terus menekankan kepentingan pengurusan masa dan disiplin dalam kehidupan seharian.
“Harapan saya adalah untuk menjadi insan yang bermanfaat kepada masyarakat dengan ilmu, akhlak dan khidmat,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg