Ketika beliau sedang menjalani hukuman penjara, Encik Jasri Jamil, 39 tahun, meminta isterinya supaya tidak membawa anak lelaki mereka yang kini berusia lapan tahun bersama untuk melawatnya, kerana beliau tidak mahu anaknya melihat beliau dalam keadaan sebegitu.
Akibatnya, ini menjejaskan hubungan mereka sekeluarga, khususnya antara Encik Jasri dengan anaknya.
Namun dengan bantuan program Pengurusan Kes Fitrah (FCM), bapa seorang anak itu, telah belajar cara untuk meraih semula kepercayaan isterinya serta membina semula hubungan bersama anak tercinta setelah beliau dibebaskan pada 2023.
Encik Jasri, pengurus kejuruteraan, merupakan antara 20 peserta program FCM yang disampaikan sijil semasa satu upacara untuk meraikan pencapaian mereka yang telah berjaya selesai menjalani program FCM pada 30 November di Holiday Inn Singapore Atrium.
Sijil tersebut disampaikan Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Kadir Maideen Mohamed; Pengarah Kanan Sektor Satu Masjid Muis, Encik Zalman Putra Ahmad Ali; Pengarah Eksekutif Fitrah, Encik Mohamed Farik Omar; serta Penolong Pengarah Pusat Pelita, Cik Muzaiyanah Hamzah.
Sejak ia ditubuhkan pada September 2021, program FCM, di bawah Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan Bagi Pesalah dan Keluarga, atau Fitrah, telah menguruskan 132 kes, dengan 57 peserta yang telah berjaya selesai menjalani program tersebut, kata Muis dalam satu kenyataan pada 30 November.
Berkongsi pengalamannya, Encik Jasri berkata rumahtangga yang telah beliau bina sejak 2015 mula renggang akibat dirinya yang sering mementingkan teman-teman di luar.
“Jika isteri saya suruh saya duduk di rumah, saya tidak akan dengar dan saya tetap keluar juga untuk bertemu kawan-kawan.
“Ini kerana ketika itu saya fikir bahawa isteri saya kenal diri saya dan cara saya memang begitu, jadi beliau harus terima saya seadanya.
“Tetapi apabila saya dilanda masalah dan saya dipenjara, teman-teman saya semua hilang. Hanya isteri saya yang menunggu saya.
“Dari situ saya mula berfikir tentang nasib mereka, siapa yang jaga isteri dan anak, beri mereka makan semasa saya di dalam (penjara), dan saya bertekad untuk tidak mengulangi kesilapan itu lagi,” ujar Encik Jasri.
Anaknya yang berusia lima tahun dan berada di tadika ketika itu amat rapat dengan dirinya, tambah Encik Jasri.
Oleh kerana beliau ingin melindungi anaknya daripada melihat keadaannya di balik jeriji, beliau tidak membenarkan isterinya untuk membawa anak mereka semasa datang melawat beliau di penjara.
“Bukan senang untuk saya membuat keputusan itu kerana anak saya rapat dengan saya, mana-mana saya pergi dia akan ikut tetapi saya terpaksa membuat pengorbanan itu,” ujar Encik Jasri.
Justeru, waktu yang diperlukan anaknya untuk menyesuaikan diri dengan Encik Jasri makan masa beberapa bulan kerana anak itu membesar selama tiga tahun tanpa kasih sayang bapanya.
Tambahnya, program FCM juga telah membantu dirinya membina semula hubungan yang retak antara beliau dengan keluarganya, melalui modul yang beliau pelajari seperti ‘ReBridge’ (bina semula hubungan), ‘We Give Back’ (sumbang semula) dan ‘We Learn’ (belajar).
Menerusi program itu, Encik Jasri juga bertemu dengan pengurus kes Fitrah, Encik Izwan Abdol Jalil, yang telah membantu dirinya membina rangkaian dan hubungan bersama peserta program FCM yang lain.
Dengan rangkaian yang baru, Encik Jasri hanya ingin memandang ke hadapan dan melakukan hobi seperti bermain futsal dan kegiatan ‘motorcross’ atau motosikal lumba lasak.
“Kini, mana-mana saya pergi, tak kira jika saya bermain futsal atau ‘motorcross’, saya akan cuba bawa isteri dan anak saya bersama.
“Jika tidak, kami sekeluarga gemar menangkap udang atau berkhemah di Pasir Ris Park,” ujar beliau.
Berucap di majlis itu, Dr Faishal berkata:
“Majlis ini meraikan keazaman dan ketabahan peserta FCM, komitmen kakitangan Fitrah dan Pelita, sokongan padu daripada Muis dan rakan kongsi masyarakat, dan yang paling penting, sokongan yang tidak berbelah bagi ahli keluarga anda, semasa anda melalui masa ini bersama orang tersayang.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg