Topik diikuti
Pergi ke BHkuBilangan aturan perancangan legasi yang selesai naik hampir 40 peratus
Bilangan aturan perancangan legasi yang selesai naik hampir 40 peratus
Bilangan aturan perancangan legasi yang telah selesai dilaksana menerusi acara Perkampungan Perancangan Legasi Islam (ILPV) yang dianjurkan bersama oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan unit maklum balas pemerintah, Reach, telah meningkat hampir 40 peratus pada 2026 berbanding 2025.
Ini termasuk penamaan penerima dana Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan insurans, serta Surat Kuasa Berkekalan (LPA).
Sementara itu, pemberian legasi kepada badan-badan MUIS juga meningkat lebih 30 peratus dalam tempoh yang sama.
MUIS berkongsi perkembangan itu dalam satu kenyataan pada 7 November, selepas menganjurkan ILPV @ Heartlands yang kedua di Kelab Masyarakat Woodlands, yang dihadiri lebih 150 peserta.
Acara yang turut dihadiri Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi, itu memberi peserta panduan praktikal serta akses kepada khidmat rundingan profesional mengenai perancangan legasi Islam.
Peserta di acara itu juga berpeluang mengikuti sesi dialog masyarakat bertajuk “Faraid Sahaja, Cukup Ke?” yang membincangkan mengapa pembahagian harta pusaka sahaja mungkin tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan kewangan, perumahan dan penjagaan sesebuah keluarga.
Dr Syed Harun mengalu-alukan peningkatan kesedaran dan usaha dalam kalangan keluarga Islam untuk merancang masa depan mereka.
“Amat menggalakkan melihat semakin ramai anggota masyarakat Islam kita mengambil langkah untuk melindungi insan tersayang mereka. Menyusuli inisiatif perancangan legasi MUIS bersama rakan kongsi kita, termasuk ILPV pada September, kami telah menyaksikan peningkatan sekitar 40 peratus dalam penyelesaian instrumen perancangan legasi berbanding tahun lalu. Ini merupakan satu langkah positif ke arah memastikan keluarga dan insan tersayang kita lebih bersedia dan terpelihara,” katanya.
Selain sesi dialog tersebut, peserta turut menerima panduan menerusi ILPV Marketplace, yang menghimpunkan peguam, perancang harta pusaka dan asatizah.
Perkhidmatan serta rundingan turut disediakan berkaitan penamaan penerima CPF dan insurans, LPA, Perancangan Penjagaan Lanjut (ACP) serta pemberian legasi berbentuk amal.
MUIS telah mempergiat usaha untuk membantu keluarga Islam menterjemahkan kesedaran kepada tindakan.
Pada 2025, MUIS telah mendekati lebih 6,000 individu menerusi kegiatan bersama masyarakat, acara dan webinar.
Pada 2026, MUIS turut melancarkan edisi yang dipertingkat bagi buku panduan The Final Amanah untuk memberi panduan perancangan legasi yang lebih mudah difahami dan praktikal kepada keluarga.