Keluarga Islam yang ingin merancang legasi dan harta pusaka boleh memanfaatkan rangkaian baharu - merangkumi pengamal undang-undang serta pakar - yang baru dilancarkan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Rangkaian Rakan Kongsi Khidmat Perancangan Legasi Islam (ILP) itu merupakan satu daripada tiga inisiatif baharu yang diumumkan Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim pada 26 September bagi membantu keluarga dalam perancangan mereka.

Dalam ucapannya di edisi ketiga Islamic Legacy Planning Village (ILPV) 2026 di Singapore Expo, Encik Zhulkarnain yang juga Pengerusi Kumpulan Kerja Perancangan Legasi Islam (ILPW) berkata usaha sejak beberapa tahun lalu telah membantu meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat mengenai pentingnya perancangan legasi Islam.

Namun, tumpuan kini perlu beralih kepada tindakan yang perlu diambil dan bukan sekadar memahami kepentingannya, tambah beliau.

“Kami telah membina kesedaran yang lebih luas mengenai Perancangan Legasi Islam sejak beberapa tahun lalu dan saya berbesar hati dengan sambutan masyarakat,” kata Encik Zhulkarnain.

Beliau menambah: “Perancangan legasi yang baik tidak seharusnya terasa rumit atau sukar untuk dilakukan. Ia harus menjadi sesuatu yang boleh difahami dan dibincangkan bersama keluarga, supaya mereka dapat mengambil langkah seterusnya dengan yakin.

“Keluarga juga boleh berasa tenang kerana mereka tidak perlu melalui proses perancangan legasi secara bersendirian, sebaliknya boleh melakukannya bersama rakan kongsi dan pakar.”

Acara yang menarik sekitar 500 pengunjung itu menawarkan pelbagai khidmat berkaitan perancangan legasi, termasuk penamaan Tabung Simpanan Pekerja (CPF), insurans, Perancangan Penjagaan Lanjutan (ACP) dan Surat Kuasa Berkekalan (LPA), serta sesi perundingan dalam bidang undang-undang, kewangan dan agama.

ILPV tahun ini turut menganjurkan Forum Rangkaian Pengamal buat julung kalinya, yang menghimpunkan pakar daripada pelbagai bidang bagi mengenal pasti cabaran praktikal, bertukar pandangan dan mencari cara lebih berkesan untuk menyokong keluarga dalam merancang legasi.

Demikian dilakukan dalam usaha menyatukan sumber, khidmat dan bimbingan profesional bagi membantu keluarga Islam mengambil langkah merancang legasi mereka, menurut kenyataan MUIS.

Dalam pada itu, Rangkaian Rakan Kongsi Khidmat ILP bertujuan menjadikan proses perancangan legasi lebih mudah difahami, didekati dan dilaksanakan oleh keluarga Islam di Singapura, tambah pertubuhan itu.

Muis mengalu-alukan penglibatan para pakar yang berminat untuk menyertai rangkaian itu atau menjadi penyokong ILP. Maklumat lanjut di go.gov.sg/ilpadvocate.

Selain itu, buku panduan yang pertama kali dilancarkan pada September 2025 telah dipertingkat dan diberi judul ‘Amanah Terakhir 2.0’.

Menurut MUIS, penambahbaikan itu dibuat berdasarkan maklum balas masyarakat bagi menyediakan maklumat terkini yang lebih mudah difahami dan membantu keluarga memulakan perancangan legasi.

Buku tersebut boleh diakses di sini: go.gov.sg/the-final-amanah

Sementara itu, program ILP Masterclass, yang diuji cuba untuk golongan asatizah pada Mei tahun ini dan meraih lebih 500 pendaftaran, akan diperluaskan kepada golongan profesional dalam bidang perancangan legasi.

Sambutan masyarakat terhadap penyediaan wasiat semakin memberangsangkan, menurut pengasas Isti’shari Islamic Services, Ustaz Mohammad Alif Mohammad Hussien.

Menurut beliau, semakin ramai individu yang ditemuinya kini sudah mengetahui tentang wasiat dan kaedah perancangan lain meskipun masih ada yang kurang pasti tentang bagaimana dan di mana mereka boleh memulakan proses tersebut.

“Ini satu perkembangan yang sangat memberangsangkan kerana semakin ramai kini sedar tentang pentingnya perkara ini.

“Harapan kita adalah supaya setiap keluarga Melayu membuat perancangan harta pusaka lebih awal, sebelum mereka meninggalkan dunia ini,” kata Ustaz Alif, 37 tahun.

Beliau berkata perancangan harta pusaka bukan sekadar menentukan pembahagian harta, malah menjaga silaturrahim antara anggota keluarga selepas kematian seorang individu.

Tambahnya: “Dengan membuat perancangan, kita boleh mengagihkan harta kepada anggota keluarga yang lebih memerlukan, misalnya anak berkeperluan khas atau ibu bapa warga emas yang bergantung kepada kita dari segi kewangan.

“Perancangan ini sebenarnya bukan untuk diri kita, tetapi untuk keluarga yang kita tinggalkan. Mereka akan lebih memahami niat kita dan, pada akhirnya, kita mahu silaturahim antara anggota keluarga terus terpelihara walaupun kita sudah tiada.

Tahap kesedaran dalam masyarakat juga semakin meluas dalam kalangan golongan muda, tambah beliau.

Pelajar tahun empat Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Cik Nur Amalina Mohsin Khan, 25 tahun sedar akan jurang pengetahuan berkaitan perancangan pusaka dan telah menghasilkan MajuLaw, Chatbot yang membantu pengguna memahami cara merancang dan menguruskan pusaka.

“Ramai pengguna tidak pasti di mana hendak bermula. Mereka boleh memasukkan maklumat seperti sama ada arwah meninggalkan wasiat atau telah membuat penamaan CPF.

“Daripada situ, panduan itu akan menunjukkan langkah pertama yang perlu diambil, termasuk agensi yang perlu dihubungi dan dokumen yang diperlukan,” kata Cik Nur Amalina.

Alat itu diperkenalkan kepada umum buat julung kalinya di acara ILPV 2026, dan kini di peringkat perintis untuk mendapatkan maklum balas dari orang ramai.

Dengan itu, Cik Nur Amalina berharap kemudahan sedemikian dapat merapatkan jurang pengetahuan dan menggalakkan lebih ramai mendapatkan bantuan profesional dalam merancang pusaka.

“Saya berharap perbincangan mengenai apa yang berlaku selepas kita tiada tidak lagi dianggap tabu.

“Saya juga berharap kesedaran masyarakat dapat dipertingkat dan orang ramai tidak takut untuk mendapatkan nasihat daripada golongan profesional,” katanya.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti