Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Inflasi teras S’pura susut kepada 0.6% pada Mei

Jun 23, 2025 | 5:34 PM
Kadar inflasi makanan pada Mei turun kepada 1.1 peratus daripada 1.4 peratus yang dicatatkan pada April, disebabkan kenaikan harga makanan mentah yang lebih perlahan.
Kadar inflasi makanan pada Mei turun kepada 1.1 peratus daripada 1.4 peratus yang dicatatkan pada April, disebabkan kenaikan harga makanan mentah yang lebih perlahan. - Foto fail

Kadar inflasi Singapura mencatat sedikit penurunan pada Mei, dipacu oleh kenaikan harga yang lebih perlahan dalam sektor makanan dan pengangkutan privet.

Demikian menurut data Jabatan Perangkaan (DOS) yang dikeluarkan pada 23 Jun.

Inflasi teras, yang tidak mengambil kira kos penginapan dan pengangkutan persendirian, berada pada kadar 0.6 peratus bagi Mei, lebih rendah berbanding 0.7 peratus yang dicatat pada April. 

Inflasi keseluruhan pula mencatatkan kadar 0.8 peratus, susut sedikit berbanding 0.9 peratus yang direkodkan pada April.

Kedua-dua kadar inflasi teras dan keseluruhan bagi Mei itu sejajar dengan unjuran median oleh pakar ekonomi sektor privet, menurut tinjauan Bloomberg.

Dari segi bulan ke bulan, kadar inflasi teras kekal mendatar manakala inflasi keseluruhan meningkat sebanyak 0.7 peratus.

“Inflasi import Singapura dijangka kekal sederhana,” menurut kenyataan bersama oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).

Meskipun harga minyak mentah sejagat meningkat sejak beberapa minggu kebelakangan ini, ia tidak jauh berbeza daripada harga purata yang direkodkan pada 2024. 

Sementara itu, kenaikan harga komoditi makanan dijangka kekal terkawal, lapor The Business Times (BT).

“Walaupun konflik perdagangan dan kenaikan harga tenaga sejagat boleh menyebabkan inflasi bagi sesetengah ekonomi, kesannya terhadap harga import Singapura mungkin dapat diimbangi oleh tekanan disinflasi (pengurangan kadar inflasi) menyusuli permintaan global yang lebih lemah,” tambah MAS dan MTI.

Di dalam negara, kos tenaga kerja dijangka meningkat secara berperingkat kerana pertumbuhan gaji nominal semakin reda. 

Pada masa sama, subsidi pemerintah yang dipertingkatkan untuk perkhidmatan penting akan terus melembapkan inflasi bagi sektor perkhidmatan.

MAS dan MTI masih menjangkakan inflasi teras akan berada pada purata 0.5 hingga 1.5 peratus pada 2025, namun ketidaktentuan dijangka meningkat susulan risiko yang bertambah dalam persekitaran luar.

Pada Mei, kebanyakan kategori Indeks Harga Pengguna (CPI) menunjukkan kadar kenaikan harga yang perlahan, kecuali kadar inflasi penginapan dan perkhidmatan yang kekal sama seperti April.

Kadar inflasi makanan pada Mei turun kepada 1.1 peratus daripada 1.4 peratus pada April, disebabkan kenaikan harga makanan mentah yang lebih perlahan.

Sementara itu, kadar inflasi elektrik dan gas turun kepada 3.7 peratus berbanding penurunan 3.5 peratus sebelum ini, berikutan penurunan harga elektrik yang lebih besar.

Harga barangan runcit dan lain-lain terus menurun, tetapi pada kadar lebih perlahan iaitu 1 peratus berbanding penurunan 1.2 peratus sebelum ini, disebabkan kenaikan harga perkakas rumah yang mengimbangi penurunan kecil pada kos barangan peribadi.

Inflasi pengangkutan privet meningkat pada kadar lebih perlahan iaitu 1.1 peratus berbanding 1.3 peratus sebelum ini, berikutan kenaikan harga lebih kecil bagi kereta.

Inflasi bagi perkhidmatan dan penginapan kekal tidak berubah pada 1.1 peratus masing-masing, sama seperti April.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg