Bilangan asatizah yang kini tampil memberikan sokongan kepada banduan, bekas pesalah dan keluarga mereka melalui program Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan bagi Pesalah dan Keluarga (Fitrah), telah meningkat seganda kepada 116 pada 2024, berbanding 54 pada 2019.
Daripada jumlah ini, seramai 31 asatizah kini menyumbang bakti sebagai relawan bagi program Pendamping Rangka Kerja Sukarela Jagaan Menyeluruh (TVF) yang menyokong penjagaan rapi banduan, bekas pesalah dan keluarga mereka.
Mengumumkan perkembangan ini semasa berucap di majlis penghargaan buat asatizah Fitrah di Masjid Ar-Raudhah pada 31 Januari, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkata “kemajuan ini amat ketara”.
Menurutnya ini kerana ramai bekas pesalah bergelut dengan soal harga diri dan sering menjauhkan diri daripada masjid kerana berasa diri mereka tidak diterima oleh masyarakat. Justeru, beliau berkata amat penting untuk asatizah terus mendekati golongan tersebut.
“Asatizah-asatizah ini telah banyak berusaha untuk terus membimbing pesalah di bawah jagaan mereka selepas dibebaskan dari penjara, dan menghubungkan mereka kembali ke masjid.
“Usaha sebegini oleh asatizah TVF bukan sahaja membantu bekas pesalah dan keluarga mereka.
“Tetapi juga mewujudkan kesan positif (termasuk) kesedaran dan pemahaman dalam masyarakat kita sendiri, memecahkan salah tanggapan dan memupuk semangat keterangkuman dan penerimaan,” kata Dr Faishal.
Fitrah, yang ditubuhkan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada November 2018, kini bekerjasama dengan 24 masjid, yang menawarkan pegawai agama masjid (MRO) mereka untuk membantu pesalah, banduan dan keluarga mereka di bawah program Fitrah.
Selain itu, tujuh daripada masjid-masjid ini seperti Masjid Al-Istighfar dan Masjid Darul Aman, turut terlibat dalam program dan inisiatif pemulihan lain seperti “Insan Mukmin”, suatu program agama kelolaan Fitrah dan Pergas.
Menurut Fitrah, bilangan MRO, iaitu golongan asatizah yang bekerja di masjid-masjid serata Singapura, yang menjadi sukarelawan dengan Fitrah telah meningkat daripada sifar pada 2019, kepada 51 pada 2024.
Bilangan asatizah bebas, iaitu golongan asatizah yang tidak bekerja sepenuh masa di bawah mana-mana masjid Singapura, yang telah berkhidmat dengan program Fitrah, juga telah meningkat daripada 54 pada 2019, kepada 65 pada 2024.
“Asatizah kita memainkan peranan penting sebagai agen perubahan.
“Usaha para asatizah telah membantu pesalah menjadi versi diri yang lebih baik, sekali gus menyumbang ke arah mengukuhkan keluarga dan memupuk generasi muda,” kata Dr Faishal.
Semasa ucapannya, Dr Faishal berkata kebanyakan pesalah Melayu/Islam yang dipenjara adalah disebabkan kesalahan dadah atau berkaitan dadah. Justeru, beliau menambah, amat penting bagi asatizah untuk terus menyokong dan membimbing mereka memulakan kehidupan baru.
Dr Faishal turut menggesa para asatizah untuk terus bersabar, mengamalkan mentaliti positif, dan terus menjadi contoh teladan yang positif kepada golongan tersebut, walaupun “hasil usaha mereka mungkin tidak kelihatan dengan nyata atau serta-merta”.
“Manfaatkan kekuatan masing-masing, belajar daripada pengalaman masing-masing, dan dapatkan sokongan daripada satu sama lain terutamanya apabila berhadapan dengan isu-isu.
“Dalam kita terus mengembangkan perkongsian asatizah pada masa hadapan, saya berharap kita dapat mengukuhkan perpaduan dan semangat kebersamaan antara asatizah,” kata Dr Faishal.
Ustaz Firdaus Azhari, 35 tahun, seorang MRO dari Masjid Al-Istiqamah berkata usaha bekerjasama dengan Fitrah telah memberinya peluang untuk mendekati masyarakat yang lebih luas. Ini termasuk golongan masyarakat “yang susah untuk didekati”.
Seorang lagi MRO dari Masjid En-Naeem, Ustazah Siti Nadirah Hussin, 38 tahun, berkata usahanya bersama Fitrah telah membuka matanya kepada masalah-masalah yang dilalui banduan, bekas pesalah dan keluarga mereka yang jarang dilihat masyarakat.
“Bila di masjid, kita menanti untuk jemaah datang. Tapi di penjara, kita dapat mendengar dengan lebih dekat keluhan mereka tanpa memandang serong masalah yang mereka hadapi.
“Ia membuka mata bahawa banyak masalah yang mereka hadapi, yang kita tidak dapat lihat di luar. Dengan ini, kita boleh mengajak kawan-kawan kita yang lain untuk turut membantu. Kalau bukan kita, siapa lagi yang akan membantu mereka,” kata Ustazah Nadirah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg