Penduduk Singapura boleh menjangkakan bil elektrik dan gas yang lebih rendah dari Julai hingga September, susulan penurunan kos tenaga dan bahan api.
Bil elektrik akan turun 0.65 sen bagi setiap kilowatt sejam (kWh), manakala harga gas pula akan berkurangan sebanyak 0.44 sen bagi setiap kWh, sebelum Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Penurunan itu susulan pengumuman pengendali grid, SP Group, pada 30 Jun mengenai pengurangan tarif elektrik isi rumah sebanyak 2.3 peratus berbanding suku sebelumnya.
Sebagai contoh, satu unit flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) empat bilik secara purata mungkin akan melihat penurunan $2.36 dalam bil elektrik bulanan mereka sebelum GST.
City Energy, pengeluar dan peruncit gas paip, dalam kenyataan berasingan pada 30 Jun memaklumkan bahawa tarif gas akan turun daripada 22.72 sen kepada 22.28 sen bagi setiap kWh, susulan penurunan kos bahan api berbanding suku sebelumnya.
Tarif elektrik dan gas disemak setiap suku tahun oleh SP Group dan City Energy, berdasarkan garis panduan yang ditetapkan Penguasa Pasaran Tenaga (EMA), selaku pengawal selia industri elektrik dan gas.
Komponen kos tenaga dalam tarif elektrik bagi setiap suku ditetapkan berdasarkan purata harga gas asli dua bulan setengah pertama pada suku tahun sebelumnya, lapor The Straits Times (ST).
Komponen kos bahan api dalam tarif gas bagi setiap suku tahun pula ditetapkan berdasarkan purata harga bahan api dua bulan setengah pertama suku tahun sebelumnya.
Tarif elektrik dan gas boleh berubah dari suku ke suku disebabkan turun naik harga bahan api sejagat yang dipengaruhi faktor geopolitik, seperti konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg