Setiap kejayaan yang diraih, Cik Saqina Qamilia Suwandi, dikaitkan dengan prinsip hidup kukuh yang diterapkan keluarganya.
Baginya, didikan tersebut menjadi asas pencapaian akademik dan kepimpinan dirinya selama ini.
Lantaran itu, beliau berharap dapat menyumbang kepada usaha memperkukuh institusi kekeluargaan dalam masyarakat Melayu/Islam selepas melanjutkan pengajian dalam kursus ijazah Undang-Undang dan Undang-Undang Syariah selama lima tahun di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM).
Cik Saqina, 20 tahun, anak bongsu dalam dua beradik, merupakan antara empat penerima Biasiswa Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), yang buat julung-julung kalinya ditawarkan kepada lulusan madrasah cemerlang di Singapura, dengan potensi kepimpinan tinggi.
Biasiswa Muis bernilai $120,000 setiap seorang itu memberi tumpuan kepada pembangunan bakat bagi institusi kemasyarakatan, seperti masjid dan madrasah.
Bekas pelajar Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah itu merupakan pelajar terbaik madrasah tersebut dalam peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘A’ pada 2024, dan pernah memegang jawatan Naib Ketua Pengawas.
Pencapaiannya tidak terhenti di situ.
Cik Saqina pernah dinobatkan sebagai Pembahas Terbaik dalam Bahas Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) pada 2021 dan merupakan penerima Anugerah Emas dengan Kepujian Tertinggi dalam pertandingan karangan nasional Bahasa Melayu.
Sejak kecil lagi, beliau turut dipandu oleh prinsip moral yang teguh.
Ketika ditanya bagaimana minatnya terhadap bidang undang-undang bermula, beliau mengenang saat berani mempertahankan rakan-rakan daripada pembuli meskipun bertubuh kecil.
“Setiap kali nampak ada teman yang dibuli, saya akan tampil membantu bagi meleraikan segalanya.
“Ramai kenal saya sebagai individu yang vokal dan akan bersemuka dengan orang lain jika ada perkara timbul. Jadi kejadian buli tak pernah berlaku pada saya.
“Ketika itu, barulah saya sedar bahawa undang-undang boleh menjadi alat untuk membawa perubahan.
“Ia boleh menjadi suara bagi mereka yang tidak (berani) bersuara, sesuatu yang saya impikan sejak kecil,” kongsinya.
Minat awal bertukar menjadi tekad apabila beliau menjalani latihan industri tahun akhir di sebuah firma guaman tempatan.
Ketika itu, beliau menyaksikan sendiri bagaimana pertikaian keluarga memberi kesan besar kepada wanita dan kanak-kanak.
Pengalaman itu mengukuhkan azamnya untuk memperjuangkan hak golongan rentan melalui undang-undang, seiring semangatnya memperkukuh institusi keluarga sebagai teras masyarakat yang kukuh.
“Keluarga membentuk siapa kita. Keluarga yang kukuh membentuk asas masyarakat yang stabil dan membantu mencegah pelbagai isu sosial yang kita hadapi hari ini,” ujarnya.
“Saya amat bimbang tentang peningkatan pertikaian keluarga yang membawa kepada perceraian serta kurangnya kesedaran tentang hak-hak di bawah Syariah dan undang-undang.
“Saya juga lihat perlunya sokongan yang lebih baik bagi wanita dan kanak-kanak yang terkesan akibat keruntuhan institusi keluarga dalam masyarakat kita,” tambahnya.
Cik Saqina berhasrat berkhidmat di Mahkamah Syariah, dengan harapan dapat membimbing keluarga melalui sistem perundangan serta meningkatkan kesedaran tentang hak dan sokongan yang tersedia untuk mereka.
“
Keluarga membentuk siapa kita. Keluarga yang kukuh membentuk asas masyarakat yang stabil dan membantu mencegah pelbagai isu sosial yang kita hadapi hari ini. ... Saya juga lihat perlunya sokongan yang lebih baik bagi wanita dan kanak-kanak yang terkesan akibat keruntuhan institusi keluarga dalam masyarakat kita.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg