Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bil elektrik tidak akan naik ketara apabila tenaga bersih mula diimport

Kebanyakan tenaga diperbaharui akan dibeli syarikat yang ingin kurangkan pelepasan karbon mereka
Sep 15, 2024 | 2:12 PM
Elektrik yang diimport – dihasilkan daripada sumber seperti suria, angin dan kuasa hidro – dijangka berharga premium, namun Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) berkata kos import elektrik rendah karbon mungkin tidak lebih mahal daripada sumber elektrik rendah karbon lain.
Elektrik yang diimport – dihasilkan daripada sumber seperti suria, angin dan kuasa hidro – dijangka berharga premium, namun Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) berkata kos import elektrik rendah karbon mungkin tidak lebih mahal daripada sumber elektrik rendah karbon lain. - Foto ST

Bil elektrik bagi rata-rata pengguna tidak mungkin akan naik secara ketara apabila Singapura memulakan import tenaga boleh diperbaharui dalam beberapa tahun akan datang, kata para pemerhati.

Mereka menambah bahawa tenaga bersih kebanyakannya akan dibeli oleh syarikat yang ingin mengurangkan pelepasan karbon mereka.

Elektrik yang diimport – dihasilkan daripada sumber seperti suria, angin dan kuasa hidro – dijangka berharga premium, disebabkan harga tinggi dek huraian penyimpanan bateri yang diperlukan dan kabel penghantaran elektrik, lapor The Straits Times.

Pada September lalu, Singapura menaikkan sasaran import elektriknya untuk 2035 daripada 4 gigawatt (GW) kepada 6GW, selepas memberi lampu hijau kepada tambahan 1.4GW tenaga suria dari Indonesia.

Tujuh syarikat akan mengimport sekitar 3.4GW tenaga suria dari Indonesia, lima daripadanya dijangka memulakan operasi komersial untuk projek mereka mulai 2028.

Jurucakap Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) berkata kos import elektrik rendah karbon mungkin tidak lebih mahal daripada sumber elektrik rendah karbon lain.

Selain import tenaga boleh diperbaharui, Singapura sedang mempertimbangkan pelbagai pilihan tenaga bersih lain seperti geoterma, hidrogen hijau, dan teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon.

“Dalam menilai pelbagai cadangan import elektrik, EMA mempertimbangkan pelbagai faktor, termasuk daya saing harga dan kepelbagaian sumber.

“(Agensi) secara aktif bekerjasama dengan pengimport untuk mengoptimumkan projek mereka dan mengurangkan kos, seperti dengan mengoptimumkan tapak pendaratan dan koridor laut,” kata jurucakap agensi itu.

Seorang jurucakap Vena Energy, yang menerima kelulusan bersyarat pada awal September untuk mengimport 400 megawatt (MW) tenaga suria dari wilayah Riau, Indonesia, berkata firma itu komited untuk mengekalkan kos elektriknya pada “harga yang kompetitif”.

Walau bagaimanapun, harga akhirnya akan bergantung pada beberapa faktor seperti pembangunan infrastruktur penghantaran, kelulusan kawal selia dan keadaan pasaran semasa pada masa pembinaan projek.

Syarikat tenaga boleh diperbaharui itu telah bekerjasama dengan Shell Eastern Trading untuk pembangunan projek import itu, dengan syarikat gergasi minyak itu komited untuk membeli elektrik bersih daripadanya.

Shell mempunyai sasaran mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, yang bermaksud ia perlu mengurangkan pelepasan karbon daripada operasinya, dan daripada produk bahan api dan tenaga yang dijualnya kepada pelanggan.

Jurucakap Pacific Medco Solar Energy, yang akan mengimport 600MW elektrik dari pulau Bulan di Indonesia, berkata ia akan menjalankan tender untuk semua aset dalam dan luar pesisirnya untuk memastikan elektrik yang dihantar ke Singapura adalah berdaya saing dari segi kos.

Ia juga menjangkakan pembelinya terdiri daripada pengguna tenaga korporat yang besar.

Encik Melvin Chen, ketua konsultasi kuasa dan tenaga boleh diperbaharui untuk Asia Pasifik di Wood Mackenzie, berkata beliau menjangkakan import elektrik akan dibeli oleh syarikat yang mempunyai sasaran kemampanan, dan oleh itu, rata-rata rakyat Singapura mungkin tidak akan menanggung beban harga yang lebih tinggi.

Khususnya, syarikat teknologi besar dengan pusat data mungkin lebih terdesak untuk mendapatkan tenaga bersih bagi mengurangkan tahap pelepasan karbon mereka, katanya.

Contohnya, syarikat seperti Meta dan Google, yang beroperasi di Singapura, mempunyai sasaran untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2030.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg